Bersederhana dalam Membenci


Membela orang yang dicintai satu tindakan mulia. Namun membela musuh yang sedang dizalimi jauh lebih mulia. Sikap ini cerminan hati yang telah mampu menundukkan nafsunya kepada ketentuan hukum Allah SWT.

Menyentuh perkara ini, saya teringat sebuah kisah benar di Mesir beberapa masa dahulu. Ia membabitkan dua orang tokoh ulama' di kota tersebut iaitu Ibn Daqia al-'Id dan Ibn Binti al-A'azzi. Kerana sebab-sebab tertentu, hubungan mereka diwarnai dengan konflik yang cukup panas.

Suatu hari, Ibn Binti al-A'azzi melakukan kesalahan yang tidak dapat dimaafkan di mata Sultan dan wazir. Mereka lalu berpakat untuk menghukum mati ulama' ini dengan mencipta tuduhan palsu bahawa dia telah murtad.

Tuduhan ini ditulis pada selembar surat yang diedar kepada setiap tokoh besar di Mesir. Satu perstau tokoh tersebut menurunkan tandatangan menyetujui kandungan surat tersebut.

Ibn Daqiq al-'Id menjadi tokoh terakhir menerima surat yang diedarkan itu. Andai beliau turut bersetuju, maka Ibn Binti al-A'azzi yang selama ini memusuhinya, tidak akan selamat daripada hukuman mati.

Sejurus menerima surat itu, Ibn Daqiq al-'Id membaca isinya dengan teliti. Semua tokoh yang hadir menggesanya untuk segera menandatanganinya. Namun beliau tidak mengendahkan gesaan tersebut, malah meneruskan bacaannya dengan penuh khusyuk.

Selesai membaca, Ibn Daqiq al-'Id mengangkat kepalanya dan berkata:-

"Tidak halal bagiku menandatangani surat ini"

Kata-kata ini sangat mengejutkan semua orang. Mereka tidak menyangka sikap ini yang ditampilkan Ibn Daqiq al-'Id terhadap orang yang membenci dan memusuhinya. Mereka menyangka tokoh ini akan menggunakan kesempatan itu untuk menyingkirkan musuhnya selama-lamanya.

Seseorang lalu merayunya dengan berkata:

"Tuan, lakukanlah demi Paduka Sultan dan wazir"

Mendengarnya, Ibn Daqiq al-'Id menjadi marah. Beliau berkata:-

"Aku tidak akan ikut serta membunuh seorang Muslim!"

Sikap tegas ini, menyelamatkan Ibn Binti al-A'azzi, sekaligus meninggikan nama Ibn Daqiq al-'Id dalam lembaran sejarah umat Islam hingga ke hari ini.

Etika Berkawan dan Berlawan

Setiap daripada kita berada antara dua macam manusia, iaitu kekasih yang mencintainya dan musuh yang membencinya.Hati kita terasa lebih dekat kepada golongan pertama dan terasa lebih jauh daripada golongan kedua. Namun tahukah kita, apakah garis panduan cinta dan benci yang mesti kita turuti sebagai seorang Muslim?

Ya, Islam bukan hanya mengajar etika berlawan. Prinsip terpenting yang menjadi asas kedua-dua etika ini adalah "keadilan (moderat)", Islam melarang kita melampaui dalam mencinta dan membenci sehingga membuatakan mata kita daripada melihat kebenaran.

Perhatikan firman Allah SWT ini, maksudnya:-

"Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (surah al-Mai'dah, 5:8)

Saidina Ali Bin Abi Talib RA pernah berkata:-

"Cintailah kekasihmu sekadarnya sahaja, siapa tahu ia akan menjadi musuhmu suatu hari nanti. Dan bencilah musuhmu sekadarnya sahaja, siapa tahu ia akan menjadi kekasihmu suatu hari nanti."

Ucapan ini diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf. Beberapa riwayat yang lain menisbahkan kata-kata ini kepada Nabi SAW namun melalui sanad yang sangat lemah.

Kebencian Melampau

Apabila kebencian kita melampaui garis wasatiyyah, kita akan hidup dalam deraan psikologi yang sangat menyeksa. Setiap kali mendengar nama orang yang kita benci itu disebut, fikiran kita menjadi keruh. Jika seseorang memujinya hati kita seolah-olah terbakar.

Hati kita dipenuhi pelbagai sangkaan buruk setiap kali melihat orang yang kita benci itu melakukan atau mengucapkan sesuatu. kita sukar percaya bahawa ia mampu berbuat baik, bahkan mampu berniat baik!

Kita tidak dapat menerima kenyataan bahawa setiap orang memiliki kelebihan walau sekecil mana pun, kita lebih tidak boleh menerima jika orang lain mengetahui kelebihan itu. Kita akan sibuk membuka aib dan keburukan orang itu untuk menutup mata semua orang daripada melihat kebaikannya.

Pada tahap yang lebih parah, kita bukan hanya membenci orang yang kita benci itu, malah turut membenci setiap orang yang ada bersamanya. Kita membenci ibu, bapa, teman, murid, guru, bahkan haiwan peliharaanya.

Saban hari semakin bertambah bilangan orang yang kita benci. Dan saban hari juga, semakin berkurang bilangan orang yang boleh kita percayai. Akhirnya, kita hidup di tengah ramai musuh dan sedikit kawan. Dan hati kita selalu dalam keresahan.

Ya, kebencian yang berlebihan hanya akan merosakkan diri sendiri. Oleh sebab tu, al-Hassan al-Basri berkata:-

"Bersederhanalah dalam mencintai, dan adillah dalam membenci. Sungguh ramai orang yang binasa kerana berlebihan dalam membenci." (Riwayat al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)


Ibn Daqiq al-'Id

Batasan wasatiyyah dalam mencintai dan membenci seseorang tidak terlihat oleh semua orang. Ia hanya terbuka apabila emosi dan ego telah tunduk kepada al-Quran dan sunnah Nabi SAW seperti yang terjadi kepada diri Ibn Daqiq al-'Id yang saya ceritakan pada mukaddimah post ini.

Kenalkah anda siapa tokoh besar ini?

Beliau adalah Taqiyyuddin Ali bin Wahb al-Qusyairi. Beliau dilahirkan pada tahun 625H di Hijaz, lalau menghabiskan usianya dengan menuntut ilmu agama dengan bersungguh-sungguh. Beliau terkenal sebagai ulama' yang sedikit berbicara namun banyak beribadah. Beliau sangat zuhud, wara' dan penuh taqwa kepada Allah SWT.

Semua sifat mulia ini terserlah pada kisah yang saya sebutkan di atas. Apabila menceritakan kisah ini, al-Hafiz al-Sakhawi berkata:-

"Betapa tidak? Beliau pernah berkata: 'Tidakkah aku mengucapkan atau melakukan sesuatu, melainkan setelah aku siapkan jawapanku di hadapan Allah SWT kelak.'"

Tokoh besar ini meninggal dunia di Mesir pada tahun 695H.

Ya Allah...kami meminta agar dapat menjaga keadilan dalam cinta dan benci. Dan jagalah mata hati kami daripada dibutakan oleh kedua-duanya. Benar, buta mata hati adalah seburuk-buruk musibah yang Engkau timpakan kepada hamba-hamba-Mu di muka bumi ini. Aamiin...Ya Rabbal 'Alamiiin.

Wallahu'alam.