Mencari Tuhan Dalam Teknologi Kita

Pernahkah kita terfikir untuk mencari Tuhan dalam teknologi yang kita bangunkan dan guna setiap hari?

Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu meneliti beberapa perkara berkaitan teknologi itu sendiri dan hubungannya dengan manusia.


Memang tidak dapat dinafikan, kemajuan sains dan teknologi telah membawa banyak kemudahan dalam kehidupan seharian manusia. Berbekalkan akal fikiran serta limpahan ilmu daripada Yang Maha Mengetahui, manusia meneroka segala yang ada di sekeliling mereka dan permasalahan, demi membina suatu penghidupan yang lebih selesa dan sejahtera.

Antara hasil penerokaan itu, tercipta pelbagai kaedah dan peralatan teknologi yang direka oleh manusia, yang difikirkan dapat membantu mereka membina satu tamadun yang maju serta dapat memenuhi tuntutan-tuntutan hidup mereka.

Bagi kita yang hidup pada abad ke-21 ini, kehidupan kita sudah tentu jauh berbeza dengan zaman terdahulu. Kadangkala, terutamanya bagi generasi muda, tidak dapat dibayangkan bagaimana kita dapat menjalani kehidupan seharian tanpa bantuan dan sokongan teknologi hari ini yang semakin menjadi ‘sebahagian’ daripada diri kita sendiri.

Sememangnya hidup kita hari ini terkesan dengan teknologi yang kita nikmati. 

Sama ada kita perasan ataupun tidak, kesan teknologi terhadap manusia dapat dilihat dari pelbagai aspek. Dari satu segi, teknologi berjaya meningkatkan kemampuan manusia untuk melakukan bermacam-macam perkara. 

Contohnya, kemajuan teknologi pengangkutan dengan penciptaan pelbagai jenis kenderaan seperti kereta, keretapi, kapal terbang, kapal laut dan sebagainya. Telah memberikan manusia kemampuan untuk mengembara dengan lebih laju dan lebih pantas berbanding dahulu.

Ini seterusnya membuka peluang-peluang baru kepada manusia yang sebelumnya sukar untuk dicapai oleh manusia.

Dengan kaedah pengangkutan yang lebih maju sebagai contoh, manusia dapat meluaskan jaringan perhubungan sesama mereka bagi tujuan pendidikan, perdagangan, pelancongan dan seumpamanya dengan lebih cepat dan menjangkaui jarak yang lebih jauh.

Mengurus dan Menguasai Teknologi

Begitu juga dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). 

Kemampuan manusia untuk memproses maklumat dan berkomunikasi telah mencapai tahap yang boleh dianggap mustahil pada zaman dahulu. Keadaan teknologi yang sedemikian telah menjadikannya sumber ‘keajaiban’ yang seterusnya menghasilkan pelbagai idea rekaan serta kekayaan bagi tamadun manusia.

Namun tidak dapat dinafikan, kesan buruk daripada teknologi juga terlihat apabila peningkatan kemampuan manusia telah menaikkan paras tuntutan kehidupan mereka. Manusia dilihat sudah mampu membuat pelbagai perkara dengan kadar masa yang pantas, maka manusia dituntut untuk mencapai tahap yang lebih tinggi berbanding dahulu.

Ini bukan sahaja melibatkan perkara yang bersangkutan dengan pekerjaan, pembelajaran atau profesion seseorang, malah turut melibatkan kehidupan peribadi, kekeluargaan dan hubungan sosial sesama manusia

Pendek kata, disebabkan kemampuannya sudah ada, manusia dituntut untuk buat lebih dan lebih lagi. Keadaan ini boleh meninggalkan kesan yang tidak baik kepada aspek-aspek kehidupan manusia apabila semua orang begitu sibuk memenuhi tuntutan-tuntutan yang semakin bertambah dan mendesak.


Pada peringkat ini, mungkin ada antara kita yang merasakan bahawa teknologi telah menjadi begitu dominan dalam kehidupan walaupun belum sampai ke tahap yang sering digambarkan dalam cerita sains fiksyen yang memaparkan komputer, mesin dan robot menguasai dunia. 

Namun begitu, manusia harus sedar bahawa teknologi itu mesti diurus dan dikuasai, bukan membiarkannya mengurus dan menguasai kehidupan mereka. 

Ini kerana manusialah yang mencipta teknologi, jadi apa yang manusia rasai sebagai kesan daripada teknologi itu sebenarnya berpunca dari diri mereka sendiri bukannya daripada apa yang dianggap sebagai ‘keajaiban’ teknologi.

Oleh sebab itu, para sarjana yang berbicara tentang teknologi telah bertanya dan mencari, di manakah nilai-nilai sosial dan kemanusiaan dalam teknologi?

Mereka melihat kepada perlunya teknologi itu lebih bersifat kemanusiaan dan bukan kebendaan semata-mata. Maka usaha dibuat agar nilai-nilai ini diberikan perhatian apabila sesuatu teknologi dicipta dan digunakan.

Memerhati Tanda Kekuasaan Allah SWT

Bagi umat Islam, kita harus pergi lebih jauh lagi dengan melihat kepada nilai-nilai kerohanian kerana kejadian manusia itu bukanlah fizikal dan sosial semata-mata. Jadi, kita perlu mencari di manakah makna yang bersifat ketuhanan dalam teknologi kita. 

Dan yang lebih penting, perlunya kita meletakkan makna ketuhanan dalam teknologi yang kita bangunkan.

Oleh sebab itu, apa yang boleh kita buat adalah dengan kembali kepada apa yang diperintahkan kepada kita. Kita disuruh untuk memerhatikan alam semesta sebagai tanda-tanda kekuasaan Allah SWT

Antara dalam ayat-Nya yang bermaksud:-
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal; (iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata):- 
‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah Kami daripada azab neraka.’” 
Surah Ali Imran, 3:190-191
Bagi orang yang tidak bertuhan pada zaman kini, mereka percaya dengan kekuasaan teknologi


Tambahan pula teknologi sudah dilihat mempunyai ‘sifat’ yang seakan-akan ketuhanan mengikut pandangan mereka, iaitu dari segi ia wujud dan tersedia di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa, mampu bertindakbalas dan memberikan hasil dengan seberapa segera atau serta-merta.

Disebabkan teknologi ialah hasil ciptaan manusia, jadi manusia merasakan bahawa mereka mampu berbuat apa-apa jua, sehingga melihat kekuasaan teknologi itu sebagai tanda kemampuan dan kekuasaan mereka sendiri.

Sebaliknya bagi orang yang betuhan, mereka sedar bahawa ‘kekuasaan’ manusia itu sebenarnya datang dari Tuhan Yang Maha Berkuasa yang memberikannya akal dan ilmu untuk menghasilkan apa jua kaedah dan alatan yang dapat memberikan kesenangan hidup kepadanya.

Jangan Seangkuh Firaun

Sejarah telah melakarkan manusia yang tidak percaya kepada kekuasaan Allah SWT malah menganggap dirinya berkuasa sama seperti Tuhan, telah menemui kehancuran keranan tewas kepada kekuasaan Allah SWT seperti mana yang telah berlaku kepada Firaun

Kesombongannya ternukil dalam al-Quran tatkala berbicara dengan Nabi Musa AS:-
“Firaun berkata (dengan sombongnya): ‘Dan siapa Tuhan sekalian alam itu?’”
Surah al-Syu'ara 26:23
“Firaun berkata: ‘Demi sesungguhnya, jika engkau menyembah Tuhan selain aku, sudah tentu aku akan menjadikan engkai daripada orang yang dipenjarakan.’” 
Surah al-Syu'ara 26:29
Bagi mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT serta tidak percaya kepada-Nya dan kekuasaan-Nya, maka mereka sebenarnya telah menzalimi diri mereka sendiri. Nasib yang bakal menimpa mereka samalah seperti yang menimpa Firaun dan kaumnya, seperti yang disebutkan dalam ayat-Nya yang bermaksud:-
“(Keadaan mereka) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang terdahulu daripada mereka. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhan mereka, lalu Kami binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan Kami tenggelamkan Firaun serta pengikut-pengikutnya (di laut) kerana kesemuanya ialah orang yang zalim.”
Surah al-Anfal 8:54
Kelemahan manusia di hadapan kekuasaan Allah SWT juga terlihat pada zaman kini. 

Sehebat-hebat manusia dengan kecanggihan teknologi pun tidak mampu mencegah gempa bumi, tsunami, banjir, ribut taufan dan segala macam bencana alam yang Allah SWT timpakan kepada mereka sebagai tanda peringatan bagi orang yang beriman.

Allah SWT Pemilik Mutlak

Seorang sarjana ICT tempatan pernah menyatakan, betapa kita melihat hebatnya keilmuan manusia sehingga mampu mencipta kuasa pemprosesan komputer dengan kadar kelajuan yang begitu pantas. 


Ini memungkinkan kita menghasilkan pelbagai kegunaan yang canggih daripada kemampuan komputer tersebut, antaranya membangunkan aplikasi atas talian (online) yang membolehkan kita memproses, menyimpan dan meyampaikan maklumat yang begitu banyak dan kompleks dengan pantas dan melampaui sempadan fizikal dan geografi.

Namun bagi beliau, apalah itu semua jika hendak dibandingkan dengan kehebatan dan kekuasaan Allah SWT yang mampu mencipta segala yang ada di bumi, lautan dan angkasa, Yang Maha Mengetahui segala yang terzahir di muka bumi dan yang tersembunyi di benak hati manusia serta segala yang akan berlaku pada masa hadapan. 

Keilmuan Allah SWT melampaui batasan masa dan ruang (time and space), sesuatu yang takkan terjangkau oleh akal manusia.

Maka dengan melihat kemampuan komputer itu, membuatkan kita sedar akan kehebatan dan keagungan Allah SWT. Dengan kata lain, ‘sifat ketuhanan’ yang ada pada teknologi itu sebenarnya kembali kepada Tuhan yang sebenarnya, Allah Rabbujalil.

Oleh sebab itu, dalam kita menjadikan teknologi sebagai sebahagian daripada hidup kita, jangan jadikan ia sesuatu yang melalaikan, gunakanlah ia untuk tujuan dan perkara yang dapat mendekatkan diri kita dengan Allah SWT. Jadikan ia sebagai tanda kelemahan manusia dan tanda kekuasaan dan keagungan Tuhan

Carilah Allah SWT dalam teknologi kita, nescaya kita dapat menemui-Nya.

Wallahua'lam