Cintai Saudaramu Kerana Allah SWT

Rasa diri disayangi dan dicintai oleh seseorang itu sangat bermakna buat diri kita yang dahagakan kasih sayang sesama manusia. Perasaan cinta dan sayang ini lahir dari hati yang tulus dan ikhlas.


Cinta yang dikehendaki oleh Allah SWT ialah cinta kerana Allah SWT sepertimana hadith daripada Mu'az bin Anas al-Jahni yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa sahaja yang memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan menikah kerana Allah, maka bererti ia telah sempurna imannya.” 
Hadith Riwayat al-Hakim
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa pun tidak akan merasakan manisnya iman, sehingga ia mencintai seseorang yang kerana Allah semata.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari
Berikut adalah sifat-sifat orang yang mencintai saudaranya kerana Allah SWT:-

#1 Mendoakan Saudaranya


Ingatan yang tulus ikhlas itu tergambar dengan iringan doa kepada sahabatnya walaupun kita tidak berada bersama-samanya. Ganjarannya sangat besar untuk kedua-duanya.

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang mendoakan saudaranya pada saat dia tidak bersama-samanya, maka malaikat yang diamanahkan untuk menjaga dan mengawasinya berkata:-

‘Semoga Allah mengabulkan dan bagimu semoga mendapat yang sama dengannya.’” 

Hadith Riwayat Muslim

#2 Mengunjungi


Disunatkan bagi kita mengunjungi saudara kita untuk bertanya khabar dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim. Kunjung-mengunjungi dengan hadir bersama buahtangan dapat menguatkan lagi rasa sayang dan menjadi tanda bahawa kita mengambil berat tentang dirinya.

#3 Memberi Bantuan


Pertolongan dan bantuan segera dihulurkan kepada saudara kita yang memerlukan. Kita seharusnya sentiasa berusaha membantu memenuhi keperluan saudara Muslim yang lain dan berusaha menghilangkan segala kesusahannya.

Kepayahan dan kesusahan yang dialami oleh saudara kita dapat ditempuhi bersama. Kita akan berasa bahagia apabila saudara kita bahagia.


#4 Melakukan Perkara yang Disukai


Diriwayatkan oleh at-Tabrani dalam kitab al-Saghir, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang menemui saudaranya yang Muslim dengan menampakkan perkara yang disukainya kerana ingin membahagiakannya, maka Allah akan memberikan kebahagiaan kepadanya pada hari kiamat.”

#5 Penampilan Wajah Berseri-Seri


Seorang Muslim menemui saudaranya dengan wajah yang berseri-seri dikira sebagai satu amal kebaikan. Diriwayatkan daripada Abu Zar, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Janganlah meremehkan kebaikan sedikit pun walau sekadar bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang berseri-seri.” 
Hadith Riwayat Muslim

#6 Memberikan Hadiah


Memberi buahtangan atau hadiah kepada saudara kita sangat digalakkan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Kalian harus saling memberi hadiah, maka kalian akan saling mencintai.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari
Termasuk memberikan balasan hadiah yang setimpal adalah jika seorang Muslim mengatakan kepada saudaranya ‘Jazakallah kharian’, ertinya semoga Allah SWT membalasmu dengan kebaikan

At-Tirmizi meriwayatkan daripada Usamah bin Zaid, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang diberikan kebaikan kemudian ia berkata kepada orang yang memberikan kebaikan: ‘Jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh dia telah memberikan pujian yang sangat baik.”

#7 Memberi Maaf


Bermaaf-maafan antara saudara harus menjadi amalan semua umat Islam kerana ia akan memelihara keharmonian sejagat. Kita juga tidak harus menyimpan rasa dendam kerana ia akan menimbulkan kebencian. 

Kebencian akan membuatkan umat Islam berpecah belah. Tidak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan. 

Dengan memberi maaf, semoga kita juga akan dimaafkan.


#8 Menyimpan Rahsia


Wajib menjaga rahsia seorang Muslim. 

Abu Daud dan at-Tirmizi meriwayatkan daripada Jabir, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Jika seseorang berkata kepada orang lain dengan suatu perkataan, kemudian ia menoleh (melihat sekelilingnya), maka perbicaraan itu adalah amanah.”
Amanah ini merupakan perkara yang amat berat untuk dijaga.

Wallahua'lam