Layakkah Kita Berhari Raya?

Semasa kecil dahulu kita sering diusik dengan kata-kata orang-orang tua:-

“Sesiapa yang tak puasa, tak boleh beraya.”

Itulah kata-kata yang memberi dorongan untuk kita berpuasa. Walaupun masih di bangku sekolah rendah, kebanyakan anak-anak Melayu-Islam sudah dilatih berpuasa.


Hari Raya adalah motivasi utama untuk anak-anak berpuasa. Apa tidaknya, Hari Raya telah disinonimkan dengan baju raya, kuih raya, duit raya dan lain-lain. Ya, semasa kecil kita takut jika tidak berpuasa kerana kita tidak akan dapat berpeluang menikmati semua itu.

Itu Hari Raya yang dilihat dari perspektif seorang kanak-kanak. Mereka memahami Hari Raya berdasarkan adat dan budaya yang mendarah daging sejak sekian lama. Namun setelah dewasa, sepatutnya ufuk minda semakin berkembang. 

Hari Raya mesti dilihat dari perspektif ibadah dengan menitikberatkan prinsip-prinsipnya yang lebih hakiki. Tujuan berhari raya mesti dikaitkan dengan ibadah puasa yang dijalani sebelumnya.

Sesiapa yang tidak berpuasa dalam erti kata sebenar, hakikatnya tidak layak berhari raya.

Apakah ukuran kejayaan amalan puasa seseorang?

Kejayaan puasa akan melahirkan sifat taqwa dalam diri orang berpuasa. Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Wahai orang yang beriman, diwajibkan puasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
Surah al-Baqarah 2:183
Taqwa ialah matlamat utama berpuasa. Jika taqwa tidak terhasil, bermakna puasa itu gagal. Orang yang gagal tidak layak bergembira.

Bulan Ramadhan boleh diumpamakan sebagai sebuah madrasah (pusat pengajian). Selama sebulan, umat Islam perlu menjalani latihan mengawal hawa nafsu untuk mencapai taqwa.

Hanya mereka yang lulus dalam tempoh pengajian di madrasah Ramadhan ini sahaja akan dikurniakan ijazah taqwa, manakal mereka yang gagal, puasanya hanya sekadar lapar dan dahaga sahaja.

Bayangkan kegembiraan siswa siswi yang mendapat ijazah pada hari konvokesyen, maka begitulah juga kegembiraan orang yang yang berpuasa apabila berjaya mendapat sifat taqwa.

Dengan taqwa, mereka akan mendapat bantuan daripada Allah SWT, dilepaskan daripada tipu daya musuh, mendapat jaminan rezeki, diberikan jalan penyelesaian kepada masalah melalui jalan yang tidak disangka-sangka dan pelbagai lagi.

Selayaknya mereka bergembira dan bersyukur kepada Allah SWT pada Hari Raya atas kelebihan-kelebihan itu.

Raya Orang Bertaqwa


Soalnya, bagaimanakah cara orang yang bertaqwa ini meraikan kejayaan mereka?

Ini penting untuk kita meniru dan meneladani mereka. Walaupun kita belum bertaqwa dan puasa kita masih bertatih di tahap puasa orang yang sedang bermujahadah, namun tidak salah kita ‘tumpang gembra’ dengan kegembiraan orang yang bertaqwa pada Hari Raya nanti.

Walaupun hati kita sedih mengenangkan puasa kita yang masih terumbang-ambing, tetapi itu tidak menghalang kita untuk bergembira pada Hari Raya. Semoga dengan meniru mereka, kita juga akan tergolong dalam golongan orang yang bertaqwa juga.


Orang yang bertaqwa akan merayakannya dengan cara yang ditunjukkan oleh Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW.

Antaranya dengan:-

#1 Bertakbir, bertahmid, bertasbih membesarkan Allah SWT


Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (sebulan Ramadhan) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang yang bersyukur.”
Surah al-Baqarah 2:185
Hadith Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan daripada Imam al-Tabari:-
“Sesiapa yang menghayati malam Hari Raya Aidilfitri dan malam Hari Raya Aidiladha (dengan amal), hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinga hati (orang yang kafir dan ingkar) pada hari kiamat.”
Daripada ayat al-Quran dan hadith itu, jelaslah orang yang bertaqwa akan menyambut hari kemenangan itu dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih kepada Allah SWT.

Mereka sedar, keupayaan mereka dapat menjalani ibadah puasa dengan baik kerana taufik dan hidayah Allah SWT jua. Mereka tidak berbangga dengan keupayaan itu, sebaliknya tetap terasa kerdil, hina, miskin dan jahil berdepan dengan kebesaran Allah SWT.

Oleh sebab itu, mereka terhindar daripada sifat takbur, riyak, ujub dan sum’ah dengan amalan ibadah.

#2 Beribadah terus kepada Allah SWT


Daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yangmengerjakan amal ibadat pada malam Hari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kafir dan ingkar) pada hari itu.”
Hadith Riwayat Ibn Majah
Satu petanda ibadah diterima Allah SWT adalah timbul dorongan untuk meneruskan ibadah selepas menyelesaikan satu ibadah. Orang yang bertaqwa tidak akan mengurangkan, apatah lagi memberhentikan ibadah mereka sebaik sahaja Hari Raya menjelang tiba.


Mereka tetap istiqamah dengan mengekalkan momentum ibadah yang mereka lalukan pada bulan Ramadhan, bermula pada malam Hari Raya sehinggalah dua belas bulan kemudiannya; sehingga bertemu Ramadhan pada tahun berikutnya.

#3 Berbuka (makan dan minum)


Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Puasa (al-saum) itu ialah hari kamu berpuasa, Fitri (al-fitr) itu ialah hari kamu berbuka dan Adha (al-Adha) itu hari kamu menyembelih binatang.”
Hadith Riwayat Ibn Majah
Sesuai dengan erti kalimah ‘id yang bermaksud perayaan dan fitri yang bermakna berbuka atau makan minum, maka orang yang bertaqwa akan berbuka (makan dan minum) dan tidak berpuasa pada 1 Syawal.

Walaupun begitu, mereka tidak makan secara berlebih-lebihan dan melakukan pembaziran. Mereka makan secara berjemaah (bersama) dengan ahli keluarga ataupun sahabat handai dalam suasana penuh ukhuwah dan keceriaan.

Bagaimanakah keadaannya mereka yang tidak berjaya mencapai taqwa?

Mereka sebenarnya, tidak layak untuk berhari raya.

Bagaimana mahu bergembira jika diri masih dibelenggu nafsu, hati masih kotor dengan dosa, fikiran masih dijajah dengan isme-isme ciptaan manusia dan pancaindera masih banyak melakukan kemungkaran?

Kalimah ‘fitri’ juga bermaksud fitrah atau tabiat semulajadi.

Maksudnya, orang Islam yang telah menjalani ibadah puasa selama sebulan disertai dengan pakej ibadah yang lain seperti solat Tarawih, bertadarus al-Quran, qiyamulail, zikrullah, berdoa, bersedekah dan sebagainya, sewajarnya kembali kepada fitrahnya yakni seperti bayi yang baru dilahirkan.

Namun, boleh kan orang yang masih bergelumang dengan dosa dan dibelenggu hawa nafsunya dianggap telah kembali kepada fitrahnya?

Tentu tidak. Aidilfitri (perayaan kembali ke fitrah) sebenarnya tidak layak disambut oleh mereka yang masih belum kembali kepada fitrah. Malah mereka sepatutnya bersedih kerana kehilangan peluang untuk membersihkan diri pada bulan Ramadhan.


Mereka orang yang rugi dan sewajarnya bersedih kerana bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, keampunan dan kelebihan sudah berlalu. Belum ada jaminan mereka akan bertemu Ramadhan akan datang.

#4 Menunaikan zakat fitrah


Orang yang bertaqwa akan menunaikan zakat. Walaupun pembayarannya boleh dilakukan sejak awal Ramadhan lagi, tetapi waktu yang paling afdhal untuk membayarnya adalah pada Hari Raya selepas solat Subuh sebelum solat raya didirikan.

Daripada Ikrimah R.A, daripada Ibn Abbas R.A berkata:-
“Sesiapa yang menunaikannya (zakat fitrah) sebelum solat (Hari Raya), ia zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat (Hari Raya), ia sedekah biasa.”
Hadith Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan al-Hakim
Orang yang bertaqwa sangat prihatin terhadap nasib insan lain.


Mereka akrab dengan Allah SWT namun tetap intim dengan manusia lain. Dalam kegembiraan menyambut hari kemenangan, mereka tidak lupa untuk memberikan kegembiraan kepada orang lain terutamanya fakir, miskin, anak yatim dan asnaf zakat yang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Iaitu (orang yang bertaqwa) orang yang berinfak (bersedekah) baik pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. 

Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.”
Surah Ali' Imran 3:134
Zakat fitrah bertujuan membersihkan kekurangan, kecacatan dan lain-lain pencemaran dalam ibadah puasa

Dalam konteks ini, Ibn Abbas R.A berkata:-
“Rasulullah SAW memfardhukan zakat fitrah untuk mebersihkan kecacatan ibadah puasa kerana perbuatan sia-sia dan tidak berfaedah, disamping menjadi habuan untuk orang miskin...”
Hadith Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan al-Hakim

#5 Solat Hari Raya


Semua orang Islam tidak kira tua muda, termasuk wanita-wanita yang haid disunatkan menghadiri perhimpunan tahunan iaitu solat Aidilfitri. Ini memberi peluang kepada semua untuk bertakbir, mendengar khutbah, berzikir dan mengaminkan doa yang dipimpin oleh para imam.

Bagi mereka yang tidak uzur, mereka berpeluang mendirikan solat Hari Raya ini.


Dalam hadith Rasulullah SAW, daripada Ummu 'Atiyyah R.A:-
“Kami disuruh (oleh Rasulullah SAW) keluar membawa gadis-gadis kecil dan wanita yang haid pada Hari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha), agar menyaksikan kebajikan dan doa kaum muslimin tetapi wanita yang haid disuruh supaya dipisahkan dari tempat solat.”
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

#6 Mandi, memakai pakaian  yang indah dan memakai haruman


Pada Hari Raya, mereka akan mandi dan memakai pakaian yang serba baru atau lebih bersih dan indah. Mereka akan pergi ke masjid melalui satu jalan dan pulang melalui jalan yang lain dengan tujuan dapat bertemu lebih ramai sahabat handai dan saudara sesama Islam.

Mereka akan mengucapkan Salam Aidilfitri sambil berbalas-balas senyuman, ucapan tahniah dan sama-sama menyatakan rasa syukur kepada Allah SWT atas petunjuk dan hidayah-Nya sehingga mampu menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

Itulah cara orang bertaqwa merayakan hari kemenangan mereka; dengan menundukkan hawa nafsu. Ia berbeza sama sekali dengan ‘orang yang gagal’ tetapi masih tega merayakan Hari Raya. Malah tanpa rasa segan silu dan takut, mereka merayakan Hari Raya dengan cara mungkar.

Sudahlah pada hakikatnya mereka tidak layak bergembira, malah mereka juga bergembira dengan cara keterlaluan dan melampau.

Apa yang membuatkan kita sedih, belum pun bulan Ramadhan menjelma, kadangkala promosi program-program menyambut Hari Raya dengan cara yang salah dan mungkar ini telah pun diwar-warkan.

Suasana ibadah pada bulan Ramadhan cuba ‘dibunuh’ dengan agenda makan minum, membeli belah dan hiburan yang keterlaluan. Pesta ibadah (Ramadhan) bertukar menjadi pesta juadah. Hari membesarkan Allah SWT (1 Syawal) telah diganti dengan hari membesarkan nafsu amarah.

Secara terang-terangan kita saksikan bagaimana Aidilfitri telah dirayakan dengan dosa.

Majlis-majlis atau acara-acara yang penuh dengan pendedahan aurat, pergaulan bebas, pembaziran, ketawa leka dan berbagai-bagai jenis kemungkaran dilaksanakan kononnya untuk menyambut Hari Raya.

Unsur-unsur ibadah dalam Hari Raya telah dileburkan dan diganti dengan unsur hedonisme yang pekat dengan dosa dan perkara yang melalaikan.

Aneh, mereka yang tidak layak bergembira ini pula yang bergembira secara melampau.


Roh Ramadhan cuba dibunuh seawal Syawal lagi. Lebih menyedihkan apabila ramai umat Islam yang terpedaya dan turut hanyut bersama arus dosa yang sudah menjadi budaya dan diberi nilai komersial ini.

Tanpa segan silu, orang berdosa ini terus bergembira dengan cara yang berdosa.

 Buat peringatan, marilah kita sama-sama hayati peringatan Rasulullah SAW ini yang bermaksud:-
“Sesiapa yang ketawa ketika melakukan dosa, akan masuk ke dalam neraka dalam keadaan yang menangis.”
Hadith Riwayat Abu Naim
Ya, andainya inilah Ramadhan yang terakhir, layakkah kita berhari raya?

Marilah kita sama-sama bermuhasabah.

Wallahua'lam