Arak Punca 10 Golongan Dilaknat

Alangkah besarnya kecelakaan dibawa oleh arak sehingga Nabi SAW telah melaknat 10 golongan manusia yang terlibat dengannya.

Baginda SAW terkenal dengan sifat lembut dan pemaaf, tetapi sangat tegas berkenaan tegahan terlibat dengan ibu segala maksiat ini.

Anas RA berkata:-
"Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melaknat 10 orang yang berkaitan dengan arak; pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan pemesannya." 
Riwayat al-Tirmizi no 1295, Abu Daud No. 3674, Ibn Majah No. 3381 dan Ahmad No. 316
Apabila diteliti 10 golongan manusia yang tersenarai dalam hadith di atas, satu kesimpulan yang boleh dibuat iaitu setiap orang yang terlibat dengan arak pasti termasuk dalam laknat Nabi SAW.

Setiap sen yang diperolehi daripada sumber yang berkaitan dengan arak pasti menjadi sebab hilangnya keberkatan dalam hidup seseorang.

Bahkan ia menjadi punca keruntuhan institusi keluarga dan kecacatan ibadat.

Masyarakat yang dalamnya wujud peminum arak akan terdedah dengan pelbagai masalah.

Musibah terbesar pasti mengundang kemurkaan Allah SWT sekiranya tiada pihak cuba memeranginya.

Peminum arak sentiasa terdorong untuk melakukan jenayah-jenayah seperti memandu secara berbahaya, merogol, membunuh dan sebagainya.

Ini kerana apabila seseorang itu mabuk, pusat kawalan akalnya sudah tidak berfungsi dengan normal, lantas dia akan berindak di luar kawalan akal.

Kesan Negatif Arak

Menurut kajian Biro Keadilan Mangsa Jenayah Kebangsaan (Jabatan Keadilan Amerika Syarikat), pada tahun 1996 sahaja, purata 2713 kes rogol berlaku setiap hari di Amerika.

Statistik menunjukkan bahawa kebanyakan perogol mabuk semasa melakukan jenayah tersebut.

Dalam buku Quran Saintifik, Dr Danial Zainal Abidin mengemukakan beberapa hasil kajian yang membuktikan kemudaratan arak kepada manusia dan masyarakat.

Antaranya ialah sebagaimana yang dilaporkan oleh jurnal perubatan The Lancet bahawa pada tahun 2002, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengumumkan alkohol (arak) adalah salah satu pemusnah kesihatan yang berbahaya di dunia.

Di negara-negara yang sedang membangun, arak dikategorikan sebagai pemusnah utama kesihatan. BBC News Online bertarikh 12 November 2002, di bawah tajuk 'Alcohol Increase Breast Cancer Risk' melaporkan risiko seseorang wanita menghidap kanser payudara meningkat sekiranya mereka meminum arak.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit di Amerika (Centers for Disease Control and Prevention), setiap tahun antara 1300 hingga 8000 bayi dilahirkan dengan penyakit sindrom alkohol atau Fetal Alcohol Syndrome (FAS).

Penyakit ini menyerang bayi disebabkan oleh sikap ibu yang selalu meminum arak. Kesannya, bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan fizikal dan mental. Bahkan pelbagai penyakit lain telah didedahkan oleh pakar-pakar perubatan akibat meminum arak.

Amatlah benar pengharaman arak dalam ajaran Islam.


Walaupun arak telah sebati dan menjadi minuman kegemaran masyarakat Arab, Nabi SAW tidak pernah teragak-agak menguatkuasakan pengharamannya.

Baginda SAW mungkin berdepan dengan risiko dibenci oleh masyarakat Arab dan juga risiko berkurangnya pendapatan negara Madinah daripada cukai arak, tetapi keutamaan diberikan demi mencari keredhaan Allah SWT dengan melaksanakan perintah-Nya.

Wawasan Baginda SAW bukan sekadar berjaya di dunia, tetapi kemenangan hakiki adalah dengan mendapat syurga Allah SWT di akhirat kelak.

Larangan Arak dalam Bible

Bukan niat saya untuk berhujah dengan Bible tetapi sekadar ingin mengetengahkan bahawa bukan Islam sahaja yang melarang pengambilan arak.

Sebagai contoh, beberapa ayat yang menyatakan larangan pengambilan arak dalam Bible:-
  • "Minuman keras membuatkan orang mabuk dan merepek. Bodohlah orang yang menjadi mabuk" (Proverbs, 20:1)
  • "Janganlah kamu menjadi mabuk oleh wain, kerana hal itu akan merosakkan hidup kamu" (Ephesians, 5:8)
Arak Punca Pelbagai Maksiat

Diceritakan bahawa pada zaman sebelum kebangkitan Nabi SAW, seorang pemuda yang terkenal sangat kuat beribadat telah difitnah oleh seorang perempuan pelacur yang jatuh hati kepadanya.

Si perempuan menggunakan helah menyuruh pembantunya menjemput pemuda itu datang ke rumah, kononnya atas suatu hajat yang penting. Apabila pemuda tersebut masuk ke rumahnya, perempuan itu segera mengunci pintu.

Di dalam rumah tersebut ada seorang bayi kecil dan satu hidangan arak. Perempuan itu berkata:-

"Aku beri kamu tiga pilihan; berzina denganku, bunuh bayi ini atau minumlah arak ini. Sekiranya kamu enggan, aku akan memberitahu orang ramai bahawa kamu telah memperkosaku dan bayi ini adalah anakmu".


Melihat kesungguhan pelacur ini, pemuda tersebut terpaksa membuat keputusan untuk memilih salah satu pilihan. Dia memilih untuk meminum arak kerana baginya ia adalah dosa yang paling ringan.

Membunuh bayi dan berzina melibatkan orang lain, tetapi meminum arak hanya melibatkan dirinya sahaja untuk bertaubat, pada pandangannya. Akhirnya dia meminum arak itu sehingga mabuk dan ketika mabuk, dia berzina pula dengan pelacur yang hina itu.

Selepas itu, tanpa kewarasan fikirannya, dia telah membunuh pula bayi itu.

Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Abdul Razzaq dalam kitab al-Musannaf, No. 17060 dan Ibn Hibban, No. 5348.

Demikianlah betapa hebatnya pengaruh negatif arak kepada manusia.

Ia bukan sahaja menyebabkan masalah kesihatan, tetapi juga mendorong manusia melakukan maksiat yang lebih besar.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
"Arak adalah ibu segala maksiat"
Riwayat al-Nasa'i, No. 5666
Wallahu'alam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment