Mengajar Agama Secara Professional

Kita perlu meneliti kembali pendekatan mengajar subjek-subjek Pendidikan Islam sama ada dalam sistem pendidikan formal atau tidak formal.

Adakah subjek agama itu telah disusun mengikut keutamaannya?

Dan adakah isinya sekadar mengandungi fakta-fakta yang bersifat ilmiah tetapi gersang daripada roh tarbiah?

Misalnya solat, perkara yang dititkberatkan hanya aspek makna, rukun dan syaratnya sahaja tanpa menitikberatkan solat dari sudut penghayatan dan "rasa" yang mana makna dan maksud rukun fi'li, qauli dan qalbi-nya diperincikan dengan cara yang menyentuh jiwa.

Tambahan lagi, subjek seperti solat perlu dikaitkan dengan pembinaan sistem kepercayaan (belief), anjakan paradigma, pembentukan nilai, pembentukan karakter dan sikap seseorang.

Maksudnya, kira perlu lebih kreatif dan inovatif untuk memberi nafas baru dalam matapelajaran solat agar pelajar dapat merasai kepentingan berhubung secara terus dengan Penciptanya.

Penyusunan pelajaran rukun Iman dan rukun Islam yang merupakan teras pembentukan peribadi mestilah menekankan kepada mekanisme dan proses bagaimana kedua-duanya boleh membentuk kepercayaan, nilai paradigma seterusnya tingkah laku manusia.

Jangan hanya menyenaraikan kesan dan hasil yang akan didapati sahaja kerana kesan akan berlaku secara automatik apabila mekanismanya dilaksanakan dengan tepat dan baik.

Misalnya, bagaimanakah "percaya kepada Allah SWT" boleh menimbulkan rasa takut dan cinta kepada-Nya?

Ini perlu dijelaskan kepada para pelajar. Ini adalah soal "rasa" dan amaliah bukan lagi bertaraf fikrah dan ilmiah.

Kita tidak mahu parapelajar hanya pandai menghafal rukun Iman dan rukun Islam sepertimana mereka menghafal formula matematik atau sains sahaja.

Subjek Pendidikan Islam mesti mampu menyentuh conscious mind dan sub-conscious mind para pelajar, barulah ia akan berjaya menanam nilai-nilai positif seterusnya membentuk karakter.


Rasanya masih ada peluang bagi membuat peningkatan dalam subjek Pendidikan Islam terutamanya dari aspek falsafah dan penghayatannya.

Aspek ritual dan terlalu berorientasikan peperiksaan yang ditekankan selama ini kurang relevan untuk melahrkan para pelajar yang benar-benar dinamik dan progressif keislamannya.

Sudah sampai masanya matapelajaran Pendidikan Islam disusun dengan menekankan aspek substance dan berorientasi penghayatan dan amalan Allah SWT telah menjamin bahawa solat akan mencegah seseorang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.

Jadi tentulah ada yang tidak kena dengan solat kita jika kejahatan dan kemungkaran masih berleluasa, walaupun kita masih solat.

Tegasnya, subjek Pendidikan Islam kadangkala hanya berjaya memberikan pengetahuan, tetapi tidak kemahuan dan kemampuan bagi melaksanakan ajaran-ajaran itu.

Sebab itu ada pelajar yang berjaya mencapai kelulusan yang cemerlang dalam matapelajaran Islam tetapi mereka tidak langsung solat!

Para remaja kita memang kekeringan susbstance dalam kefahaman Islam mereka.

Kalau orang bukan Islam bertanya, mengapa umat Islam terlalu banyak "membuang masa" untuk solat lima waktu sehari semalam, apakah jawapannya?

Malangnya, ramai remaja yang tidak dapat memberikan jawapan tepat. Kekadang mereka hanya tahu aspek how dalam solat (yang merangkumi soal rukun, sah dan batalnya) tetapi tidak tahu aspek why dalam amalan itu.

Apabila ada cabaran, barulah mereka sedar bahawa matapelajaran Pendidikan Islam yang diajar selama ini belum begitu bersedia berdepan dengan sikap rationalisme pemikiran saintifik dan komprehensif manusia moden yang lebih berani, liar dan bebas.

Itu baru soal solat.

Bagaimana nanti jika soal ketuhanan, akhlak, perundangan Islam turut dipersoalkan?

Corak pembelajaran agama sepatutnya dijalankan secara adult learning yakni menekankan terlebih dahulu akan keperluan matapelajaran itu dipelajari.

Hanya apabila terasa keperluannya maka barulah timbul keghairahan untuk mempelajari sesuatu.

Untuk itu ilmu agama mestilah "dibawa" kepada para pelajar, bukan pelajar yang "dibawa" kepada matapelajaran itu. Berilah peluang kepada para remaja mengaitkan apa yang mereka pelajari dengan pengalaman hidup mereka sehari-hari.

Dengan cara ini barulah mereka akan nampak perkaitan antara Islam dengan kehidupan, sekaligus menyakini bahawa Islam ialah cara hidup yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia.

Adalah lebih berkesan jika penyampaian ilmu agama dapat menunjukkan perkaitan antara sains dengan tauhid, matematik dengan fiqah, ekonomi dengan akhlak dan lain-lain.

Wallahualam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment