Wajah yang Menyenangkan

Persepsi kita terhadap orang yang kita temui bergantung kepada wajahnya. Daya tarikan pada wajah seseorang itu bukanlah terletak pada kecantikan semata-mata.

Walaupun wajah manusia ini memang berbeza dari rupa paras tetapi perasaan terhadap seseorang itu lahir dari dalam sanubari kita. 

Apabila bertemu dengan seseorang, kita akan membuat penilaian menerusi perasaan kita terhadapnya seperti suka, rasa mesra, segan-silu, manis, lembut, ayu, sombong dan sebagainya.

Apakah yang mempengaruhi perasaan kita terhadap seseorang?

Contohnya, apabila kita bertemu dengan seorang hafiz, seorang alim atau orang yang baru pulang dari Makkah, kita akan mengatakan wajah mereka ini lembut, jernih, berseri, bersih dan seumpamanya.

Apakah fenomena ini berlaku secara semula jadi atau dibuat-buat? 

Antara rahsia untuk mendapatkan wajah yang menyenangkan orang yang melihat kita adalah seperti yang berikut:-

Niat yang Ikhlas

Kita perlu memasang niat dalam semua perkara yang kita lakukan sebagaimana mafhum sabda Nabi SAW dalam riwayat Muslim:-
"Sesungguhnya setiap perbuatan itu adalah dengan niat dan sesungguhnya bagi setiap manusia itu (balasan) apa yang telah diniatkan".
Hadith ini membawa pengertian bahawa setiap perbuatan dan amalan itu dinilai berdasarkan niatnya. 

Jika niatnya baik dan ikhlas kerana Allah SWT, maka itu merupakan ibadah yang menyebabkannya memperoleh ganjaran pahala.

Secara saintifik pula, orang yang berniat baik dan ikhlas ini akan mengeluarkan tenaga dalaman positif yang terpancar melalui getaran atau gelombang (brain waves) yang hanya dirasai dengan gerak hati atau intuisi

Wajah orang yang positif ini dirasakan menarik, bersih, lembut, manis dan sebagainya. Orang yang mendampinginya akan merasakan aura itu. 

Oleh sebab itu, jagalah niat kita bertemu dengan seseorang kerana ianya boleh terpancar dari wajah kita.

Senyuman

Senyuman yang tulus ikhlas dapat menghangatkan jiwa yang menerimanya. Ia boleh menjadi penawar dan ibadah, malah turut menceriakan dan memaniskan penampilan kita. 

Apabila kita senyum dengan niat kerana Allah SWT, ia jadi ibadah sedekah.


Senyuman mampu jadi penawar kepada penyakit rohani yang kronik. Orang yang selalu senyum akan dapat mengeluarkan endorphin dalam badan yang mampu menimbulkan rasa lega, selesa dan ceria. 

Kesan senyuman ini dapat menimbulkan rasa gembira kepada orang yang melihatnya. Senyuman yang ikhlas akan meresap dalam kalbu yang paling dalam.

Wajah Ceria

Keceriaan ialah anugerah Allah SWT yang tidak terhingga kepada manusia. 

Ia berpunca dari lubuk hati yang bersih dan suci. rasa senang dan bahagia menimbulkan wajah yang ceria. Ia merupakan satu kebaikan yang perlu diambil perhatian sebagaimana sabda Nabi SAW dalam hadith ini yang bermaksud:-
"Janganlah kamu memandang remeh terhadap segala kebaikan, walaupun hanya sekadar kamu berjumpa dengan saudaramu dengan wajah yang ceria" 

Riwayat Muslim
Alangkah senang hati kita melihat wajah orang ceria. Wajah orang yang ceria dapat menghiburkan orang lain.


Kata-Kata yang Menyenangkan

Manusia sangat senang dengan kata-kata pujian dan penghargaan

Ia dapat memotivasikan orang yang menerimanya. Ucapan yang baik dengan penuh kemesraan dapat memikat hati orang yang mendengarnya. 

Allah SWT juga memerintahkan kita supaya mengucapkan kata-kata yang baik seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 38, mafhumnya:-
"Dan ucapkanlah kata-kata baik kepada manusia."
Oleh sebab itu rahsia orang yang hebat ialah apabila dia dapat mengeluarkan kata-kata yang menyenangkan hati orang lain.

Penampilan yang Menarik

Persepsi orang yang melihat kita banyak bergantung pada pakaian kita kerana 95% daripada badan orang Muslim dilitupi oleh pakaian. 



Identiti seseorang banyak bergantung pada cara mereka berpakaian. 

Cuba kita buat perbandingan pakaian seorang korporat dengan seorang imam masjid. Tentunya jelas kepada kita bahawa pakaian banyak mempengaruhi persepsi orang terhadap kita.

Manusia sangat senang dan suka kepada kecantikan. Oleh sebab itu, pilihlah pakaian yang menarik dan sesuai dengan keadaan dan suasana supaya orang senang melihat kita.

Kita mampu untuk membuat orang senang melihat wajah kita jika kita berusaha mengubah diri menjadi yang terbaik. 

Kemantapan dari segi fizikal, emosional dan spiritual harus seimbang supaya kita disayangi Allah SWT dan berjaya menawan hati orang. Jika kita memberikan kebaikan, kita juga akan menerima pulangan yang sama iaitu kebaikan.

Wallahu'alam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment