Lain Di Mulut, Lain Di Hati

Kita sering menilai seseorang berdasarkan kepada percakapan dan penampilan mereka. Apakah persepsi kita apabila mendengar ungkapan berikut:-

“Pintu bilik saya sentiasa terbuka. Jika ada masalah, jemputlah. Jangan malu, jangan segan.”

Biasanya ungkapan sebegini benar-benar membuatkan kita rasa selesa dan amat senang.

Malangnya kadangkala, ia sekadar kata-kata untuk menunjukkan sifat luaran yang ada pada seseorang. Dia mengharapkan supaya orang yang mendengarnya memberikan penilaian dan persepsi yang positif terhadapnya.

Hakikat sebenarnya, apabila kita berjumpa dengannya, berhujah dan sebagainya, kita akan dipandang negatif, pembangkang dan seumpamanya.

Kata-kata lain yang kita dengar adalah seperti:-

“Saya sebenarnya ikhlas. Takkan ada udang di sebalik batu.”

“Saya terima dengan hati yang terbuka.”

“Kritikan awak itu memang membina. Saya pasti akan fikirkan semula”

“Buat apa saya nak tipu awak. Saya memang jujur.”

“Kejayaan saya selama ini adalah sokongan semua.”

Adakah kata-kata ini datang dari lubuk hati yang benar-benar ikhlas? 

Amat menyedihkan jika kata-kata ini hanya dijadikan sebagai pemikat untuk menyedapkan telinga orang yang mendengar. Sebaliknya, lain di mulut lain di hati.

Kata-kata manis ini bertujuan untuk menunjukkan bahawa dia memiliki hati budi yang sangat baik sedangkan hakikatnya tidak seperti yang diungkapkan. Manusia bersikap begini kerana hatinya tidak ikhlas berpunca daripada rasa sombong, ego, bangga diri, hipokrit dan banyak lagi penyakit hati. Kedudukan, kuasa dan pangkat juga banyak mempengaruhi manusia untuk bersikap “cakap tak serupa bikin”. Mereka berpura-pura jujur di hadapan kita tetapi bersifat telunjuk lurus kelengkeng berkait.

Sikap Berdepan Dengan Golongan Munafik

Orang yang bersifat begini menunjukkan dia memiliki salah satu daripada sifat orang yang munafik iaitu berkata-kata tetapi dusta, seperti hadith Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:-

“Tanda orang munafik itu ada tiga; apabila berkata-kata dia berusta, apabila berjanji dia mengingkari dan apabila diberikan amanah dia mengkhianatinya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Kehidupan harian kita ini memang dikelilingi oleh mereka yang bersifat begini. Dalam al-Quran ada diterangkan bagaimana untuk menghadapi manusia munafik ini.

1. Bergantung kepada Allah SWT

Kita seharusnya jangan menghiraukan dan menuruti kehendak orang yang hipokrit ini kerana kebergantungan kita semestinya hanya kepada Allah SWT semata-mata. Kita tidak perlu bimbang dengan ancaman mereka dan bertawakal kepada Allah SWT secara mutlak.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Dan janganlah kamu menuruti kehendak orang kafir dan munafik itu. Janganlah kamu hiraukan celaan mereka dan bertawakallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pelindung (yang menyelamatkan kamu).” (surah al-Ahzab 33:48)

2. Elak daripada bersekongkol

Kita dengan mudah menuruti segala kehendak mereka dengan alasan mereka berkuasa. Kita ini mentimun dan mereka pula durian. Digelek kita kena, menggelek juga kita akan kena. Kadangkala kita lebih takut kepada mereka berbanding Allah SWT. Kita lebih tunduk atas perintah mereka dan mengingkari perintah Allah SWT. Ruang yang kita berikan meningkatkan lagi sifat hipokrit dan keegoan mereka sehinggakan mereka terlupa kepada kekuasaan Allah SWT.

Ingatlah bahawa kita semestinya takut kepada Allah SWT berbanding takut kepada manusia. Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran yang bermaksud:-

“Wahai Nabi, bertaqwalah kepada Allah dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang kafir dan munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (surah al-Ahzab 33:1)

3. Bersikap keras

Bersikap keras untuk tidak menuruti kehendak mereka. Kita membantah mereka bagi menunjukkan bahawa kita memiliki prinsip hidup yang berlandaskan syariat. Kita tidak boleh akur membabi buta. Penilaian perlu kita lakukan untuk memastikan bahawa kita boleh akur jika ia tidak melanggar hukum.

Lebih keras lagi, kita patut melawan mereka jika sampai ke tahap yang kritikal seperti melakukan maksiat dan melanggar perintah Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Wahai Nabi, berjihadlah (melawan) orang kafir dan munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka ialah neraka Jahanam. Dan itulah tempat kembali yang seburuk-buruknya.” (surah at-Tawbah 9:73)

Ingatlah Allah SWT amat membenci orang yang memiliki sifat seperti mana golongan munafik, pandai memainkan kata-kata manis di hadapan tetapi penuh dengan kebencian di belakang. Bagi mereka yang terpaksa bergaul dengan golongan ini, janganlah rasa takut dan bimbang kerana kebergantungan kita hanya kepada Allah SWT.

Kita harus berjuang mengutamakan perintah Allah SWT daripada menuruti kehendak mereka. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersama dengan mereka yang bertaqwa.

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment