Bodoh Umpama Keldai

“Bandingan orang (Yahudi) yang dipertanggungkan dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungan dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul beban kitab-kitab besar (sedangkan ia tidak mengetahui kandungannya).

Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.” (surah al-Jumu’ah 62:5)


Kiasan ayat ini telah didatangkan oleh Allah SWT bagi menempelak kaum Yahudi dan mereka diumpamakan seperti keldai. Ia mengisahkan keadaan orang Yahudi yang tidak beramal dengan isi kandungan Taurat serta mendustakan apa-apa yang terdapat dalam Taurat mengenai kenabian Rasulullah SAW.

Menurut al-Zamakhshari dalam Tafsir al-Kashshaf, orang Yahudi membaca dan menghafal isi kandungan Taurat tetapi mereka tidak beramal dan tidak mengambil manfaat daripada ayat-ayat tersebut, justeru mereka tidak beriman dengan Rasulullah SAW. Walaupun kenabian Rasulullah SAW sudah termaktub dalam Taurat. Oleh sebab itu, mereka telah diumpamakan dengan keldai yang memikul kitab-kitab yang besar di atas belakangnya tetapi keldai itu tidak boleh mengambil manfaat daripada kitab-kitab tersebut, sebaliknya ia hanya berasa letih dan penat sahaja.

Setiap orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya maka samalah dengan keadaan mereka dengan orang Yahudi tersebut. Syeikh Abdul Qadir al-Jailani juga berkongsi tafsiran yang sama dengan al-Zamakhshari.

Al-Qurtubi menyatakan bahawa kiasan dalam ayat al-Quran ini merupakan suatu kiasan dalam ayat al-Quran ini merupakan suatu peringatan daripada Allah SWT kepada sesiapa yang menerima kitab agar mempelajari makna yang terkandung dalamnya, seterusnya beramal dengan isi kandungannya agar terselamat daripada celaan Allah SWT sebagaimana golongan Yahudi tersebut.

Kiasan dalam ayat ini menggambarkan dengan jelas kehinaan dan kecelaan orang Yahudi. Ia juga menunjukkan bahawa rendahnya martabat mereka yang telah disifatkan oleh Allah SWT dengan seekor binatang.

Ibn Kathir mentafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa golongan Yahudi lebih teruk daripada keldai kerana mereka bukan sahaja tidak mahu memahami dan mengamalkan isi Taurat yang diturunkan kepada mereka, sebaliknya mereka bertindak menyelewengkannya serta mengubah isi kandungannya. Maka dengan sebab itu, Allah SWT berfirman dalam ayat lain, yang bermaksud:-

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahannam banyak daripada kalangan daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (surah al-A’raf 7:179)

Imam Ahmad pula telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Sesiapa yang berkata-kata pada hari Jumaat ketika imam sedang berkhutbah, maka dia seumpama keldai yang membawa kitab di atas belakangnya. Dan sesiapa yang berkata ‘diam’ kepada orang lain, tiada baginya (pahala) Jumaat.”

Hadith ini boleh menjadi pengukuh kefahaman kepada penggunaan keldai dalam ayat al-Quran iaitu surah al-Jumu’ah. Keadaan orang yang bercakap-cakap ketika khatib membaca khutbah adalah seumpama keldai yang jahil dan tidak tahu apa-apa. Cuma bezanya ialah keldai sememangnya tidak faham apa-apa kerana ia adalah haiwan tetapi manusia yang dikurniakan akal oleh Allah SWT apabila bersikap dan berkelakuan seperti keldai, maka ia menunjukkan keadaan yang lebih teruk dan buruk.

Ringkasnya, golongan Yahudi telah diumpamakan dengan keldai kerana mereka tidak mengambil manfaat dan tidak beramal dengan isi kandungan kitab Taurat yang diturunkan kepada mereka.

Al-Himar


Al-Himar ataupun keldai ialah haiwan peliharaan yang digunakan untuk mengangkat barangan dan dijadikan tunggangan. Keldai dalam masyarakat Arab adalah ibarat lembu dalam masyarakat Melayu, ia merujuk kepada simbol kebodohan. Antara tujuan kiasan ini adalah untuk memberikan dorongan supaya menghindarkan diri daripada perkara buruk dengan diumpamakan sesuatu itu dengan perkara yang tidak disenangi oleh jiwa agar manusia menghindarinya. Pemilihan keldai dalam ayat ini adalah untuk menzahirkan kejahilan dan kebodohan, kehinaan dan kecelaan.

Oleh yang demikian, apabila perumpamaan itu dikaitkan dengan keldai, maka ia membawa makna yang sangat buruk dalam kalangan masyarakat Arab.

Menurut al-Zamakhshari, keldai merupakan perumpamaan bagi kehinaan yang amat sangat dan kecelaan. Masyarakat Arab menjadikan keldai dan suaranya sebagai simbol kehinaan, sehinggakan nama haiwan tersebut juga jarang disebut dengan jelas, sebaliknya ia dipanggil dengan nama gelaran seperti “dua telinga yang panjang”. Ia tidak ubah seperti masyarakat Melayu yang berasa sangat jijk dan kotor untuk menyebut perkataan “babi”, sebaliknya hanya menyebut dengan ejaan seperti “ba-alif-ba-ya” atau “b-a-b-i”.

Jelasnya, Allah SWT telah menjadikan keldai sebagai contoh kepada golongan yang tidak mahu menerima kebenaran Islam, sebaliknya bergelumang dengan perkara maksiat, tidak menghiraukan segala perintah dan ajaran Islam serta mengetepikan sunnah Rasulullah SAW semata-mata kerana mengikut dorongan hawa nafsu.

Mengikut Telunjuk al-Quran

Apabila golongan Yahudi dilaknat dan diumpamakan seperti keldai ekoran sikap mereka yang menolak serta tidak menghiraukan ajaran Taurat yang diturunkan kepada mereka, maka umat Islam kini juga perlu mengambil pengajaran agar tidak mencontohi sikap Yahudi tersebut.

Kewajipan umat Islam adalah melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangann-Nya sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran. Janganlah menjadi golongan yang hanya menerima sebahagian dan menolak sebahagian yang lain, sepertimana Yahudi yang memilih-milih dalam perlaksanaan sesuatu hukum dan ketetapan Allah SWT.

Contohnya ayat al-Quran yang berkaitan dengan persoalan ekonomi. Allah SWT menjelaskan bahawa “jual beli dihalalkan, sebaliknya riba’ diharamkan” melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat ke-275.

Kefahaman daripada ayat ini sewajarnya mendorong umat Islam untuk memastikan agar diri tidak terjebak dengan riba’. Oleh yang demikian, umat Islam tidak boleh terlibat dalam pinjaman kewangan daripada bank-bank konvensional yang jelas melibatkan riba’. Begitu juga, umat Islam sewajarnya tidak terlibat dengan insurans konvensional, kad kredit konvensional dan sebagainya yang jelas mempunyai unsur-unsur yang diharamkan seperti riba’, judi atau gharar. Janganlah menjadi seperti golongan Yahudi yang mengetahui tentang keburukan riba’, lalu mengharamkan riba’ di kalangan mereka tetapi “menghalalkan” riba’ dengan golongan selain Yahudi.

Selain itu, dalam usaha untuk mewujudkan kehidupan yang berpaksikan keharmonian dan ketenangan, ajaran Islam menganjurkan keseimbangan dan keadilan antara seseorang individu dengan individu yang lain. Oleh sebab itu, kewujudan undang-undang Islam adalah untuk melaksanakan keadilan demi mewujudkan kehidupan yang aman dan selesa bagi warga dunia keseluruhannya.

Namun malangnya, terdapat dalam kalangan orang Islam sendiri yang menganggap perlaksanaan undang-undang Islam terutamanya undang-undang jenayah Islam ibarat melaksanakan hukuman yang primitif, kejam, menakutkan, mengerikan serta tidak berperikemanusiaan. Justeru itu, mereka menolak dengan sewenang-wenangnya undang-undang Islam daripada dilaksanakan.

Hakikat yang sebenarnya, perlaksanaan undang-undang Islam bukan bertujuan untuk melakukan kezaliman, sebaliknya ia bertujuan bagi mewujudkan keamanan kepada seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Mereka tidak sepatutnya membenci dan takut kepada undang-undang Islam selagi mana mereka tidak terlibat dalam sebarang perbuatan yang ditegah.

Tsunami Menundukkan Ego

Sesungguhnya gempa bumi 8.9 skala Richter  yang melanda Jepun dan mencetuskan fenomena tsunami yang lepas sepatutnya menjadi pengajaran yang amat berguna kepada manusia terutamanya masyarakat Islam. Ombak besar tsunami yang mengorbankan ribuan nyawa menjadi suatu petanda bahawa manusia amat kerdil di sisi Allah SWT.

Tiada apa yang tinggal melainkan banjir lumpur, serpihan bangunan, kayu kayan, batu batan dan sebagainya. Pesisiran pantai yang dahulunya berkilauan dengan pasir memutih dan kebiruan air laut yang amat menenangkan, menjadi tidak ubah seperti tanah perkuburan. Diikuti pula dengan letupan loji nuklear yang mengakibatkan radiasi lantas menyebabkan manusia tidak dapat berbuat apa-apa melainkan berserah kepada ketentuan Ilahi.

Fenomena seumpama ini sepatutnya menjadi pengajaran yang besar kepada manusia agar tidak bersikap sombong dan ego, sebaliknya hendaklah sentiasa tunduk dan sujud kepada perintah Allah SWT. Jangan menjadi seumpama keldai yang tidak tahu apa-apa walaupun memikul kitab-kitab yang amat bernilai. Sebaliknya jadilah manusia yang sentiasa peka serta berusaha menhayati dan melaksanakan segala perintah dan ajaran Islam yang terkandung dalam kitab suci al-Quran dan sunnah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment