Soleh Ritual, Warak Professional

Setiap pelajar fiqah pasti mengenali tokoh yang menjadi pilihan kali ini. Buku-buku beliau telah menjadi rujukan pelajar-pelajar Islam sejak ratusan tahun yang lalu.

Ulama' ini ialah Syihabuddin Ahmad bin Muhammad bin Ali, terkenal dengan sebutan Ibn Hajar al-Haitami al-Syafi'e. Perlu diingatkan, beliau bukan Ibn Hajar al-Asqalani penulis Syarh Sahih al-Bukhari.

Ibn Hajar al-Haitami lahir di Mesir pada akhir tahun 909 Hijrah dan wafat di Makkah pada tahun 974 Hijrah. Kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia ketika beliau masih kanak-kanak lagi. Walaupun hidup tanpa bimbingan ibu bapa, Ibn Hajar sangat rajin belajar.

Kerana kecerdasannya, beliau telah diizinkan untuk mengajar dan menulis buku-buku penting dalam bidang fiqah dan hadith sebelum usianya mencapai 20 tahun.


Saya bukan mahu membuktikan keluasan ilmu dan kesolehan imam Ibn Hajar. Buku-buku karangan beliau sudah cukup untuk menunjukkan perkara itu.

Kali ini, saya ingin berkongsi kisah yang diceritakan sendiri oleh beliau tentang suatu kejadian pelik yang menimpa dirinya. Kejadian ini mengandungi pengajaran yang sangat penting untuk kita renungkan bersama.

Seksa Kubur

Dalam kitabnya yang bertajuk al-Zawajir an Iqtiraf al-Kaba’ir, Ibn Hajar menulis:-
“Sejak kecil, aku selalu menziarahi kubur bapaku selepas solat Subuh. 
Hari itu adalah pada bulan Ramadhan dan di sepuluh hari terakhir. 

Dan kemungkinan malam itu ialah malam Lailatulqadar. 
Tidak ada seorang pun di tempat itu selain diriku.

Apabila aku duduk dan mulai membaca ayat-ayat al-Quran, tiba-tiba aku terdengar suara rintihan yang sangat mengejutkan.

‘Aah, aah, aah...’

Begitulah nada yang sangat memilukan hati. 
Suara itu datang dari sebuah kubur yang dibina daripada batu dan simen yang berwarna putih bersih.

Aku menghentikan bacaanku dan mencari-cari dari mana sumber suara itu. 
Ternyata ia datang dari dalam kubur tersebut. 

Penghuninya sedang diseksa. 
Dia mengaduh dengan suara rintihan yang sangat menyayat hati. 

Aku mendengar suara itu selama beberapa detik. 
Apabila matahari mulai terbit, suara itu menghilang.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki lalu di tempat itu. 

Aku segera bertanya kepadanya:-

‘Maaf tuan, kubur siapakah ini?’

Dia menjawab:-

‘Kubur si polan.’

Nama yang disebutkan itu sangat aku kenali. 
Aku pernah berjumpa dengannya ketika kecil dahulu. 

Allahyarham seorang yang sangat rajin ke masjid, menjaga solat pada waktunya dan tidak banyak berbicara. 
Hanya ini yang aku ketahui tentang dirinya.

Perkara ini membingungkan. 
Aku begitu pasti mendengarnya sedang diazab di dalam kubur, padahal aku melihatnya sebagai seorang yang sangat soleh. 

Aku terus bertanya dan meneliti hakikat orang ini.

Apabila aku bertanya kepada orang yang benar-benar mengenalinya, ternyata Allahyarham yang zahirnya soleh ini suka memakan harta hasil riba. 


Menurut mereka, dia asalnya seorang peniaga. 
Apabila memasuki usia tua dan masih memiliki sedikit harta, dia berasa tidak cukup dengan apa yang ada. 


Syaitan lalu membisikkan kepadanya untuk melabur dalam pelaburan riba agar hartanya tidak berkurangan.”
Ibn Hajar berkata:-
“Itulah yang menyebabkan dirinya mendapat seksa kubur walaupun pada bulan Ramadhan dan pada malam Lailatulqadar yang penuh rahmat.”
Islam Formaliti

Ramai orang seperti ini dalam masyarakat kita. Mereka beranggapan bahawa Islam tidak lebih daripada sekadar ibadah ritual sahaja.

Ada juga yang menyangka bahawa hukum Islam hanya berkaitan dengan pakaian dan penampilan zahir sahaja, sehingga kita sering melihat ada orang yang rajin beribadah, namun tidak takut bermaksiat. Mereka berjubah dan berkopiah, namun kasar dalam ucapan dan perbuatannya

Saya menyebut sikap dalam beragama seperti ini sebagai Islam formaliti.


Seorang sahabat pernah mengadu, dia tertarik dengan seseorang yang dahinya hitam dengan tanda sujud. Di pejabatnya pun, orang itu tidak lepas daripada sejadah.

Setiap kali masuk waktu solat, dia segera meninggalkan semua pekerjaannya untuk berwuduk lalu solat. Namun, apabila berurus niaga dengannya, sahabat saya sangat terkejut. 

Orang yang “soleh” ini tidak malu-malu meminta rasuah!

Sahabat lain bercerita tentang seseorang yang selalu melazimkan diri ke masjid. Zahirnya, dia memperlihatkan sifat wara’ yang sangat tinggi.

Dia selalu menutup telinganya dengan kapas agar tidak mendengar ucapan yang haram. Namun, apabila orang ini diamanahkan menjaga kewangan masjid, habis wang itu dibawa lari olehnya.

Kisah-kisah sedemikian agak banyak kita temuinya dalam pengalaman hidup sehari-hari.

Fenomena ini mengingatkan saya pada sebuah hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Perkara pertama yang akan hilang daripada agama ini adalah amanah. 

Dan yang paling akhir (hilang) ialah solat.” 
Riwayat al-Hafiz Abu Bakar al-Kharaiti, Makarim al-Akhlaq
Thabit berkata:-
“Oleh sebab itu, sering kali seseorang yang rajin berpuasa dan solat, namun jika diberikan amanah, dia tidak dapat menjaganya.”
Sikap seperti ini tidak boleh diambil sambil lewa. Ia sangat buruk dan merupakan sebahagian daripada nifak.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:-
“Tiga perkara, sesiapa yang memilikinya maka dia seorang munafik, meskipun dia solat, puasa dan menyangka dirinya Muslim. 

Apabila berbicara, dia berdusta. 
Apabila berjanji, dia mengingkari. 
Dan apabila diberi amanah, dia berkhianat.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Sempurnakan Solat

Maimun bin Mahran (wafat 117 Hijrah), seorang ulama' tabi’in yang berasal dari Kufah berkata:-
“Zikir itu terbahagi kepada dua iaitu berzikir dengan lisan, namun lebih tinggi daripada itu, berzikir (mengingati Allah) apabila hampir melakukan maksiat.” 
Riwayat Abu Nu’aim
Ibadah formal memang penting, tetapi ia belum mencukupi. Islam menginginkan kesolehan ritual itu membuka jalan untuk kesolehan sosial dan kewarakan professional.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” 
Surah al-Ankabut 29:45
Rasulullah SAW pernah ditanya tentang makna ayat ini.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang solatnya tidak menghalangnya daripada perbuatan keji dan mungkar, maka tidak (sempurna) solatnya.” 
Riwayat al-Hafiq Ibn Abi Hatim
Berkata Abu al-‘Aliyah (seorang ulama' tabi’in):-
“Solat mengandungi tiga perkara. 

Setiap solat yang tidak memiliki salah satu daripada ketiga-tiganya, maka ia bukanlah solat, iaitu ikhlas, takut dan mengingati Allah. 

Ikhlas akan memerintahkannya ke arah kebaikan, takut akan menahannya daripada kemungkaran dan mengingati Allah (dengan al-Quran) akan memberitahunya perintah dan larangan.”

Solat dan ibadah lain yang kita lakukan seharusnya membentuk peribadi-peribadi yang jujur. Dan itulah yang terjadi kepada tokoh-tokoh besar kita pada masa silam. Kita melihat mereka merupakan orang yang sangat khusyuk di masjid, juga jujur di pasar.

Jangan Tertipu

Islam formaliti ialah satu bentuk penipuan

Ia menipu diri sendiri, menipu Allah SWT dan menipu masyarakat. Oleh sebab itu, kita dinasihatkan agar tidak termakan tipu daya orang seperti ini. Jangan cepat percaya hanya melihat kesolehan ritual sahaja. 

Tanpa amanah, kesolehan itu tidak bermakna.

Berkata Saidina Umar bin al-Khattab RA:-
“Aku tidak pernah tertipu dengan solat atau puasa seseorang. 

Semua orang boleh berpuasa, semua orang boleh solat. 

Akan tetapi, tidak beragama orang yang tidak memiliki sifat amanah.” 
Riwayat al-Kharaiti Makarim al-Akhlaq
Semoga Allah SWT menjadikan kita insan-insan yang soleh dalam ibadah ritual, juga warak dalam pergaulan sosial. Dan semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang dapat mengakibatkan azab kubur bagi kita semua.

Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment