Jodoh Tidak Datang Bergolek

Setiap orang mengimpikan bakal pasangan yang pandai menghargai

Sifat mulia ini menjamin keteguhan rumahtangga yang terbina.


Malah, pasangan yang memiliki sifat ini boleh dijadikan teman ketika gembira dan juga berduka.

Selain itu, personaliti yang bersederhana, tidak materialistik, tidak terlalu bermewah-mewah lahir daripada jiwa yang sentiasa redha, mudah menghargai pasangannya.

Diriwayatkan daripada Mu'az bin Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang meninggalkan pakaian yang indah dengan tujuan merendahkan diri kepada Allah, sedangkan dia mampu berbuat demikian, maka Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan orang ramai, kemudian Allah menyuruhnya memilih pakain yang dia suka daripada pelbagai pakaian orang beriman.” 
Hadith Riwayat at-Tirmizi
Bagaimana Menguruskan Diri untuk Mendekatkan Jodoh?

#1 Fahami emosi dan kerenah wanita

Seseorang lelaki perlu memahami bahawa wanita dicipta bersama jiwa yang halus dan sensitif. Jiwa sebegitu membolehkannya menjalankan peranan sebagai seorang ibu yang mengandung, melahirkan dan membesarkan anak. 

Begitu unik ciptaan Allah SWT!

Kerenah perempuan juga agak berbeza dan perlu difahami agar lelaki mampu bertindak adil dengan perempuan tersebut. Perempuan suka mengikut emosi apabila bertindak, berbanding lelaki yang lebih rasional.

Perempuan juga berfikir sambil bercakap berbanding lelaki yang kurang bercakap dan diam ketika berfikir.

Oleh itu, lelaki jangan menuduh melulu pasangannya kuat berleter atau membebel, sebaliknya tangani kerenah itu dengan bijak dan berhikmah.

#2 Elakkan memberi tumpuan pada kelemahan pasangan

Setiap orang mempunyai kelemahan diri masing-masing. Tiada manusia yang sempurna, melainkan Rasulullah SAW yang terpelihara dirinya daripada dosa. 

Oleh sebab itu, elakkan memberi tumpuan pada kelemahan pasangan. Contohnya, apabila pasangan kita seorang yang tidak pandai bercakap depan orang ramai, cari kebaikan lain pada dirinya, bukan memandang pada satu kekurangan itu sahaja.

Ingatlah, diri kita juga sarat dengan kelemahan dan mungkin kebaikan-kebaikan lain yang ada pada diri pasangan boleh membantu menampung kelemahan diri kita.

#3 Senyuman dan bahasa badan

Senyuman yang terukir indah di bibir seorang wanita sangat memberi kesan di hati lelaki. Namun seorang wanita tidak boleh sembarangan menghadiahkan senyuman kepada lelaki kerana mungkin menjadi racun berbahaya pada hati lelaki tersebut.

Senyuman manis seorang wanita selayaknya hanya untuk lelaki bernama suami. Namun, tidak salah bagi seseorang wanita menyemaikan sifat suka tersenyum dalam dirinya. Senyumlah buat semua saudara Islam sejenisnya.

Sifat itu akan subur menghiasi diri dan menjadi keistimewaannya, apatah lagi jika ditambah dengan bahasa badan (body language) yang menarik.

Hakikatnya, biar semanis mana pun senyuman dan secantik mana pun bahasa badan, seseorang wanita itu hanya kelihatan benar-benar menawan apabila ia lahir daripada hati yang bersih.

#4 Keserasian atau persamaan

Manusia mudah tertarik dengan orang yang kelihatan serasi dengannya. Seseorang itu serasi apabila dia mempunyai hubungan atau persamaan dengan kita. 

Contohnya, hubungan atau persamaan dari sudut tahap pengorbanan, keserasian dan keakraban.

Biasanya, pasangan kerap melakukan aktiviti bersama mudah tertawan. 

Contohnya, seperti bergerak dalam parti politik yang sama, melakukan aktiviti keagamaan yang sama, hobi yang sama dan sebagainya.

Walaupun banyak perbezaan antara pasangan, namun mereka masih boleh menjadi pasangan ideal jika mempunyai persamaan walaupun pada satu perkara. 

Berdasarkan pengalaman dan kajian, terbukti bahawa persaudaraan dan kasih sayang antara manusia tidak tumbuh melainkan dengan adanya persamaan tabiat dan istiadat.

Oleh sebab itu, tidak hairan jika kesatuan pemikiran, perasaan, tujuan dan pertimbangan dapat menyatukan dua hati lantaran persamaan antara mereka terlalu ketara.

#5 Bertemu dengan menjaga syariat

Menjaga syariat yang dimaksudkan contohnya mengajak pasangan datang ke rumah untuk perjumpaan yang melibatkan ramai orang. Pasangan tidak dibolehkan sesekali keluar berdua-duaan tanpa kehadiran mahram bersama.

Bertepatan dengan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Apabila keluar berdua-duaan antara lelaki dan wanita, orang ketiganya ialah syaitan.” 
Hadith Riwayat Ahmad
Pertemuan itu juga perlu atas urusan yang dibenarkan syariat. Perjumpaan tanpa tujuan dan urusan bukan sahaja tidak dibenarkan agama malah menjadi tunas berputiknya nafsu syahwat yang liar di hati.


#6 Mempamerkan emosi yang sama

Si dia mudah memberi kepercayaan kepada kita apabila mendapati kita mempunyai emosi yang sama dengannya. Malah, mungkin dia menganggap kita orang yang paling memahami emosinya.

Contohnya apabila dia terlanggar kucing, lalu menunjukkan emosi sedih, kita juga hendaklah menunjukkan emosi sedih dan bersimpati.

#7 Membantu menaikkan semangat

Orang yang mudah menerima semangat dan kata-kata perangsang (motivasi) daripada seseorang, akan mudah tertarik dengan orang tersebut.

Mungkin orang itu akan menjadi idola atau ‘guru’nya. Seseorang yang gemar memberi semangat dan perangsang memiliki ciri-ciri pasangan yang baik, memahami dan mengambil berat.

Oleh sebab itu, jika kita mendapati orang yang kita jatuh cinta sedang memerlukan nasihat, motivasi dan perangsang, janganlah berat hati untuk membantunya. 

Namun, batas-batas syariat perlu dititikberatkan.

#8 Lakukan sebanyak mungkin perkara yang pasangan suka

Setiap orang pasti menyukai pasangan yang mempunyai persamaan minat dengannya. Oleh sebab itu, jika kita menyukai seseorang dan benar-benar jatuh cinta terhadapnya, lakukan sebanyak mungkin perkara-perkara yang disukainya selagi mana tidak bertentangan dengan syariat.

Namun, elakkan sikap hipokrit kerana itu bukanlah sikap yang dianjurkan dalam Islam. Sebaik-baiknya, cuba memimpin diri melakukan sesuatu yang baik dari kacamata syariat dan ikhlas kerana Allah SWT, nescaya perkara itu tentu baik dari kacamata manusia.

Semua perlakuan yang buruk serta sifat mazmumah sudah tentu tidak disukai oleh manusia yang baik, maka hendaklah kita kikis sebanyak mungkin. Sudah tentu sifat ini juga tidak disukai oleh pasangan yang baik.

#9 Tindakan serentak yang berulang boleh menarik pasangan

Seseorang itu tentu sudah tertarik dengan seseorang yang sering bertindak serentak berulangkali dengan tanpa dirancang. Bagaikan itulah petanda bahawa mereka akan bersama. 

Contohnya, si dia senyum kita pun senyum, si dia memakai baju unggu, kita juga memaki warna unggu, si dia mencuci kasut, kita juga mencuci kasut dan sebagainya.

Kadang-kadang apabila kita sedang memikirkan tentang sesuatu perkara, tiba-tiba si dia terus bertanya perkara yang sama. Kadang-kadang hendak mengambil lauk di dalam mangkuk juga serentak!

#10 Memuji dengan ikhlas

Kadangkala, belaian kata-kata indah melalui pujian ikhlas boleh menambat hati pasangan. 

Namun, jangan terlalu berlebih-lebihan dalam memuji kerana ia boleh melalaikan hati pasangan malah boleh menyuburkan sifat riyak dan ujub.

Berpada-padalah dalam memuji dengan niat untuk menghargai dan menggalakkan agar dia terus mengekalkan difat-sifatnya yang terpuji. 

Rasulullah SAW juga tidak kedekut memberikan pujian dan memanggil dengan nama-nama penghargaan buat sahabat-sahabat tercinta seperti gelaran ‘as-Siddiq’ yang benar), ‘al-Faruq’ (pemisah antara yang hak dan batil) dan sebagainya.

#11 Seimbang

Wanita yang pandai mengurus hidupnya dengan seimbang dari sudut pergaulan, keagamaan, pengurusan diri, pengurusan masa dan sebagainya menjadi idaman lelaki.

Sifat mulia ini penting untuk disuburkan dalam hidup berkeluarga bagi menguruskan urusan rumahtangga yang menuntut seribu satu tanggungjawab. Wanita yang seimbang mempunyai perancangan matlamat hidup yang jelas.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA katanya:-
“Rasulullah SAW menepuk bahuku serta bersabda yang bermaksud:-



‘Hendaklah engkau jadi di dunia ini seolah-olah berdagang di negeri orang atau sebagai orang yang melintasi jalan.’”
Ibn Umar RA berkata:-
‘Jika kamu berada pada waktu petang, janganlah kamu tangguh ke waktu pagi dan jika kamu berada pada waktu pagi, janganlah kamu tangguh ke waktu petang. 



Rebutlah kesempatan sewaktu kamu berada dalam keadaan sihat sebagai persediaan waktu engkau sakit, dan ketika engkau masih hidup sebagai bekalan ketika engkau mati.’
(Rujukan: Hadith Riwayat al-Bukhari)

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment