Memerhati Ciptaan, Mencintai Pencipta

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ghashiyah ayat 17-20 yang bermaksud:-
“Maka, adakah mereka tidak melihat pada unta, bagaimana ia diciptakan? 

Dan pada langit, bagaimana ia diangkat tinggi? 

Dan pada gunung-ganang dan bukit-bukau, bagaimana ia ditegakkan? 

Dan kepada bumi, bagaimana dihamparkan?
Pada ayat ini, Allah SWT menempelak golongan kafir Makkah dengan mempersoalkan tentang sikap mereka yang tidak mengambil iktibar dengan memerhatikan beberapa ciptaan yang menunjukkan kekuasaan dan kebesaran-Nya.

Jika mereka melihat dan mengambil pengajaran daripada apa-apa yang berada di sekeliling mereka, pasti mereka akan kagum dan seterusnya beriman dengan ajaran Islam. Namun, mereka terus kufur dan tidak mahu beriman.

Walaupun potongan ayat ini ditujukan kepada orang kafir Makkah, tetapi ia adalah umum dan turut ditujukan kepada sesiapa sahaja yang mendustakan risalah Nabi SAW.

Unta dan Masyarakat Arab

Allah SWT menciptakan unta dengan pelbagai kelebihan untuk dimanfaatkan dalam kehidupan manusia. Menurut Imam al-Jalalain, penciptaan unta disebutkan terlebih dahulu kerana hubungannya yang kuat dengan masyarakat Arab pada waktu itu.


Imam al-Shawi menyatakan dalam huraiannya kepada Tafsir al-Jalalain, ayat 17 ini mengkhususkan unta disebabkan ia merupakan binatang yang mempunyai banyak faedah, antaranya:-
  • Dagingnya boleh dimakan dan susunya boleh diminum
  • Mampu menahan dahaga sehingga lebih dari 10 hari
  • Hidup dengan memakan apa sahaja tumbuhan termasuk pokok yang berduri
  • Digunakan sebagai pengangkutan utama, termasuk ke medan perang
Begitu juga yang disebut oleh al-Syeikh Sayyid Tantawi dalam al-Tafsir al-Wasit, Allah SWT mengkhususkan unta berbanding dengan haiwan lain kerana ia merupakan binatang yang paling berharga di sisi masyarakat Arab.

Ia mampu melakukan pelbagai tugasan yang diperlukan selain merupakan binatang yang hebat pada amasa itu.

Terdapat juga tafsiran yang menyatakan bahawa kalimah الْإِبِلِ yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah awan.

Jika awan dibandingkan dengan unta di sisi masyarakat Arab, kedua-duanya hampir sama.

Namun, al-Imam al-Zamakhshari menjelaskan dalam tafsirnya, al-Kashshaf bahawa nama الْإِبِلِ tidak terdapat pada nama-nama awan, tetapi kebanyakan syair-syair Arab pada masa itu mengaitkan antara awan dengan unta. 

Lalu ia disamakan dengan menggunakan gaya bahasa perumpamaan (al-tashbih) dan kiasan (al-majaz).

Manakala al-Imam al-Tha’labi menyatakan dalam tafsirnya, al-Kashf wa al-Bayan bahawa beliau tidak pernah mendapati perkataan unta ditafsirkan sebagai awan dalam mana-mana kitab.

Justeru, menurut al-Mawardi, tafsiran yang paling layak diberikan ialah unta, bagi membangkitkan kesedaran masyarakat Arab ketika itu supaya memerhatikan kehebatan ciptaan-Nya.

Walaupun unta merupakan haiwan yang biasa di Tanah Arab dan selalu digunakan dalamm kehidupan mereka, namun ciptaan ini seharusnya difikirkan dan direnung oleh mereka sebagai bukti kehebatan dan kekuasaan Allah SWT.

Langit

Salah satu tanda kekuasaan Allah SWT juga ialah penciptaan langit yang mana ia ditegakkan tanpa sebarang tiang dan tidak mempunyai sebarang kecacatan. 

Allah SWT berfirman dalam surah Qaf, ayat ke-6 maksudnya:-
“Maka apakah mereka tidak melihat kepada langit yang berada di atas mereka, bagaimanakah Kami membinanya dan menghiasinya (dengan bintang-bintang) serta tidak ada padanya retak?”
Dalam menerangkan maksud السَّمَاءِ ini, pengarang kamus Mukhtar al-Sihah menyebut bahawa perkataan ini mempunyai beberapa maksud (dalam bahasa Arab). 

Antaranya ialah:-
  • Langit
  • Setiap apa yang berada di atas seseorang dan memayunginya seperti atap rumah
  • Hujan
Sayyid Qutb dalam tafsirnya Fi Zilal al-Quran menyatakan bahawa perintah Allah SWT kepada manusia supaya memikirkan kejadian langit disebut berulang-ulang kali dalam al-Quran.

Ia diangkat tanpa tiang, dihiasi dengan bintang-bintang dan pastinya ada Pencipta yang melakukan semua itu. Apabila direnungi dan difahami, maka ia sudah cukup untuk membuktikan kekuasaan Penciptanya.


Walaupun penciptaan ini suatu kejadian yang hebat, Allah SWT mengkhabarkan juga bahawa Dia mampu menjadikan langit itu retak dan merekah ketika berlakunya hari kiamat. 

Allah SWT berfirman dalam surah al-Inshiqaq, ayat 1 dan 2 maksudnya:-
“Apabila langit merekah. 
Dan ia patuh kepada Tuhannya dan memang sepatutnya ia patut.”
Dalam ayat ini, langit yang pada penciptaannya dikagumi oleh manusia akan rebah dan tunduk kepada Penciptanya.

Bukit-Bukau dan Gunung-Ganang

Seterusnya Allah SWT memerintahkan agar orang yang tidak beriman memerhatikan kejadian bukit dan gunung yang menetapkan kedudukan bumi

Pengarang kitab al-Lubab fi ‘Ulum al-Kitab menyatakan bahawa ketika bumi dihamparkan, ia sering bergegar dan tidak tetap.

Maka Allah SWT menjadikan bukit sebagai pasak yang menetapkan kedudukan bumi seperti yang disebut dalam surah al-Anbiya', ayat 31 yang bermaksud:-
“Dan Kami telah jadikan pasak-pasak (bukit bukau dan gunung ganang) supaya ia tidak bergegar bersama mereka.”

Imam Ibn Kathir menambah dalam tafsirnya, selain fungsi bukit sebagai pasak yang mengelakkan bumi dan penghuninya bergegar, ia juga mempunyai banyak manfaat lain dan hasil galian yang dicipta oleh Allah SWT.

Bumi

Bumi merupakan satu-satunya planet yang mempunyai pelbagai hidupan. 

Dalam ayat seterusnya, Allah SWT memerintahkan agar kejadian bumi dilihat sebagai suatu bukti kekuasaan 

Penciptanya. Berkenaan dengan bumi yang dihamparkan, Imam al-Mahalli menyebutkan dalam Tafsir al-Jalalain bahawa bumi bersifat mendatar pada zahirnya menurut para ulama' syarak berbanding para saintis yang mengatakan bahawa bumi berbentuk sfera.

Pendapat ini disebutkan oleh sebahagian para ulama' dalam tafsir al-Lubab bahawa bumi bukan berbentuk sfera berdasarkan ayat ini.

Namun, Ibn al-Khatib mengatakan pendapat yang mengatakan bumi bukan berbentuk sfera adalah lemah. Hal ini kerana apabila bentuk bumi sfera itu bersaiz sangat besar, maka ia akan kelihatan seperti mendatar.

Pun begitu, pegangan yang mengatakan bumi bukan berbentuk sfera ini tidak menjejaskan mana-mana rukun agama Islam seseorang individu.

Syeikh Abu Bakar al-Jaza’iri, pengarang kitab Aisar al-Tafasir pula menyebut dalam kitabnya bahawa bumi dihamparkan supaya makhluk yang berada di atasnya dapat hidup dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk berjalan, memakmurkannya dan sebagainya.

Oleh sebab itu, nikmat ini merupakan suatu tanda yang menunjukkan bahawa Allah SWT berkuasa membangkitkan dan memberikan balasan kepada manusia.


Seterusnya, Imam al-Shawi menjelaskan kaitan antara empat perkara di atas iaitu unta, langit, bukit bukau dan bumi berbanding dengan ciptaan-ciptaan yang lain.

Secara ringkasnya, ia merupakan petunjuk kepada orang kafir Makkah dalam memahami kebesaran dan kekuasaan Penciptanya iaitu dengan:-
  • Melihat perkara yang paling berharga baginya iaitu unta yang mempunyai banyak manfaat
  • Mendongak memerhatikan kejadian langit yang ditinggikan tanpa sebarang tiang yang menyokongnya
  • Melihat sekelilingnya, dia akan memerhatikan kejadian bukit dan gunung yang berfungsi sebagai pasak kepada bumi
  • Melihat ke bawahnya, dia akan berfikir tentang bumi yang banyak memberikan kemudahan kepada kehidupan makhluk di atas permukaannya.
Golongan yang Ingkar

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ghashiyah ayat 21-26 yang bermaksud:-
“Maka berilah peringatan (wahai Muhammad SAW) sesungguhnya engkau hanyalah pemberi peringatan. 

Engkau bukanlah seorang yang berkuasa atas mereka yang merupakan pemaksa. 
Tetapi sesiapa yang berpaling dan kufur.

Maka, Allah SWT akan mengazabnya dengan azab yang paling besar. Sesungguhnya kepada Kami jualah tempat kembali mereka. 

Dan sesungguhnya atas Kami jugalah perhitungan mereka.”
Allah SWT kemudiannya memerintahkan Nabi SAW menyampaikan tugas Baginda SAW sebagai seorang pemberi peringatan walaupun mereka tetap tidak memerhatikan tentang kejadian-kejadian Allah SWT yang telah sebutkan sebelum ini.

Imam al-Mawardi menyebutkan dua bentuk tafsiran berdasarkan ayat ke-21:-
  • Baginda SAW hanyalah sebagai orang yang memberikan nasihat
  • Baginda SAW memperingatkan mereka dengan nikmat-nikmartyang telah dikurniakan supaya mereka takut terhadap seksaan dan balasan daripada Allah SWT
Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW bukanlah pihak yang memaksa seseorang supaya beriman dengan apa yang telah diturunkan.

Baginda SAW hanya menyeru mereka kepada Islam tanpa dapat menjamin apakah seseorang itu akan beriman atau tidak. 

Imam al-Mahalli menyebutkan perkara ini telah berlaku sebelum perintah jihad diturunkan.

Tetapi, sesiapa yang berpaling daripada keimanan dan ingkar kepada al-Quran, maka Allah SWT akan menimpakan azab dan seksaan yang sangat menyakitkan di akhirat kepadanya.

Menurut Imam al-Mahalli, golongan ini juga tidak akan terlepas daripada azab di dunia yang dikenali sebagai ‘azab kecil’ iaitu dengan cara dibunuh atau ditawan dalam peperangan.

Setelah dibangkitkan, mereka pasti akan kembali kepada Allah SWT dan dihisab serta diberikan pembalasan terhadap perkara yang telah mereka dustakan.

Dua ayat terakhir surah ini dijelaskan dengan:-
  • Menggunakan perkataan taukid iaitu إِنَّ yang menunjukkan suatu penegasan
  • Mendahulukan khabar إِنَّ daripada isim yang menunjukkan amaran dan janji buruk atas mereka.
Maka Allah SWT memberikan jaminan kepada Rasul-Nya; bahawa sikap ingkar dan tidak beriman mereka tidak akan menjejaskan tugasan Baginda SAW

Bahkan Baginda SAW tetap menjalankan apa yang telah diperintahkan Allah SWT iaitu meneruskan tugasan Baginda SAW sebagai seorang pemberi peringatan dan amaran.

Segala perkara berkaitan nasib mereka yang tidak beriman akan ditentukan dan diserahkan kepada Allah SWT.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment