Mengapa Saya Memeluk Islam?

Saya tidak percaya dengan mana-mana ustaz.”, ujar seorang anak muda yang baru memeluk Islam beberapa tahun yang lalu.

“Bagaimana cara kamu belajar agama, kalau tidak daripada mana-mana ustaz?”

Saya cuba meredakan panas diskusi petang itu.

“Saya belajar dengan membaca buku. Saya belajar solat pun daripada buku.”

Anak muda ini melirik dengan wajah sedikit ego.

“Oh, boleh saya tahu, apa yang menyebabkan kamu tidak percaya untuk belajar agama daripada mana-mana ustaz?”, saya cuba mengorek kisah.

“Tidak ada seorang ustaz pun yang boleh menjawab soalan saya, saya ada banyak soalan, tetapi satu pun tidak terjawab.”


“Oh....”, saya terdiam.

Sudah mengagak masalah ini. Saya sudah banyak bertemu dengan ramai reverts atau converts yang kecewa dengan para ustaz yang tidak berupaya memenuhi kehendak mental mereka.

“Saya nak tanya pada ustaz, ada berjuta orang di dunia ini, tetapi mengapa Allah memilih saya memeluk Islam? Saya sudah cuba lari keluar daripada Islam beberapa kali. 

Namun, akhirnya saya tetap hendak balik kepada Islam. Tolong jawab soalan ini! Tiada seorang ustaz pun boleh menjawab soalan saya sebelum ini.”, separuh menjerit dia bersuara.

Masya-Allah, hanya Allah SWT yang boleh membantu saya menjawabnya.

Bicara Dai

Seorang pendakwah bukan seorang mufti. 

Pendakwah akan memandu manusia ke jalan yang diredhai Allah SWT, bukannya untuk mengeluarkan hukum dan kata putus untuk manusia.

Ini mutiara yang saya perolehi sewaktu menghadiri seminar The Eternal Journey: Tafsir Juzu’ Tabarak anjuran Al-Maghrib Institute.

Di hadapan saya, seorang anak muda berkelulusan undang-undang dan sedang berhadapan dengan konflik diri.

Konflik yang sering menyerang individu yang berjuang untuk beriman pada Allah SWT.

Saya kemukakan ayat al-Quran yang pertama bagi menjawab persoalannya.

Orang berkelulusan undang-undang sepertinya rata-rata bersikap kritis, terutamanya ketika menganalisis bukti dan dalil.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan demikian Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil agar kamu menjadi saksi terhadap manusia dan agar Rasulullah menjadi saksi atas kamu.” 
Surah al-Baqarah 2:143
“Jawapan soalan saudara sudah dijawab oleh Allah. Saudara akan menjadi saksi bersama-sama dengan orang beriman yang lain, bahawa para Rasul sudah menyampaikan mesej dakwah mereka. 

Ketika itu, tiada siapa pun boleh memberi alasan bahawa dirinya tidak pernah tahu tentang Islam. Ibu bapa dan keluarga saudara tidak lagi boleh mengelak bahawa mereka tidak tahu tentang Islam.”, saya menerangkan kefahaman ayat itu.

“Saya akan menjadi saksi? Gulp!”, dia terkejut.

Kelihatan sukar untuk memprosesnya.

Terkejut kerana ada pula jawapan bagi soalan yang paling sukar dalam hidupnya.

Baru dia tahu bahawa Allah SWT menjadikannya sebagai seorang Muslim agar dia boleh memberi keterangan di mahkamah Allah SWT bahawa Rasulullah SAW telah menyempurnakan dan menyampaikan mesejnya.

Kemudian, saya tunjukkan pula ayat al-Quran yang kedua.

“Saudara dipilih untuk diberi hidayah oleh Allah kerana memang Allah mahukan saudara beriman.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Itu petunjuk Allah (al-Quran), Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. 
Dan sesiapa yang disesatkan Allah, tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepadanya.” 
Surah az-Zumar 39:23
“Berapa ramai orang yang mendengar tentang Islam, tetapi tidak diberikan hidayah? Sebaliknya, saudara ialah orang yang menyambutnya dengan membuat kajian.”, premis saya membentangkan.

“Ya, saya mengkaji semenjak sekolah lagi. Saya minat mengkaji tentang Islam dan banyak membaca terjemahan al-Quran.”

“Hasil usaha saudara mengkaji agama inilah menyebabkan Allah memberikan hidayah. Berapa ramai orang yang terlintas di hati tentang persoalan ketuhanan, namun saudara yang berusaha mencari jawapan.”, saya menyakinkan dirinya.

“Ini hujah yang paling menyentuh hati saya.”

Ada air mata yang diempang di matanya.

Saya kemukakan pula ayat ketiga.

“Saudara dipilih menjadi orang beriman kerana Allah mahukan saudara menjadi orang yang lebih baik.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan orang yang mahu menerima petunjuk, Allah akan menambah petunjuk dan memberikan kepada mereka ketaqwaan.”
Surah Muhammad 47:17
“Setelah memeluk Islam, bukankah saudara merasai banyak perubahan? Saudara menjadi orang yang lebih baik dan lebih takut akan Tuhan bukan?”, saya mengusik perasaannya.

Dia mengangguk perlahan menghadamkan dalil-dalil yang diutarakan.

“Saya yakin para ulama' telah membahaskan dengan lebih panjang lebar. Saya hanya membentangkan sekelumit sahaja dengan izin Allah.”, saya menyakinkan dia bahawa perbincangan sarjana Islam tentang persoalannya itu lebih mendalam.

Semoga Allah SWT menemukannya dengan lebih ramai pendakwah dan guru berkualiti dalam mempelajari agama.


Pemikiran Kritis Kumpulan Sasaran Dakwah

Saya menemui beberapa orang saudara baru atau mereka yang baru kembali kepada agama dan pernah berasa kecewa dengan golongan agama yang tidak sanggup melayan pemikiran kritis mereka.

Kelompok ini ialah orang yang mengkaji untuk menjawab persoalan yang datang dalam hidup mereka. 

Tidak sedikit usaha yang dilaburkan untuk mendapatkan jawapan. Namun, perbincangan dengan mana-mana guru agama menyebabkan mereka seringkali kecewa

Soalan mereka dibunuh, jawapan dinanti tiada.

Sedangkan Islam ialah agama yang meraikan persoalan, memberi keluasan kepada para penganutnya untuk mengkaji nas agama, memahami konteksnya, malahan berbeza pandangan dalam mentafsirkan nas-nas tersebut.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang diturunkan untuk menjawab pertanyaan para sahabat yang mulia.

Rasulullah SAW juga tidak jemu menjawab pelbagai soalan, daripada sekecil-kecil soalan hingga perkara yang lebih kompleks. 

Contohnya, Ummu Salamah pernah bertanya berkenaan mimpi basah dalam kalangan perempuan. Saidina Ali bin Abi Talib juga pernah meminta para sahabat lain bertanya kepada Rasulullah SAW tentang air mazi, dan Fatimah binti Abi Hubaish pernah bertanya tentang darah istihadah.

Dalam konteks semasa, sejauh mana para pendakwah dan guru agama bersedia menyambut setiap soalan yang datang dari kotak minda mereka? 

Setakat mana kita berkemampuan untuk melayan setiap soalan, pandangan dan pemikiran kritis mereka dalam proses mempelajari Islam?

Ia proses yang penat dan tidak ramai yang berminat untuk terlibat. Ia tidak membuahkan wang bersampul dan berlipat.

Imam al-Bukhari sendiri telah menamakan satu bab dalam sahihnya dengan nama ‘Orang yang Mendengar Sesuatu, lalu Dia Bertanya kembali sehingga Memahaminya’, dalam kitab al-Ilm.

Dalam bab tersebut, al-Bukhari merekodkan satu hadith daripada Ibn Abi Mulaikah sebagaimana berikut:-
“Sesungguhnya Aisyah; isteri Nabi, apabila mendengar sesuatu tentang perkara yang tidak difahaminya, pasti dia akan bertanya tentang perkara tersebut sehingga dia memahaminya. Sesungguhnya Nabi pernah bersabda yang bermaksud:-

’Sesiapa yang dihisab maka dia akan diseksa.’

Aisyah berkata:-

‘Aku bertanya kepada Baginda: ‘Bukankah Allah telah berfirman: 

‘ Maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah.’ (surah al-Insyiqaq 84:8)’

Baginda menjawab:-

‘Perkara itu adalah ketika (catatan amalan) ditampakan sahaja. Tetapi, sesiapa diperiksa, maka dia pasti binasa.’” 
Hadith Riwayat al-Bukhari
Hadith ini menggambarkan bahawa Aisyah seorang yang berfikiran kritis.

Aisyah bukan hendak mempertikaikan dalil, enggan mematuhi perintah atau mengkritik membuta tuli.

Beliau mahukan penjelasan kerana terdapat perkara kabur dan dalil yang perlu diletakkan pada konteks yang betul

Ibn Hajar dalam Fath al-Bari ketika menerangkan hadith ini menyatakan bahawa Aisyah ada semangat yang kuat untuk memahami sesuatu hadith dan Nabi SAW tidak pernah merasa bosan menjawab pertanyaan yang ditujukan kepada Baginda SAW.

Malahan, banyak lagi hadith yang merakamkan pemikiran kritis para sahabat.

Begitu juga ramai daripada kalangan para reverts dan converts dalam masyarakat kita hari ini yang bersikap seperti Aisyah.

Jika pendakwah dan guru agama terus menghentikan proses akal mereka, para mad’u ini akan melarikan diri daripada mempelajari agama.

Para pendakwah juga perlu mengambil aspirasi daripada hadith ini. Daripada Abu Musa, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Perumpamaan petunjuk dan ilmu yang Allah utuskan aku dengannya seperti hujan lebat yang membasahi tanah. 

Ada tanah subur yang dapat menyerap air sehingga menumbuhkan banyak tumbuhan dan rumput. 

Ada tanah kering yang dapat menampung air, sehingga Allah memberikan manfaat kepada manusia dengannya. 

Mereka dapat minum, mengambil air dan bercucuk atanam. Sementara sebahagiannya lagi mengenai tanah yang tandus dan gersang, tidak dapat menampung air dan menumbuhkan tanaman. 

(Perumpamaan pertama) adalah misalan bagi orang yang mendalami ilmu agama Allah, dia boleh mengambil manfaat daripada hidayah yang aku diutus oleh Allah dengan membawanya, sehingga dia berilmu lalu mengajarkannya. 

Selanjutnya, (perumpamaan kedua adalah) misalan orang yang tidak peduli dengannya dan tidak menerima hidayah Allah yang aku diutus dengannya.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari
Terdapat tiga kumpulan manusia dalam hadith di atas sebagaimana dicatat dalam Fath al-Bari oleh Ibn Hajar al-Asqalani:-


Daripada hadith ini, jelaslah bahawa pengamalan dan penyebaran ilmu kepada orang lain ialah faktor pembeza. Dalam usaha kita menyebarkan ilmu, interaksi dengan kumpulan sasaran memang tidak dapat dielakkan.

Menjawab dan melayan soalan ialah satu proses penyebaran ilmu. 

Jika hanya menyampaikan kuliah dan ceramah ilmu, namun tidak sudi melayan persoalan daripada para mad’i, seseorang itu masih belum sempurna dalam menyampaikan ilmu. Malahan, kandungan ilmu hanya akan matang apabila pelbagai soalan dapat dirungkaikan.

Sekiranya kita meluangkan masa untuk membina diri mereka dengan ilmu agama, insya-Allah, suatu masa nanti mereka akan berdakwah pula kepada keluarga dan komuniti mereka.

Dalam banyak riwayat, orang Arab Badwi datang bertemu Rasulullah SAW dan bertanya pelbagai soalan yang menjadi kemusykilan mereka.

Rasulullah SAW tidak pernah membiarkan mereka tanpa jawapan. Setelah diajari, mereka pulang mengajar komuniti mereka, malah berjaya mengislamkan pula.

Beginilah mata rantai dakwah beroperasi.

Penutup Bicara yang Membingungkan

Rupa-rupanya, perbualan unik ini tidak terhenti di situ, tetapi memaksa saya berfikir dan berkerja.

Ayat dialog akhir sebagaimana berikut:-

“Ustaz, betulkah orang Cina bermata sepet sebab banyak sangat kena asap colok? 

Manakala, orang India bermata besar sebab selalu tengok orang pakai sari yang nampak pusat?”

“Astaghfirullah al-‘Azim. Dari mana kamu dapat ini?”

“Ada ustaz yang memberitahu.”, wajahnya meminta penjelasan.

Saya terdiam.

Saya terpaksa berhenti kerana azan Asar sudah berkumandang. Saya terfikir, adakah kerana apa yang semua ustaz khabarkan itu perlu diterima bulat-bulat oleh komuniti saudara baru sehingga mereka takut untuk bersikap kritis atau bermasalah ialah para ‘ustaz’ itu?

Saya teringat hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr bin al-As bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesungguhnya Allah tidak mengambil ilmu secara langsung daripada para hamba-Nya, tetapi Dia mengambilnya dengan cara mematikan para ulama'. 

Sehingga apabila tiada lagi ulama', maka orang ramai akan mengangkat orang jahil sebagai pemimpin. 

Lantas mereka bertanya kepadanya dan para pemimpin tersebut menjawabnya tanpa ilmu, maka mereka sesat dan menyesatkan.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari
Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment