Penyempurnaan Ucapan Kalimah Syahadah

Rukun iman yang pertama daripada enam rukunnya adalah beriman kepada Allah SWT

Dalam lima rukun Islam, mengucap dua kalimah syahadah adalah rukun yang pertama. Rukun iman dan rukun Islam ini tercatat dalam riwayat hadith ketika seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW


Soalan yang diajukannya ialah tentang iman

Maka Nabi SAW menjawab bahawa iman ialah keimanan kepada Allah SWT, para malaikat, semua kitab, para Rasul, hari akhirat dan keimanan kepada qada’ dan qadar.

Kemudian Nabi SAW ditanya tentang Islam

Nabi SAW menjelaskan bahawa Islam ialah ucapan dua kalimah syahadah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji bagi yang mampu.

Dalam riwayat hadith sahih, Ibn Umar RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Islam dibina atas lima perkara; kesaksian bahawa tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dan susungguhnya Muhammad merupakan Rasul Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa pada bulan Ramadhan.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 8
Ucapan Dua Kalimah Syahadah

Ucapan dua kalimah syahadah ialah lafaz yang menyatakan pengakuan bahawa Allah Azzawajalla sebagai Tuhan yang disembah dengan sebenarnya dan pengakuan bahawa Muhammad ialah Rasul bagi Allah SWT.

Lafaz kalimah syahadah ialah:-

Maksudnya:-

“Saya bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasul Allah.”

Lafaz syahadah ini mempunyai dasar dalam al-Quran. Banyak nas al-Quran menyatakan bahawa Allah Azzawajalla ialah Tuhan yang sebenarnya. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi dengan pelbagai dalil.

Manakala kenyataan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Rasulullah dijelaskan seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang daripada orang lelaki kamu, tetapi dia ialah Rasul Allah dan penutup segala Nabi. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Surah al-Ahzab 33:40
Ada juga masanya lafaz syahadah yang datang waridnya (menurut yang dilakukan Nabi) dalam hadith tadi diubahsuai dengan lafaz yang lain. Ada masanya diubah ungkapan lafaz bahwa ‘Muhammad itu Rasulullah’ kepada lafaz yang lain.

Contohnya Rasulullah disebut sebagai utusan Allah SWT atau pesuruh Allah SWT ketika menterjemahkan maksudnya.

Ada masanya ungkapan lafaz Muhammad Rasulullah diubah menjadi ‘Muhammad ‘abd Allah wa rasuluhu. Lafaz sebegini insya-Allah masih lagi dalam ungkapan yang diterima.

Inilah asas penyempurnaan ucapan kalimah tauhid iaitu sekadar ucapan dengan memahami maknanya.

Sebutan yang Kurang Fasih

Sebutan lafaz dua kalimah syahadah yang tidak fasih tidaklah mencacatkan ucapan tersebut. Keimanan seseorang individu tetap dikira sah apabila dia mengucap dua kalimah tersebut.

Setiap bangsa dicipta dengan kelainan dalam sebutan huruf dan perkataan

Bangsa Arab memang fasih bercakap bahasa Arab. Itu pun apabila dipelajari dan dipraktikkan. Namun bangsa Arab juga tidak mampu menyebut huruf-huruf tertentu dalam bahasa yang lain.

Begitulah barangkali bangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya juga tidak mampu menyebut kesemua huruf Arab dengan fasih. 


Ini semua adalah sunnatullah dan pasti mempunyai hikmah tersendiri.

Jadi, sedikit kesilapan dalam sebutan tidak harus menjadi isu atau perkara yang perlu didebatkan. Yang penting, usaha menyebutnya dibuat dengan sebaiknya mengikut kemampuan. Yang lebih penting lagi ialah kefahaman terhadap maksud ucapan tersebut.

Memahaminya tidaklah sukar dan payah kerana apa-apa jua bahasa yang digunakan.

Sikap golongan yang melabelkan orang yang baru masuk Islam sebagai tidak sah imannya, hanya kerana sebutan beberapa huruf yang tidak tepat ialah sikap yang melampau. Sikap seperti ini memberatkan dalam soal agama walaupun agama Islam itu mudah dan tidak menyusahkan.

Penyelewengan dalam Penyempurnaan Ucapan Kalimah Syahadah

Ada pendapat yang menyatakan bahawa dua kalimah syahadah tidak akan sempurna jika ia tidak dilafazkan di hadapan ustaz atau tuan Syeikh tertentu. Ini bermakna keimanan seseorang tidak sah dan tidak diterima di sisi Allah SWT.

Ustaz tersebut pula mestilah seorang ustaz yang telah mencapai maqam kerohanian yang tinggi dan menerima ijazah khusus daripada Nabi Muhammad SAW. Ataupun syarat bahawa ustaz tersebut mestilah individu yang berketurunan Nabi SAW atau berketurunan para sahabat utama.

Dakwaan sebegini jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang murni. 

Islam agama yang mudah, tidak membebankan umatnya. Tiada dalam nas syarak suatu kewajipan atau ketetapan bahawa hanya insan yang berketurunan Nabi SAW sahaja yang boleh mengislamkan seseorang.

Tiada dalam nas syarak yang sahih suatu kewajipan untuk mengucap dua kalimah syahadah di hadapannya sebagai syarat kesempurnaan syahadah dan syarat sah iman.

Dalam al-Quran, pengakuan dan pengiktirafan kepada keesaan Allah SWT sebagai Tuhan yang disembah adalah jelas. Maksud bagi ucapan ini ialah Allah SWT sebagai Tuhan yang sebenar. Di hadapan siapa pun ia diucapkan, tidaklah penting.


Dalam riwayat hadith, tiada kewajipan sebegitu. Nabi SAW mengutus para sahabat untuk berdakwah dan menunjuk jalan hidayah.

Para sahabat menjadi pendakwah dan guru.

Sesiapa sahaja boleh menganut Islam asalkan mereka faham asas penting dan redha dengan Islam. Tiada dalam athar yang menunjukkan sahabat menyuruh mana-mana individu untuk pergi ke Madinah berjumpa dengan Nabi SAW hanya sekadar untuk mengucapkan ucapan syahadah.

Namun, untuk mempelajari ilmu dan kefahaman daripada mana-mana guru yang warak, soleh dan matang ilmunya, ia satu usaha yang baik dan terpuji.

Ada juga dakwaan pendapat bahawa ucapan dua kalimah syahadah mestilah ditambah dengan pengakuan bahawa tuan Syeikh atau tuan guru sebagai pembimbing. Penambahan ini kononnya adalah bagi proses penyempurnaan ucapan dua kalimah syahadah.

Penambahan sebegini telah memesongkan ucapan dua kalimah syahadah

Ia bukan lagi dua kalimah syahadah, bahkan sudah menjadi tiga atau empat kalimah syahadah. Guru agama tertentu yang diangkat menjadi wali Allah SWT dan mursyid. Mungkin juga nama seorang ulama' yang sudah meninggal dunia disebut dalam lafaz syahadah tersebut.

Kemungkinan guru agama yang digabungkan namanya dalam dua kalimah syahadah tidak melakukan perkara tersebut. Namun namanya dieksploitasi oleh pihak tertentu kerana kemasyhurannya melalui kewarakan dan keilmuan.

Apa pun bentuk penambahan pada kalimah syahadah, sebenarnya ia telah terpesong daripada ungkapan yang sebenar.

Perbaharuilah iman kita dengan ucapan tauhid yang benar sebagaimana yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW dalam riwayat yang sahih. Ia jauh daripada keraguan apatah lagi dalam soal aqidah dan keimanan.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment