Memuliakan Ibu Bapa

Allah SWT meletakkan darjat ibu bapa sangat istimewa dalam kehidupan seorang anak.

Jika kita merendahkan dan menghina mereka, kita seakan-akan memperlekehkan suruhan Allah SWT.

Jagalah Seluruh Perbuatan daripada Isyarat Penghinaan

Sebagai anak, seharusnya kita tidak patut, sama ada dari segi kata-kata ataupun perbuatan, merendah atau menghina ibu bapa kita walau setinggi mana pun pangkat dan jawatan kita.

Sebagai contoh, seorang anak yang kaya raya tetapi tidak mengenang budi sanggup berkata kepada ibu bapanya bahawa tanpa kemewahan yang dimilikinya sudah pasti kedua-dua ibu bapanya akan merempat.

Penghinaan itu bukan sekadar dengan kata-kata, termasuk juga memandang jelek terhadap mereka, menjuih bibir dan memalingkan muka, perlakuan itu juga dianggap penghinaan.

Anak yang tidak pandai berterima kasih kepada ibu bapanya sentiasa dihimpit rasa tidak berpuas hati dengan ibu bapanya itu.

Perasaan ini akan mengundang perbuatan yang lebih buruk berbentuk penghinaan. Segaris luka di hati ibu bapa kerana penghinaan itu, jika tidak diampunkan, nerakalah selayaknya bagi si anak.

Naudzubillah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. 

Dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. 

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri.” 
Surah an-Nisa' 4:36
Jangan Membalas dan Menghukum Kesilapan Mereka

Mungkin ada dalam kalangan anak-anak yang dibesarkan dalam suasana ibu bapanya sering mencaci, menghina dan memaki dirinya. Apabila dia membesar dalam didikan sebegitu, dia berasa wajar untuk dirinya membalas perbuatan ibu bapanya ketika dia kecil.

Jiwanya memberontak.

Dia bukan inginkan kejahatan itu ada pada dirinya namun apabila didorong oleh rasa tidak puas hati yang meluap-luap, dia turut menghambur penghinaan pada ibu bapa. Sebagai anak mithali, maafkanlah kesilapan ibu bapa. Kita doakan keampunan dan hidayah untuk mereka.

Anggaplah bahawa jika ada satu kesilapan mereka, kebaikan mereka 100 kali lebih banyak.

Mungkin mereka kurang ilmu ketika mendidik atau kurang batas kesabaran. Namun, jauh di sudut hati, mereka tetap mengimpikan kebaikan untuk kita di dunia dan di akhirat. Sebagaimana buruk pun sikap dan layanan ibu bapa kepada kita, kita tidak perlu mencontohinya.

Hiasi diri kita dengan sifat mulia. Teruskan memuliakan dan usah sekali-kali menghina mereka.

Mungkin dengan akhlak kita itu, mereka akan menyesali sikap mereka selama ini lantas berubah menjadi insan yang lebih baik di sisi Allah SWT. Kebaikan ini akhirnya akan menghantar kita dan ibu bapa kita bertemu lagi di taman syurga.

Indahnya!

Kenangi Perit Jerih Ibu Bapa

Allah SWT mengingatkan kita dalam firman-Nya yang bermaksud:-
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusukannya selama dua tahun. 

Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang ibu bapamu. 
Hanya kepada-Ku tempat kembalimu.” 
Surah Luqman 31:14
Ayat ini seolah-olah mengingatkan kita bahawa kita wajib bersyukur kepada Allah SWT dan kepada kedua-dua ibu bapa kita kerana jasa dan pengorbanan mereka terlalu besar.

Apabila kita tidak bersyukur, Allah SWT mengingatkan kepada kita du hujung ayat ini, bahawa kita akan dikembalikan kepada-Nya.

Setelah kembali kepada Allah SWT, kita bakal disoal satu persatu tentang amalan yang telah dilakukan sepanjang hayat terutamanya kepada ibu bapa.

Sentiasa Berterima Kasih kepada Ibu Bapa

Pengorbanan ibu bapa tidak terhitung banyaknya.

Ringan-ringankanlah mulut mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Sebagai anak, kita harus ingat bahawa ucapan terima kasih bukan sekadar di mulut sahaja tetapi ucapan terima kasih yang terbaik adalah dengan membalas segala jasa dan budi kedua-dua ibu bapa.

Jika ibu bapa sudah tua, tunjukkan rasa terima kasih kita dengan mengajak mereka tinggal bersama dan melayani mereka sebaik-baiknya.

Jika mereka tidak mahu tinggal bersama, kita sebagai anak harus menyediakan rumah yang lengkap dan selesa dengan segala kemudahan untuk mereka.

Suatu ketika dahulu, mereka yang berusaha menyediakan segala-galanya buat kita. Jadi, setelah kita dewasa, tiada salahnya jika kita berbuat begitu kepada ibu bapa.

Wujud juga sesetengah anak-anak yang mahu membawa ibu bapanya tinggal bersama tetapi apalah erti kebahagiaan itu jika dalam masa yang sama mereka dilayani dengan penghinaan.

Contoh penghinaan dengan kata-kata:-

“Mak, marilah ikut saya. Saya malulah tinggal di rumah buruk ini. Nanti apa pula orang kata. Saya ni berpangkat besar.”

Betapa terhirisnya hati ibu bapa apabila mendengar anaknya berkata begitu.

Perbuatan ini menunjukkan anak tersebut sebenarnya tidak ikhlas dan hanya mahu menunjuk-nunjuk kepada masyarakat bahawa dia kononnya berbuat baik terhadap ibu bapa.

Amal yang tidak ikhlas tiada nilainya di sisi Allah SWT biarpun satu dunia memujinya. Sebagai anak, kita harus ingat bahawa ucapan terima kasih yang terbaik adalah dengan membalas segala jasa dan budi kedua-dua ibu bapa.

Bukan harta yang mereka mahukan setiap bulan, tetapi kepulangan dan layanan mesra anak cucu sudah cukup untuk membuktikan kasih sayang anak-anak.

Larangan Menghina

Allah SWT dan Rasul-Nya melarang seseorang menghina sehingga menjatuhkan martabat seorang ibu yang ditinggikan oleh Allah SWT. Malah, tiada manusia yang sihat akalnya boleh menerima perbuatan menghina ibu bapa.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Redha Allah adalah pada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah pada kemurkaan ibu bapa.” 
Hadith Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi
Mohon Kemaafan Jika Terlanjur Menghina

Andai kita pernah menghina ibu bapa kita, masih belum terlewat untuk kita memohon ampun dan maaf daripada kedua-duanya sementara mereka masih hidup.

Tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak sempat memohon ampun?

Sudah pastilah menyesal sepanjang hayat.

Walaubagaimanapun, jangan berputus asa memohon ampun daripada Allah SWT. Semoga Dia bersimpati dan menerima taubat kita.

Sebaik-baiknya sentiasa memohon kemaafan daripada ibu bapa kerana kesalahan yang kita lakukan mungkin dalam sedar atau tidak, dalam sengaja atau tidak disengajakan. Kita tidak tahu hati mereka mungkin menyimpan kesedihan terhadap mana-mana perlakuan kita.

Apabila ia tidak diluahkan, kesedihan itu akan membengkak sendiri.


Oleh itu, amalkan akhlak kerap bersalaman dan memohon maaf daripada kedua-duanya, sama ada kita membuat kesalahan atau tidak.

Jika masih tinggal bersama mereka, mohon maaf setiap kali selepas solat berjemaah ataupun sebelum tidur. Jika tinggal berasingan, mohon maaf setiap kali menelefon mereka sebelum menutup perbualan.

Wallahua'lam