Berjalan ke Majlis Ilmu Ibarat Meniti ke Syurga

Al-Dai'yyah al-Syaikh Muhammad Ilyas al-Kandahlawi RH telah memilih beberapa bab dan dihimpunkan menjadi satu kitab yang diberi nama al-Abwab al-Muntakhabah min Misykat al-Masabih.

Kitab ini telah dimulakan tahik dan syarahnya oleh al-'Arif Billah al-Dai'yyah al-Syaikh Muhammad In'am al-Hassan RH dan telah disempurnakan oleh Fadilah al-Syaikh Muhammad Ilyas al-Barah Bankawi.

Di bawah kitab al-'Ilm, hadith yang ke-204 dalam kitab ini telah dinukilkan:

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

"Sesiapa yang telah melepaskan daripada seseorang Muslim sesuatu kesulitan daripada kesulitan dunia, Allah akan melepaskannya dari kesulitan-kesulitan hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang berada di dalam kesusahan, Allah akan memudahkan baginya baik di dunia mahupun di akhirat. Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Allah pasti senantiasa membantu hamba-hamba-Nya membantu saudaranya. Sesiapa yang berjalan pada satu jalan kerana menuntut ilmu, Allah akan memudahkan dengannya jalan ke syurga.

Tidak berhimpun mana-mana kelompok manusia di mana-mana rumah daripada rumah-rumah Allah (yakni masjid), lalau mereka membaca kitab Allah (yakni al-Quran) dan saling mempelajarinya antara mereka, melainkan turunlah ke atas mereka rahmat. Rahmat menaungi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut-nyebut mereka di depan para malaikat di sisi-Nya. Sesiapa yang lambat amalan kebaikannya, sesekali keturunannya tidak akan dapat mempercepatkannya." (HR Muslim)

Nilai Mulia Seorang Hamba

Imam an-Nawawi RH menyatakan bahawa hadith ini merupakan hadith yang amat hebat kerana terkandung dalamnya himpunan pelbagai jenis ilmu, kaedah dan adab. Hadith ini memberikan gambaran betapa mulianya seseorang di sisi Allah SWT apabila dia menjaga kemuliaan dan kebajikan saudaranya.

Hadith ini juga menjelaskan betapa mulianya ilmu apabila dituntut dengan ikhlas. Apa lagi gambaran yang lebih mulia, apabila Nabi SAW mengibaratkan bahawa berjalan menuju majlis ilmu pun sudah mampu membawa seseorang itu ke syurga. Jika berjalan kepada ilmu sahaja pun sudah begitu tinggi kelebihannya, apatah lag bagi mereka yang menekuni, mempelajari, menghayati dan beramal dengannya. Jika itu pun sudah begitu mulia, maka apaah lagi kedudukan mereka mengajar dan menyampaikannya. Inilah kemuliaan dan fadhilat ilmu. 

Imam an-Nawawi menyimpulkan bahawa yang dimaksudkan dengan ilmu di sini ialah al-ilm al syar'i iaitu ilmu-imu agama.


Masa'il dan Fada'il

Ilmu agama ini boleh dibahagikan kepada dua bentuk; ilmu masa'il dan juga ilmu fada'il. Perkataan "masai'l" bermakna "masalah-masalah". Masa'il ini merujuk kepada masalah hukum-hakam sama ada yang berkaitan dengan aqidah, fiqah mahupun tasawwuf. Ia boleh juga berkaitan dengan bidang tafsir, hadith, sirah, qiraat dan sebagainya.

Contohnya, jika kita hendak solat, maka kita perlu jelas dari segi aqidahnya bahawa kita menyembah Allah SWT bukannya Ka'abah. Allah SWT itu Tuhan yang menyalahi makhkluk-Nya, jadi kita tidak boleh membayangkan-Nya walau dalam apa-apa bentuk dan cara sekalipun. Ini berkaitan dengan perbahasan aqidah. Kemudian kita kena pastikan kaifiat dan cara solat kita adalah sah sebagaimana yang diajar ole Nabi SAW. Maka ini menyentuh masalah hukum fiqah.

Seterusnya menyentuh sifat-sifat yang sepatutnya ada pada seseorang itu semasa menunaikan solat, maka ini termasuk dalam perbahasan tasawwuf. Ini semua adalah ilmu masa'il yang perlu diambil dan dipelajari daripada mereka yang arif dalam bidang tersebut.

Manakala fada'il pula ialah ilmu yang membicarakan tentang kelebihan, nilai dan keutamaan sesuatu perkara itu di sisi Allah SWT.

Kesimpulan

Tujuan atau maksud kita mempelajari sama ada ilmu masa'il mahupun fada'il adalah untuk mengetahui dengan tepat, apa sebenarnya yang Allah SWT mahu daripada kita pada setiap masa dan keadaan. Aqidah menjeaskan bagaimana Allah SWT mahu kita beriman dengan-Nya dan rukun-rukun Iman yang lain. Fiqah pula menjelaskan bagaimana Allah SWT mahu kita menunaikan amal ibadat dan semua hukum-hakam yang lain. Tasawwuf menjelaskan bagaimana kita patut bersikap dan berakhlak.

Maknanya, fokus dan tujuan akhir ilmu itu adalah untuk memahami dan menunaikan apa yang Allah SWT mahu daripada kita! Untuk tujuan ini, Allah SWT telah menyediakan ganjaran dan kemuliaan yang amat tinggi! Tidak terujakah kita?

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment