Orang Musyrik berkata dengan nada mengejek dan mempersendakan Nabi Muhammad SAW, "Wahai Muhammad, kalau benar engkau Nabi dan Rasul, tunjukkan kami satu kehebatan yang dapat membuktikan kenabianmu!"
Rasulullah SAW bertanya kembali, "Apa yang kalian mahukan?"
Mereka menjawab, "Cuba kamu belah bulan itu!"
Maka Rasulullah SAW pun berdiri diam, lalu berdoa kepada Allah SWT. Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Muhammad SAW agar menunjukkan jari telunjuknya ke arah bulan. Baginda SAW pun mengarahkan jari telunjuk ke arah bulan dan sejurus itu terbelahlah bulan itu dengan sebenar-benarnya sehingga sebelahnya terpisah daripada sebelahnya yang lain!
Akhirnya kedua-dua belahan itu bersatu kembali.
Serta-merta orang Musyrik pun berkata, "Muhammad, engkau benar-benar seorang ahli sihir yang hebat!"
Namun golongan yang arif tentang sihir mengatakan bahawa sihir hanya akan berfungsi terhadap sesiapa yang berada di sampingnya sahaja dan tidak lebih daripada itu. Mereka lantas menunggu kepulangan kenalan mereka dan musafir. Mereka ingin mengetahui pemerhatian sahabat mereka terhadap bulan sewaktu dalam perjalanan pulang ke kota Makkah.
Masyarakat Quraisy menuduh Nabi Muhammad SAW sebagai ahli sihir kini bergegas menuju ke luar di sempadan kota Makkah menanti orang yang baru pulang daripada perjalanan. Apabila mereka bersua dengan rombongan yang pertama menuju ke arah kota Makkah, mereka pun bertanya, "Adakah kalian semua melihat sesuatu yang ganjil terjadi kepada bulan?"
Mereka menjawab, "Ya! Semalam kami melihat bulan terbelah menjadi dua dan saling berpisah kepada dua bahagian kemudian bersatu kembali!"
Impaknya, sebahagian daripada mereka beriman manakala sebahagian yang lain terus ingkar. Oleh sebab itu Allah SWT menurunkan firman-Nya yang bermaksud:-
"Sungguh, telah hampir berlakunya hari kiamat dan telah terbelah dua bulan dan ketika melihat tanda-tanda kebesaran Kami, mereka pun menolak lagi berpaling seraya berkata, "Ini adalah sihir yang terus-menerus" dan mereka mendustakannya. bahkan mengikut hawa nafsu mereka. Dan setiap urusan benar-benar telah tetap." (surah al-Qamar, 54:1-3)
Ketika seorang cendikiawan dan saintis Muslim, Prof Dr Zaghloul Elnaggar menyampaikan hadith berkaitan mukjizat Nabi SAW dalam peristiwa terbelah bulan ini, berdiri seorang Muslim warga Britain memperkenalkan diri dan berkata:-
"Saya David M. Pidcock, ketua Kesatuan Muslim Inggeris. Tuan penceramah, izinkan saya menambah kata-kata tuan?"
Dr Zaghloul menjawab, "Dipersilakan dengan senang hati."
Lelaki warga Britain itu menceritakan kisahnya:-
"Aku banyak meneliti pelbagai agama sebelum menjadi Muslim. Seorang pelajar Muslim menghadiahkanku sebuah buku terjemahan al-Quran. Aku pun berterima kasih kepadanya dan membawa mushaf itu pulang. Dan ketika itu aku membuka lembaran-lembaran itu di rumah, surah pertama yang menarik perhatianku ialah surah al-Qamar, yang berbunyi (maksudnya), "Telah dekat hari kiamat dan bulan pun terbelah..."
Maka aku pun bertanya pada diriku sendiri, "Apakah maksud yang terkandung dalam ayat-ayat ini masuk akal? Apakah mungkin bulan boleh terbelah kemudian bersatu kembali? Sekiranya ia benar, kekuatan macam mana yang boleh melakukan hal itu? Siapakah pula yang melakukannya?"
Aku berhenti daripada membaca ayat-ayat selanjutnya dan kembali sibuk dengan urusan kehidupan.
Suatu hari ketika menonton televisyen, aku mengikuti sebuah perbincangan menarik antara moderator Britain bersama tiga orang angkasawan Amerika. Ketiga-tiga pakar angkasa lepas itu menceritakan mengenai dana yang begitu besar dalam rangka melakukan perjalanan ke sana dan misi angkasawan menjejakkan kaki di bulan. Amerika telah membiayai projek angkasa lepas itu dengan kadar dana melebihi USD 100 juta!
Mendengar pendedahan itu, moderator itu berkata, "Mengapa Amerika membelanjakan begitu banyak wang untuk ke bulan?"
Para angkasawan itu menerangkan, "Tujuannya bukan semata-mata untuk mendalami ilmu pengetahuan kami tentang angkasa lepas malahan ia juga membuka ruang bagi kami mempelajari kandungan yang ada di dalam bulan itu sendiri."
Moderator itu bertanya lagi, "Hakikat apa yang tuan-tuan telah capai sehingga demikian mahal pertaruhannya?"
Mereka menjawab, "Ternyata bulan pernah terbelah dua suatu ketika dahulu dan kemudian bersatu kembali!"
Moderator itu bertanya lagi, "Bagaimana anda mengetahui perkara ini?"
Mereka menjawab, "Kamu mendapati bahawa batu-batu dalam komponen yang membentuk bulan telah terpisah disebabkan sesuatu yang telah memotongnya bermula daripada permukaan hingga ke bahagian dalam bulan. Kami meminta pakar geologi untuk menelitinya. Sesudah dikaji dan diteliti, mereka merumuskan, "Hal ini tidak mungkin berlaku kecuali jika memang bulan pernah terbelah, kemudian bercantum kembali.""
Waktu itu aku melompat turun dari kerusi dan berkata, "Mukjizat benar-benar telah berlaku pada diri Muhammad 1400 tahun yang lalu. Tuhannya telah menunjukkan kuasa-Nya sehingga Amerika terpaksa mengeluarkan dana yang begitu besar, hanya untuk membuktikan kebenaran firman-Nya dan kebenaran rasul-Nya!"
Agama Islam ini tidak mungkin salah renungku jauh ke dalam diri. Mulai waktu itu aku mula membuka kembali mushaf al-Quran yang dihadiahkan itu. Aku melihat kebenaran dalam setiap baris ayat-ayatnya. Maha Suci Allah SWT dengan kebenaran yang diwahyukan-Nya kepada kita."
Wallahua'lam.
Blogger Comment
Facebook Comment