Mari kita renungi ubuh kita sejenak. Pernahkah salah satu bahagian tubuh kita melecur kerana terbakar? Atau pernahkah salah satu bahagian tubuh kita dipukul dengan benda yang keras?
Seseorang yang pernah mengalami luka terbakar di salah satu bahagian tubuh dan mereka yang pernah dipukul dengan benda keras pasti tahu ertikata kesakitan yang teramat sangat. Bila diperhatian di bahagian yang terbakar ataupun terpukul itu, kita akan melihat ianya membesar akibat proses pembengkakan. Semakin besar luka yang dideritai, semakin besar dan mudarat bengkak tersebut.
Kejadian yang sama akan berulang lagi di neraka. Bezanya "pembesaran" itu dalam skala yang jauh lebih besar dan memeritkan. Ini disebabkan api neraka jauh lebih panas dari api di dunia dan pukulan Malaikat Zabaniah di neraka lebih kuat dan kejam. Apatah lagi seksaan dan azab ini berlangsung dalam jangka masa yang sangat panjang, mungkin ratusan malah ribuan tahun lamanya!
Kulit dan anggota tubuh ahli neraka juga terus-menerus diperbaharui supaya ia boleh terus-menerus menanggung azab seksaan yang luar biasa pedihnya namun tidak pula berakhir dengan kematian seperti di dunia ini.
Segala seksaan ini akan membuatkan tubuh mereka semakin lama semakin besar. Ia akan terus membesar hingga mencapai kadar yang tidak terjangkau oleh imaginasi akal dan logik manusia waktu ini.
Tubuh Penghuni Neraka
Sekarang mari kita telitikan bersama hadith-hadith Nabi SAW yang menjelaskan pekara yang disebutkan sebelum ini.
Salah satunya, sabda Baginda SAW yang bermaksud:-
"(Jarak) antara kedua-dua bahu seorang kafir di neraka sejauh perjalanan tiga hari bagi seseorang yang menaiki kenderaan yang berlari cepat." (HR al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA)
Dalam hadith at-Tirmizi daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
"Gigi geraham seorang kafir pada hari kiamat sebesar gunung Uhud, pahanya sebesar gunung al-Baida dan tempat duduk di neraka seluas perjalanan tiga hari ke al-Rabazah."
Al-Rabazah adalah sebuah tempat yang terletak 3 batu dari Madinah al-Munawarrah. Ini menunjukkan bahawa anggota tubuh orang kafir di neraka menjadi sangat besar dan lebar.
Demikianlah balasan yang akan diterima setiap anggota tubuh manusia yang sudah biasa melakukan maksiat serta tidak mengendahkan perintah dan larangan Allah SWT.
Begitu juga lidah manusia. Ia anggota tubuh yang amat sering digunakan untuk mengingkari dan mempersendakan wahyu Allah SWT. Ia juga selalu digunakan untuk menghina Mukmin yang berusaha menjaga diri dan kehormatannya dai noda dan dosa.
Daripada Abdullah bin Amr, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
"Sesungguhnya seorang kafir yang menyeret lidahnya sepanjang satu atau dua farsakh. Lidah itu diinjak-injak oleh manusia-manusia yang lain." (HR at-Tirmizi)
Para ulama' berkata tubuh ahli neraka ini dibesarkan agar kepedihan seksa yang mereka hadapi terus bertambah setiap waktu. Semakin luas dan lebar permukaan tubuh yang diseksa, semakin banyak dan pedih seksaan yang boleh ditimpakan kepadanya. Dan semakin banyak seksaan yang menimpa, semakin hebat darjah keperitan yang akan mereka tanggung.
Kehodohan Penghuni Neraka
Selain tubuh mereka menjadi sangat besar, "penampilan" mereka juga sangat buruk rupanya. Sekali api neraka menyambar, tidak tersisa daging yang membalut tulang. Kulit dan daging berguguran sehingga muka mereka berubah menjadi makhluk yang paling hodoh. Naudzubillah!
Akan terjadi apa yang Allah SWT beritakan dalam mafhum firman-Nya:-
"Muka mereka dibakar oleh api neraka dan mereka did alam nerakan itu dalam keadaan cacat (kalihun)." (surah al-Mukminun, 23:104)
Dalam Sunan al-Tirmizi, Rasulullah SAW mentafsirkan lafaz "kalihun" dengan sabdanya yang bermaksud:-
"Wajah mereka dibakar dengan api, maka bibir bahagian atas mereka menjulur hingga ke lehernya, bibir bahagian bawah mereka menjulur hingga menyentuh tali pusatnya."
Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada seksa azab neraka. pada saat ini kita telah dapat membayangkan manusia yang penampilannya begtu mempesonakan di layar perak, kini berubah menjadi makhluk yang buruk rupanya. Rawatan kecantikan yang menghabiskan jutaan ringgit di dunia ini tidak dapat menangkis bahang api neraka sedikit pun.
Ibn Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr RA:-
"Andai seorang ahli neraka dikeluarkan ke dunia saat ini, nescaya penduduk dunia akan mati kerana kehodohan rupa dan bau busuknya."
Sahabat Nabi SAW ini terus menangis teresak-esak.
Oleh sebab itu, jangan pernah iri hati kepada golongan ini. Jangan lupa menjadikan mereka teladan kita dalam menjalani kehidupan. Demi Allah SWT, andai kita melihat keadaan mereka di neraka kelak, kita akan rasa sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana tidak menjadikan kita seperti mereka.
Pakaian Penghuni Neraka
Tidak terkecuali pakaian, perhiasan dan tempat tinggal mewah yang mereka nikmati pada saat ini. Semuanya akan berganti dengan pakaian yang dibuat daripada api. Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
"Pakaian mereka (ahli neraka) adalah pelangkin (tar) yang sangat panas....." (surah Ibrahim, 14:50)
Sudah tidak ada lagi fesyen yang selama ini dituruti dan dijaga. Sebaliknya, hanya api yang akan menjadi lantai, atap dan kediaman mereka selama-lamanya. Api juga yang akan menjadi katik dan kerusi tempat mereka cuba melepaskan penat berdiri. Tidak terbayang seksaan yang mereka rasakan pada saat itu. Sebiji bara api neraka yang diletakkan di tapak kaki, panasnya terasa hingga menggelegakkan otak.
Berkata Wahb bin Munabbih:-
"Sesungguhnya ahli neraka yang benar-benar ahlinya, mereka tidak akan merasai rehat, tidur dan maut di dalamnya. Setiap saat, mereka berjalan di atas api dan duduk di atas api. Minuman mereka ialah nanah dan darah ahli neraka, makanan mereka buah "zaqqum" yang diperbuat daripada api, baju mereka dibuat daripada api dan tembaga yang sangat panas." (Riwayat al-Hafiz Ibn Abi al-Dunya dalam kitab Sifat al-Nar)
Jeritan dan Tangisan Penghuni Neraka
Orang yang dahulunya sangat sombong dan angkuh ini akan terus menjerit kesakitan tanpa henti. Mereka meraung, menjerit, meratap, merintih dan menangis tanpa ada sesiapapun yang mempedulikan mereka lagi. Semua ini tidak akan terjadi andai mereka pernah menangis di dunia kerana menyesali dosa-dosa yang telah dilakukan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
"Ahli neraka akan melepaskan tangisan dan jeritannya sehingga kering air mata mereka. Mereka lalu menangis air mata darah sehingga meninggalkan kesan wajah mereka seperti parit-parit. Andai sebuah bahtera dilayarkan diatasnya, nescaya ia akan berlayar." (HR Ibn Majah)
Sungguh rugi orang yang memiliki rupa paras yang cantik, namun tidak menghiasi kecantikkannya dengan iman. Sungguh rugi orang yang diciptakan dengan rupa yang tampan, namun tidak pernah membasuh mukanya dengan air mata taubat.
Rugilah orang yang membeli tempat di dalam neraka dengan kenikmatan sesaat. Kenikmatan yang ditawarkan dengan hawa nafsu akan berakhir segera, sementara azab neraka tidak akan berakhir selama-lamanya.
Jaga Dirimu daripada Api Neraka
Dari 'Adi bin Hatim RA katanya:-
"Suatu hari Rasulullah SAW menceritakan mengenai seksa azab neraka, Baginda lalu memalingkan wajahnya sambil berlindung kepada Allah daripada api nereka. Baginda lalu kembali menyebutkan neraka. Baginda kembali memalingkan wajahnya sambil berlindung dengan Allah daripada seksa neraka.
Rasulullah SAW lalu bersabda yang bermaksud, "Jagalah dirimu daripada api neraka walau hanya dengan (memberikan sedekah sebesar) setengah biji kurma. Sesiapa yang tidak memilikinya maka ucapkanlah kata-kata yang baik."" (HR al-Bukhari dan Muslim)
Semoga kita selalu menjaga diri kita. orang tua kita, anak-anak kita, guru-guru kita dan semua orang yang kita kasihi daripada azab seksa api neraka. Aamiiin...Ya Rabbal'alamin.
Wallahua'lam.
Blogger Comment
Facebook Comment