Penyejuk Api Kemarahan


Marah merupakan tabiat atau sifat semulajadi yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Biasanya apabila seseorang marah, dia akan bertindak di luar jangkaan. Perasaan marah boleh menjadikan jiwa seseorang tidak tenteram.


Marah boleh jadi sifat tercela dan boleh jadi sifat terpuji. Marah yang terpuji adalah marah apabila agamanya dihina dan dikeji. Sekiranya kita tidak berasa marah apabila agama dihina, maka ia menjadi sifat tercela dan Allah SWT akan murka kepada kita. Dengan sifat marah, lahirlah semangat untuk membela dan mempertahankan agama dan aqidah.

Sekiranya kita marah kerana peribadi kita disakiti, maka kita hendaklah menahan kemarahan tersebut. Ia merupakan sifat terpuji yang sepatutnya dimiliki oleh orang yang mengaku beriman.

Dalam Islam, orang yang disebut sebagai gagah perkasa bukanlah orang yang dapat mengalahkan orang lain tetapi orang yang paling gagah ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah. Hal tersebut sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Bukanlah yang gagah perkasa itu seorang yang mampu merebahkan orang lain tetapi sebenarnya orang yang gagah perkasa itu ialah orang yang mampu mengawal dirinya ketika marah."

Jangan Marah

Antara akhlak yang keji adalah apabila seseorang itu marah ketika peribadinya disakiti, lalu bertindak menggila tetapi sebaliknya tidak marah apabila agama dihina dan dikeji. 

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabu Muhammad SAW,"Berpesanlah kepadaku."Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,"Jangan marah."Lalu lelaki tersebut meminta perkara yang sama berulang kali tetapi Rasulullah tetap menjawab, "Jangan marah."

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud RA, beliau berkata:-

"Seakan-akan saya masih melihat Rasulullah SAW sewaktu menceritakan salah seorang daripada para nabi ketika dipukul oleh kaumnya sehingga berlumuran darah dan ia mengusap darah dari mukanya sambil berdoa, "Wahai Allah, ampunilah kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui."

Manakala hadith lain riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibn Mas'ud RA, beliau berkata:-

"Sewaktu selesai perang Hunain, Rasulullah SAW mendahulukan orang yang terkemuka dalam membahagikan harta rampasan perang. Baginda memberikan 100 ekor unta kepada al-Aqra' dan memberikan Uyainah bin Hisn dan beberapak pemuka bangsa Arab yang didahulukan dalam pembahagian.

Kemudian ada seorang lelaki berkata,"Demi Allah, sesunggunya pembahagian ini tidak adil dan bukan kerana Allah."

Maka saya berkata,"Demi Allah, saya benar-benar akan menyampaikan hal ini kepada Rasulullah SAW."

Kemudian saya pergi kepada Baginda dan menceritakan apa yang dikatakan oleh lelaki tadi. Tiba-tiba wajah Baginda berubah menjadi merah dan kemudian Baginda bersabda,"Siapakah yang adil, jika Allah dan Rasul-Nya dianggap tidak adil?" Baginda bersabda lagi,"Semoga Allah sentiasa melimpahkan kepada Nabi Musa kerana beliau telah disakiti hatinya tetapi beliau tetap sabar."

Rawat Marahmu

1. Segera mengingati Allah SWT

Apabila anda berada dalam keadaan marah kerana disakiti oleh orang lain, maka segeralah mengingati Allah dengan menyedari keutamaan menahan marah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:-

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapatkan) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang lebar seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertaqwa, iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang yang menahan kemarahan." (surah Ali 'Imran, 134)

Sebuah hadith riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah, daripada Mu'az bin Anas RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

"Sesiapa yang menahan marah padahal ia boleh melepaskannya, maka dia akan dipanggil Allah pada hari kiamat bersama para pemimpin makhluk sehingga dipilihkan untuknya bidadari mana yang dikahwinkan dengannya mengikut kehendaknya."

2. Berlindung kepada Allah SWT

Kita hendaklah memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada sifat marah kerana marah itu berasal daripada syaitan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

"Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan maka mohonlah perlindungan kepada Allah SWT. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (surah al-Fusillat, 36)

Riwayat dari Ibn Adi daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

"Jika seorang lelaki marah, lalu ia berkata:

(Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang direjam), maka kemarahannya akan reda."

Diriwayatkan daripada Sulaiman bin Surad RA yang berkata:-

"Dua orang lelaki sedang mencaci maki di hadapan Rasulullah SAW. Salah seorang dripada mereka matanya merah dan urat darah di lehernya timbul. Rasulullah SAW bersabda,"Sesungguhnya aku tahu suatu kalimah yang apabila diucapkan, maka apa yang dideritainya itu menjadi hiang, iaitu:


(Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang direjam). Maka lelaki itu berkata,"Apakah engkau (Rasulullah) melihat aku gila?"

3. Wudu' Penyejuk Kemarahan

Syaitan memang akan berusaha menjadikan kita marah. Apabila kita berada dalam keadaan marah, mudah sekali baginya menggoda dan memesongkan kita kerana pertimbangan yang sihat telah hilang dan akal dikuasai emosi dehingga tidak dapat berfikir dengan wajar. Jika seseorang dapat mengawal dirinya daripada melepaskan kemarahan, bererti dia telah berjaya melawan syaitan yang bakal mengheretnya ke jurang kebinasaan dan penyesalan.

Abu Wa'il, Abdullah Bin Bujair al-Shan'ani RH berkata,"Kami masuk menemui Urwah bin Muhammad al-Sa'di. Seseorang lelaki sedang berbicara dengannya sehingga menyebabkan beliau marah. Lantas beliau bangun dan pergi berwudu'. Kemudian beliau berkata,"Ayahku menceritakan kepadaku dari datukku Athiyyah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:-

"Sesunggunya kemarahan itu berpunca dari syaitan. Syaitan pula dicipta daripada api. Sesunguhnya api hanya dipadamkan dengan air. Oleh sebab itu, apabila seseorang antara kamu naik marah, maka hendaklah dia berwudu'." (HR Ahmad dan Abu Daud)

4. Diam Merawat Kemarahan

Sekiranya anda sedang marah, sebaiknya anda diam. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam al Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad yang bermaksud:-

"Jika seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia diam."

Begitu juga dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Abdullah bin Amru yang berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

"Sesiapa yang diam, maka ia selamat."

Sebenarnya diam dalam perkara ini adalah sebahagian daripada iman.

5. Duduk dan Berbaring

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abu Zar bahawa pada waktu itu beliau sedang minum di kolahnya, lalu datang satu kaum seraya berkata:-

"Siapa antara kamu yang berani menganggu Abu Zar dan mengambil beberapa helai rambut di kepalanya? Salah seorang berkata, "Saya!" 

Lalu orang itu datang mengeruhkan kolah dan memukulnya. Pada ketika itu Abu Zar yang sedang berdiri lalu duduk kemudian berbaring. Beliau ditanya, "Wahai Abu Zar, mengapa kamu duduk kemudian berbaring?"

Dia menjawab. "Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada kami, "Jika salah seorang antara kamu marah sedangkan ia ketika itu dalam kedudukan berdiri, hendaklah ia duduk. Jika marahnya dapat hilang dengan duduk (cukuplah duduk). Jika tidak, hendaklah ia berbaring.""

Demikianlah sunnah Nabi SAW yang telah diwariskan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya. Tips-tips menyejukkan api kemarahan telah diajarkan kepada sahabat, dipraktikkan oleh mereka dan seterusnya disampaikan kepada generasi seterusnya.

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment