Etika Pergaulan di Tempat Kerja


Hubungan dan interaksi yang berlaku di tempat kerja sering kali melibatkan kelompok dewasa lelaki dan wanita yang datang dari pelbagai peringkat usia (dari semuda belia hinggalah ke usia emas), berlainan pangkat (dari staff bawahan hinggalah kepada CEO) dan juga berbeza status perkahwinan (bujang, berkahwin, janda, duda serta bercerai hidup atau mati).

Bagi majoriti kelompok yang mempunyai komitmen pekerjaan di luar rumah, sebahagian besar kehidupan mereka sebenarnya dilalui di tempat kerja, terasing daripada pasangan hidup dan ahli keluarga masing-masing. Seharian suntuk masa dihabiskan di tempat kerja bersama teman-teman sepejabat, berkongsi suka duka, jatuh dan bangun. Kemesraan yang terjalin sekian lama kadangkala lebih terasa eratnya berbanding hubungan dengan ahli keluarga sendiri. Salah seorang rakan saya juga pernah berseloroh dengan saya, mengatakan bahawa setiap hari dia dan isterinya lebih banyak berurusan dengan para suami dan isteri orang lain, jika dibandingkan dengan masa yang dihabiskan bersama-sama!

Punca Keruntuhan Institusi Kekeluargaan

Sekiranya tidak dipelihara keharmonian suasana dan akhlak keperibadian setiap individu yang teribat di bawah satu bumbung tempat bekerja, amat mudah berlaku penyelewengan, pelanggaran serta kegelinciran yang membabitkan hubungan dan interaksi antara individu berlainan jantina, lelaki dan wanita. Hubungan sesama teman yang tidak mengenal batas akan berkesudahan dengan penyakit sosial yang menjalar dan merosakkan institusi kekeluargaan secara halus dan senyap, ibarat anai-anai yang perlahan-lahan merosakkan asas sesebuah bangunan.

Menurut suatu laporan akhbar pada tahun 2004, Unit Kaunseling Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat ketika itu menganggarkan sebanyak tiga perempat (75%) daripada penceraian yang berlaku dalam masyarakat berpunca daripada kehadiran orang ketiga, sementara 80% daripada orang ketiga tersebut ialah rakan sekerja.

Saya juga yakin, ramai di luar sana yang mempunyai kenalan dan rakan taulan yang terbabit dengan cinta tiga segi ini (ataupun mungkin mempunyai pengalaman peribadi sendiri). Entah berapa banyak pertunangan yang tidak diteruskan lantaran salah satu pihak tiba-tiba berubah hati dan "jatuh cinta" dengan rakan sepejabat. Entah berapa ramai pasangan suami isteri yang mengambil keputusan bercerai selepas belasan tahun malah puluhan tahun hidup bersama demi untuk memenuhi hajat hidup bersama pasangan baru yang ditemui semasa tempoh pekerjaan.

Entah berapa banyak rumah tangga yang bertukar status dari institusi perkahwinan monogami kepada poligami demi untuk menghalalkan cinta kedua, ketiga dan keempat yang berputik semasa berlakunya interaksi atas nama urusan perniagaan dan kerjaya. Malahan entah berapa ramai juga yang kecundang dengan nafsu syahwat yang mendorong berlakunya zina dan maksiat lain, lantaran mudahnya perkara tersebut dilakukan di tempat kerja.

Kerja Sebagai Ibadah

Dalam dunia serba materialistik hari ini, pekerjaan dikihat sebagai satu keperluan asas yang menjana keupayaan ekonomi seseorang itu untuk menyambung kehidupan. Bagi seseorang yang terpaksa menanggung kehidupan orang lain, kebergantungan kepada sumber pendapatan yang diperoleh daripada pekerjaan amatlah ketara. Hidup dalam suasana yang begitu kompetitif, keupayaan menjawat pekerjaan yang membuahkan hasil yang lumayan menjadi pasport untuk masa depan yang mewah dan penuh keselesaan.

Sesungguhnya, setiap kita perlu diingatkan semula, apakah sebenarnya objektif dan matlamat kita menjawat sebarang jawatan yang diamanahkan kepada kita? Kejelasan mengenai keperluan dan objektif yang menuntut kita keluar berkerja akan memandu arah setiap langkah dan tingkah laku kita dalam bergaul bersama teman sekerja.

Sekalipun teman sekerja boleh dianggap sebagai rakan sepasukan yang erat hubungan, saling memahami dan mempercayai, masih terdapat di sana batas dan sempadan yang perlu diperhatikan dalam pergaulan kita seharian. Interaksi sesama rakan sekerja mestilah terus berlaku dalam suasana penuh adab, sopan dan disulami dengan etika professional yang tinggi.


Rasa hormat-menghormati antara satu sama lain, mestilah merangkumi aspek keperibadian dan latar belakang kekeluargaan. Tidak harus berlaku eksploitasi pegawai atasan terhadap staf bawahan, perbuatan sumbang antara bos lelaki dengan setiausaha wanitanya yang masih belum berumahtangga ataupun penganiayaan pekerja junior terhadap rakan sekerja yang sudah berumur dan kurang berdaya.

Elakkan Fitnah

Hari ini, organisasi perkhidmatan, pembuatan dan perniagaan terpaksa dipantau melalui akta dan peruntukan perundangan pihak berwajib yang bertujuan melindungi semua pekerja daripada eksploitasi dan gangguan seksual. Tiada sesiapapun yang terkecuali daripada pemantauan ini. Malangnya setiap akta dan rang undang-undang perlukan penguatkuasaan yang teliti dan berkesan. Tanpanya, akta hanya tinggal akta. Tiada gunanya kita terus mendraf dan meluluskan satu demi satu peraturan , sekiranya asas dalaman dan nilai yang dipegang pada tahap individu tidak diperkasa dan ditingkatkan ke tahap yang paling mulia.

Setiap pekerja hendaklah mempunyai keazaman untuk menonjolkan keperibadiaan yang terbaik dan akhlak terpilih semasa berinteraksi dengan orang lain, khususnya dengan rakan sekerja yang sudah dianggap seperti adik-beradik. Hubungan berlainan jantina tetap perlu dijalani dengan batasan syariah yang menjamin keharmonian hubungan dan penghormatan yang sewajarnya.

Bagi individu yang sudah berumahtangga hendaklah ia sentiasa menjaga nama baik diri, pasangannya dan ahli keluarga yang lain. Jika dia seorang suami, hendaklah dia berkelakuan sebagaimana seorang suami bukannya masih mengamalkan gaya hidup seorang bujang teruna trang-tang-tang. Sekiranya dia seorang isteri yang solehah, seharusnya dia sentiasa menyedari bahawa dia keluar bekerja dengan keizinan dan kepercayaan suaminya. Masing-masing perlu sentiasa menjaga nama baik dan maruah diri, pasangan dan keluarga.

Elakkan interaksi dan hubungan yang boleh menimbulkan fitnah dan syak wasangka. Hari ini, ramai yang berani mempertahankan kesilapan yang dilakukan dengan berhujah mengenai hak asasi dan ruang peribadi. Dalam urusan seharian yang memerlukan kita berhubung antara lelaki dan perempuan di tempat kerja, pastikan interaksi tersebut dibina atas dasar hormat-menghormati dan sopan santun.

Jauhi suasana berdua-duaan dan bersunyi-sunyian, sekalipun atas nama projek atau tugasan bersama. Etika perubatan menetapkan perlunya pengamal perubatan memastikan ada seorang "chaperon" atau pihak ketiga yang hadir sama dalam sesi rawatan pesakit yang berlainan jantina. Begitu jugalah keperluan adanya orang lain turut serta dalam perjumpaan atau mesyuarat kumpulan kecil yang membabitkan staf berlainan jantina. Pastikan tiada perjumpaan rahsia di belakang pintu tertutup. Setidak-tidaknya, ada tingkap kaca pada daun pintu yang membolehkan orang di luar melihat apa yang berlaku di dalam bilik, sekalipun tidak mendengar butiran perkataan yang dibincangkan. Ketelusan dan keprihatinan semua pihak terbabit terhadap aspek ini amat penting demi memelihara diri daripada fitnah dan sangka buruk.

Jangan ambil mudah sembang atau borak kosong di ruang pantri semasa rehat 30 minit sehari, yang mungkin berkesudahan dengan sesi luahan perasaan dan perkongsian jiwa yang boleh berlarutan sehingga memutikkan cinta dan buaian emosi. Elakkan urusan ke luar negara atau outstation yang berhari-hari lamanya, hanya dengan seorang dua rakan sekerja yang berlainan jantina. Jangan sesekali menjaja cerita mengenai rumahtangga sendiri, apatah lagi berkaitan hubungan intim suami isteri. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang mendapat tempat paling buruk di sisi Allah pada hari kiamat kelak ialah orang yang melakukan hubungan suami isteri kemudian menyebarkan rahsia hubungan itu kepada orang lain." (Riwayat Muslim)

Peranan Ketua

Sekiranya, kita menjadi ketua sesebuah unit, bahagian atau jabatan, pastikan kita tidak mengambil kesempatan atas kedudukan dan pangkat yang ada. Tanggungjawab yang besar terpikul di bahu kita untuk memastikan interaksi anak-anak buah kita tidak terkeluar daripada batasan syariah yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Setiap perlakukan staf di pejabat yang mula menampakkan kecenderungan berlakunya kegelinciran, haruslah ditangani segera dan diatasi melalui nasihat dan pesanan. Jika masih gagal memperbaiki keadaan, adakalanya amat perlu mengambil tindakan yang lebih tegas dan berkesan.


Hidupkanlah budaya berpesan-pesan dengan kesabaran dan kebenaran di dalam ruangan pejabat kita mencari rezeki setiap hari. Mantapkan ikatan kekeluargaan sesama ahli sepejabat berasaskan ukhwah islamiah yang suci, menggantikan suasana sumbang dan selamba yang menjadi kegemaran iblis dan segerombolan pasukan penggodanya, memainkan jarum khianat yang menyesatkan.

Elakkan fitnah yang berpunca daripada kelalaian menjaga batasan yang telah ditetapkan Allah SWT. Mudah-mudahan dengan kesungguhan bagi memenuhi aspirasi mulia tersebut, selamatlah kita semua daripada kebejatan akhlak yang hina.

Kalau masih tidak dapat menepis dan menangkis godaan yang begitu hebat menyerang, mungkin sudah tiba masanya kita mencari ruangan baru yang lebih sejahtera untuk iman dan taqwa. Patah tumbuh, hilang berganti. Mungkin ada baiknyaberhijrah demi untuk mempertahankan iman, kemuliaan dan amanah. 

Percayalah.....Allah SWT akan menggantikan dengan sesuatu yang jauh lebih baik untuk dunia dan akhirat nanti. Insya-Allah.

Wallahu'alam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment