Facebook - Antara Pahala dan Dosa

Perkembangan dunia teknologi sekarang memang boleh dikatakan amat pesat, terutama dalam bidang media sosial seperti Facebook, Twitter, Tagged, mIRC, Blogger, Wordpress dan sebagainya. 

Namun, ramai dalam kalangan kita menyalahgunakan penggunaan laman sosial itu sendiri terutamanya Facebook yang pada asalnya bertujuan untuk menambah kenalan baru dan menyampaikan mesej yang baik serta melarang kemungkaran melalui Facebook.

Akibatnya, tanpa kita sedari tujuan yang pada asalnya baik telah bertukar menjadi sesuatu perbuatan yang mengundang dosa kepada kita. 

Contohnya, mendedahkan keaiban seseorang di Facebook

Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik Facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap seseorang yang dia merasa tidak puas hati. Kemudian mereka memaparkan rasa ketidakpuasan hati itu di status mereka dan ramai kenalan yang memberi komen.
Kebanyakan daripada penggemar Facebook suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan seseorang, bukan pula untuk tujuan membuka aib seseorang atau untuk mencari penyelesaian. Tetapi, bagi bagi mengurangkan beban yang ditanggung.
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam


Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita keaiban orang lain secara terbuka sama ada melalui Facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan.
Maksud firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah di kalangan kamu orang yang suka memakan daging saudaranya yang telah mati sedangkan mereka tidak menyukainya” (surah al-Hujurat, 12)
Bertanyalah Nabi SAW kepada mereka:- 

"Tahukah kamu apakah yang dimaksudkan dengan Ghibah itu? "

Lalu mereka menjawab :- 

"Allah SWT dan Rasul-Nya yang lebih tahu." 

Maka sabda Nabi SAW:- 

"Iaitu kamu membicarakan saudaramu tentang sesuatu yang dia tidak menyukainya."

Kemudian Rasulullah SAW ditanya:- 

"Bagaimana jika pada saudaraku itu terdapat apa yang saya katakan tadi?" 

Rasulullah SAW menjawab:- 

"Jika padanya terdapat apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu mengumpatnya dan jika tidak seperti apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu telah menuduhnya." 

(Rujukan: HR Imam Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan Nasai’e)
Apabila kita merenungi kepada maksud ayat al-Quran dan potongan hadith Nabi SAW maka dapatlah disimpulkan bahawa mengumpat merupakan salah suatu dosa besar dan ia merupakan perbuatan yang tercela seolah-olah pelakunya memakan daging saudaranya sendiri yang telah mati.
Selain itu, ramai di kalangan wanita hari ini yang mempunyai akaun Facebook. Mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. 
Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, dengan gaya dan aksi yang pelbagai.
Kesannya, ramai lelaki yang menyamar sebagai wanita untuk menjadi kawan dan seterusnya mendapat maklumat wanita yang ingin dikenalinya kerana tergoda dengan gambar-gambar wanita tersebut yang seksi. 

Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi teman Facebook seseorang wanita. 

Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. 

Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di internet, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi teman Facebook dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.

Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan teman Facebook untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.
Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan solekan cukup jelas menghiasi wajah, baju berkerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. 
Alasannya? 
Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
Apa yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian menutup aurat lagi sopan di Facebook, disiarkan oleh rakan-rakan lama. Tuan empunya tubuh kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. 


Lahirlah kata-kata, "Zaman Aku Ekstrem", "Zaman Solehah", "Waktu Innocent", Zaman-Zaman Suci", "Itu Zaman Kuno Dulu", "Itu Masa Duduk Bawah Tempurung" dan lain-lain "tagline" yang seangkatan dengannya.
Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata "Zaman Solehah", bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah, tidak suci dan sebagainya?

Demikian juga maksud ayat-ayat lain di atas.? 
Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. 
Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah-olah mendahulukan yang kurang baik.
Kesimpulan
Facebook itu boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan cara yang betul dan ia juga boleh menjadi penambah dosa jika digunakan tanpa ilmu. Niat untuk menguatkan ukhwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. 

Janganlah kita mempermainkan lagi maksud ukhwah itu untuk berbuat dosa. Ukhwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah SWT, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran.

Wallahu'alam.

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment