Keimanan kepada al-Quran adalah wajib dan fardhu. Keimanan kepada al-Quran termasuk kepada salah satu rukun Iman yang enam. Maka keimanan tidak sah jika menafikan keimanan kepada al-Quran.
Walau bagaimanapun, terdapat isu di mana ada segelintir umat Islam yang mempertikaikan hukum al-Quran.
Apa-apa yang termaktub dalam al-Quran mesti diterima dengan iktikad yang jitu. Sikap yang harus dimiliki oleh setiap Muslim antaranya ialah tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT. Perintah Allah SWT terdapat di dalam al-Quran. Sikap suka melawan perintah Allah SWT adalah sikap yang tidak harus dimiliki oleh seorang Muslim. Maka sepatutnya bagi seseorang Muslim mendengar dan taat kepada perintah Allah SWT.
Al-Quran menjelaskan sifat golongan yang baik melalui firman Allah SWT yang bermaksud:-
"Setiap (daripada mereka) beriman kepada Allah, kitab-kitab-Nya dan para rasul-Nya (dan mereka berkata bahawa) kami tidak membezakan antara seseorang daripada para rasul-Nya. Dan mereka berkata kami dengan dan kami taat...." (surah al-Baqarah, 2:285)
Jangan Dipersoal Hukum al-Quran
Ada masanya seorang Muslim berasa sukar untuk melaksanakan perintah Allah SWT. Kesukaran ini kerana pelbagai faktor antaranya kerana pendidikan yang tidak mendidiknya ke arah perkara tersebut atau ibu bapa yang tidak memberikan didikan agama yang sepatutnya serta persekitaran yang tidak soleh. Mungkin juga disebabkan godaan syaitan, sifat malas yang mula bersarang di hati dan pelbagai kemungkinan lagi.
Seorang Muslim semestinya wajib menerima hukum Allah SWT tanpa mempertikaikannya. Contoh kewajipan solat fardhu. Solat fardhu setiap hari adalah lima waktu sehari semalam sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran dan dijelaskan dengan riwayat-riwayat hadith yang sahih. Namun ada masanya seseorang Muslim tidak mampu menyempurnakan kewajipan solat fardhu seharian. Jika remaja, masa mudanya mungkin dihabiskan untuk menikmati usia muda atau berhibur sehingga solat fardhu terabai atau hanya dikerjakan apabila rajin sahaja.
Dalam apa jua keadaan, iktikad mesti dijaga. Jangan sesekali wujud sifat dan sikap yang mempersoalkan kewajipan solat fardhu. Ungkapan-ungkapan berikut mestilah diteliti sedalam-dalamnya:-
"Ahhh...buat apa solat! Menyusahkan aku aje..."
"Orang bodoh aje yang solat tertunggang-tunggit tiap-tiap hari...!"
"Buat apela aku kene solat, kalau aku tak buat pun, senang aje hidup aku."
"Asyik-asyik kene solat! Dah macam takde keje lain aku nak buat dalam hidup ni!"
"Solat-solat ni dah tak relevan lagi sekarang!!"
Ungkapan yang seumpama dengannya ialah ungkapan yang berbahaya kepada aqidah kita. Ia dikhuatiri boleh dianggap sebagai satu ungkapan yang cuba mempertikai hukum yang terkandung di dalam al-Quran. Sikap ini sama dengan sikap golongan yang mendengar perintah Allah SWT tetapi masih lagi mengingkarinya. Al-Quran menjelaskan melalui firman Allah SWT yang bermaksud:-
"Dan ingatlah ketika Kami mengambil perjanjian dengan mereka, dan Kami angkatkan ke atas mereka bukit Tur (lalu Kami perintahkan) ambillah apa yang Kami berikan kepada kamu dengan kuat dan dengarlah. Mereka berkata (bahawa) kami dan kami ingkar." (surah al-Baqarah, 2:93)
Golongan sebegini ialah golongan yang ingkar akan perintah Allah SWT. Konsep yang sama akan berlaku apabila wujud suara-suara yang mempertikaikan al-Quran.
Beriman dengan Hukum Allah SWT
Keimanan mempunyai beberapa wajah tafsiran sebagaimana yang dihuraikan oleh para ulama'. Ada pandangan menyatakan bahawa iman adalah pembenaran di hati dan pengamalan dengan tubuh badan. Ada pandangan lain pula menyatakan bahawa iman sekadar kepercayaan yang ada dalam hati.
Apapun wajah tafsiran dalam kalangan ulama', konsep dasar iaitu menerima dan tunduk patuh pada perintah Allah SWT adalah satu kemestian (fardhu). Oleh sebab itu, tidak ada keharusan dan kewajaran bagi seseorang Muslim untuk mempersoalkan hukum Allah SWT.
Bagi wanita Muslimah, nas al-Quran menjelaskan kewajipan menutup aurat. Kewajipan perintah ini boleh difahami dalam surah al-Ahzab dan surah An-Nur. Huraian dalam riwayat sunnah Rasululah SAW memperkukukan apa yang ada di dala al-Quran begitu juga kefahaman para ulama'.
Namun masih ada suara dan pandangan yang mengatakan bahawa menutup aurat adalah budaya masyarakat Arab semata-mata! Ada pandangan yang memperlekehkan kewajaran menutup aurat ini dengan menyatakan ianya merupakan satu amalan yang sudah ketinggalan zaman. Alangkah malangnya jika seseorang Muslim itu menidakkan perintah dan suruhan Allah SWT.
Dalam isu hukuman Hudud, nas al-Quran tentang beberapa hukuman yang disebut dalam al-Quran adalah pasti dan muktamad. Apabila berlaku kecurian, hukuman bagi kesalahan mencuri ialah potong tangan. Maka sewajibnya seseorang Muslim beriman bahawa hukuman potong tangan terhadap pencuri ialah hukuman yang telah ditetapkan Allah SWT untuk dilaksanakan. Namun kita mungkin pernah mendengar pandangan sesetengah pihak yang jahil tentang Islam mempertikaikan hukum ini bagi si pencuri. Mereka berpendapat bahawa hukuman ini terlalu ekstrem dan kejam bahkan tidak lagi relevan untuk zaman serba moden ini.
Pernah dengar ungkapan ini:-
"Jika hukuman potong tangan dilakukan di sini, ramailah orang yang akan kudung tangannya....mundurlah bangsa kita jadinya lepas ni!"
Antara Terima dan Amal
Sepatutnya jatuh wajibnya bagi seseorang Muslim menerima segala dasar hukum yang ada di dalam al-Quran. Kewajipan Muslim adalah untuk mendengar dan taat. mempertikaikan hukuman yang jelas dalam al-Quran adalah salah dan boleh membawa kepada rosaknya aqidah. Namun tidak salah untuk meneliti semula perincian hukuman potong tangan dalam masalah yang menjadi khilaf di kalangan para ulama'.
Al-Quran sekadar menjelaskan bahawa pencuri lelaki dan wanita hendaklah dipotong tangannya. Kadar ini wajib diimani tanpa apa-apa pertikaian.
Namun mungkin dalam perincian hukuman potong tangan, ada beberapa masalah yang boleh dipersoalkan. Contohnya kadar tangan yang mesti dipotong. Adakah sekadar sampai ke pergelangan tangan atau hingga ke siku? Mungkin ada perbezaan pendapat para ulama'. Mungkin kadar nilai barangan yang dicuri yang mewajarkan tangan dipotong. Adakah sekadar mencuri sebiji telur ayam wajib dipotong tangannya? Mungkin ada kefahaman para ulama' yang berbeza dalam masalah ini.
Dalam hukum pembahagian harta pusaka, terdapat perbezaan antara bahagian bagi anak lelaki dan anak perempuan. Anak lelaki mendapat bahagian yang lebih besar. Ini adalah hukum yang termaktub dalam al-Quran. Maka tidak sepatutnya diperlekehkan hukum-hukum tersebut dengan alasan ianya terlalu jumud, sudah kuno, terlalu ketinggalan zaman, zalim kepada kaum wanita dan sebagainya.
Kewajipan seseorang Muslim adalah menerima ketetapan hukum al-Quran. Kalau ingin diberi bahagian harta yang lebih banyak, ada pelbagai kaedah lain yang boleh digunakan. Contohnya melalui kaedah hibah (hadiah) kepada anak perempuan. Mungkin juga wasiat atau persetujuan bersama untuk dibahagi sama rata. Namun jangan sesekali mempersoalkan atau menidakkan hukum yang terkandung di dalam al-Quran.
Kami Dengar dan Kami Taat
Begitulah hukum al-Quran yang lain. Al-Quran adalah wahyu Allah SWT. Kebiadaban seseorang Muslim terhadap hukum yang termaktub di dalam al-Quran adalah kebiadaban terhadap Allah SWT. Adakah kita wajar biadab dan sombong dengan Allah SWT?
Sudah tentu tidak wajar sama sekali.
Hari ini, mungkin kita akan terjumpa dengan pelbagai kajian atau artikel memperlekehkan beberapa ketetapan al-Quran. Mungkin kta sendiri adakalanya terpengaruh kerana kelogikan hujah yang dikemukakan. Namun apabila kita sedar semula, segerakanlah untuk berasa insaf dan bertaubat. Bimbang dan khuatir jika sikap mempersoalkan hukum al-Quran termasuk dalam golongan yang beriman dengan sebahagian kitab namun ingkar terhadap sebahagian isi kitab yang lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
"Adakah patut kamu semua beriman dengan sebahagian kitab dan kamu ingkar dengan sebahagian kitab yang lain. Maka tiadalah balasan bagi mereka yang melakukannya melainkan kehinaan di dunia dan pada hari kiamat nanti mereka aka dikembalikan kepada azab yang sangat pedih." (surah al-Baqarah, 2:85)
Justeru itu, penyelesaian utama adalah dengan menerima hukum al-Quran yang qat'i iaitu pasti dan muktamad. Sama ada kita memahami atau tidak, hikmahnya itu terserah kepada kita untuk berusaha bagi mempelajari segala isi al-Quran itu sendiri. Tidak kira sama ada mampu diamalkan atau tidak, tetapi jangan sesekali mempersoalkan dan memperlekehkan hukum Allah SWT!
Wallahua'lam.
Blogger Comment
Facebook Comment