Qailulah, Sebentar Tapi Menyegarkan


Jam di tangan menunjukkan tepat pukul 1 tengahari. Mata terasa berat. Kepala mula berpusing. Pandangan menjadi kabur. Fikiran tumpul dan susah untuk fokus. Segala kerja menjadi lembap dan tidak menjadi. Badan memberi isyarat untuk "lena" seketika. 

Nak tidur?

Oh tidak mungkin kerana kerja-kerja yang belum disiapkan masih bertimbun banyaknya! Dalam tak sedar, akhirnya terlelap seketika di atas kerusi pejabat dengan komputer terpasang di depan mata.

Seketika kemudian terjaga semula dikejutkan oleh riuh rendah rakan sekerja yang hendak keluar untuk "lunch". Badan seolah-olah sebuah bateri yang baru dicas semula. Fikiran yang tadinya tumpul menjadi tajam dan gerakan kembali lincah. Kerja-kerja dapat dilaksankan dengan lebih pantas.

Ajaib!

Adakah ini kesan daripada tidur hanya beberapa minit tadi?

Pusingan Biologi Badan

Bagi mereka yang mempunyai cukup tidur pada waktu malam, mereka biasanya mengakui tetap berasa mengantuk dan lembap pada siang hari. Sebahagian kita mungkin menyangka ini berpunca daripada "lunch" yang berat dan banyak mengakibatkan perut menjadi kenyang. Namun, ia sebenarnya tanda badan kita memerlukan tidur dalam tempoh sekejap.

Badan kita sebenarnya mempunyai "biological rhythm" atau pusingan biologi. Sistem ini dikawal oleh hormon-hormon yang terdapat dalam tubuh kita. Dalam keadaan normal, sistem inilah yang menyebabkan kita berasa mengantuk pada waktu-waktu tertentu dan berasa bertenaga pada waktu yang lain pula.

Sebagai contoh pada waktu malam, badan manusia akan mengeluarkan sejenis hormon iaitu melatonin dalam jumlah yang banyak. Melatonin akan menyebabkan badan terasa mengantuk dan memberi isyarat kepada kita untuk tidur. Selepas itu paras melatonin menurun ke tahap yang paling rendah, maka waktu itu kita bangun tidur sekitar jam 5 atau 6 pagi.

Hormon kortisol pula akan meningkat secara mendadak sewaktu kita bangun pada awal pagi dan ia menyebabkan badan kita menjadi lebih bertenaga. Inilah waktu yang paling baik untuk kita bekerja dan belajar dengan efektif dan produktif.

Hormon ini kembali menurun ke tahap yang paling rendah pada waktu tengahari menyebabkan badan kita menjadi lesu dan lemah. Pergerakan badan menjadi perlahan dan otak menjadi kusut. Fasa ini disebut sebagai "mid-afternoon quiescent phase" atau "secondary sleep gate".

Badan kita akan memberi isyarat untuk berehat dan tidur sebentar pada waktu ini. Jika tidur sebentar dapat dilaksanakan, kita seolah-olah mengecas semula tenaga di dalam badan kita. Badan akan kembali menjadi aktif dan dapat meneruskan kerja seperti biasa. Fokus kita pada sesuatu juga akan menjadi lebih tajam dan banyak idea-idea baru dapat dihasilkan.

Manfaat Day Napping

Dalam sesetengah masyarakat, tidur pada waktu siang dianggap sebagai perlakuan orang malas dan tabiat yang tidak baik. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, masa dinilai sebagai duit. Mereka mengkritik amalan tidur ada waktu siang hari kerana dianggap sebagai tidak produktif, malas dan membuang masa sahaja.

Namun sejak kebelakangan ini mereka mula sedar akan kepentingan tidur seketika pada waktu siang. Para saintis sehingga kini sedang giat menjalankan pelbagai kajian mengenai kesan "day napping" ke atas badan manusia. Mereka termasuklah Danid F. Dinges dan Robert J. Broughton yang telah menghasilkan sebuah buku yang bertajuk Sleep and Alertness: Chronobiological, Behaviorial dan Medical Aspect of Napping.

Buku ini menyebut bahawa mereka yang secara rutinnya mengamalkan tidur selama 30 minit pada waktu siang mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat serangan penyakit jantung berbanding orang lain. Bahkan ia juga berkesan untuk mengurangkan tekanan mental kerana tempat kerja merupakan punca utama kepada masalah tersebut.

Pakar tidur dari Cornell University, Dr James Maas juga membuat kajian mengenai "day napping". Beliau menyatakan bahawa tidur pada waktu tengahari sekadar 15 minit hingga 20 minit mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan.


Lebih menarik lagi, satu kajian selama 25 tahun telah dilakukan untuk mengkaji kesan-kesan "day napping" ke atas pekerja-pekerja industri dan pasca industri. Hasil kajian tersebut, 92.5% para pekerja yang berkesempatan tidur sebentar pada waktu siang mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan untuk menyelesaikan masalah juga meningkat dan hasilnya, produktiviti turut meningkat.

8 Kelebihan Day Napping

Para saintis yang giat mengkaji mengenai tidur merumuskan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 8 kelebihan "day napping":-

1. Membantu mengurangkan tekanan di tempat kerja dan belajar.

2. Meningatkan kecekapan dan produktiviti.

3. Meningkatkan kemampuan pembelajaran dan daya ingatan.

4. Baik untuk jantung dan kesihatan.

5. Meningkatkan fungsi kognitif (taakul).

6. Memberi stamina kepada tubuh untuk melakukan senaman.

7. Menjadikan minda lebih kreatif.

8. Mengelakkan daripada mengantuk ketika bekerja atau belajar.

Sunnah Nabi Muhammad SAW

Islam sebenarnya telah lama mengajar umatnya tentang "day napping". Bahkan ini merupakan salah satu sunnah Rasulullah SAW yang disebut sebagai "qailulah". Dalam bahasa Arab, "qailulah" bermaksud tidur sebentar pada waktu tengahari.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

"Lakukan qailulah (tidur siang hari) kerana sesungguhnya syaitan itu tidak melakukan qailulah." (HR at-Tabarani)

Dalam kitab Misykat al-Masabih juga menyebut mengenai sunnah Rasulullah SAW mengenai "qailulah":-

"Tidur yang sedikit pada waktu siang hari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah SAW ada melakukannya."

Sesungguhnya amalan sunnah ini rupa-rupanya mempunyai manfaat yang sangat besar untuk kita amalkan. Ia nampak ringkas, sekadar tidur beberapa minit sahaja tetapi manfaatnya amat besar sekali. Rasulullah SAW telah mengajar kita cara yang paling baik untuk memulihkan tenaga kita dan juga meingkatkan kecergasan badan kita untuk bekerja. Jika anda mempunyai kesempatan untuk "qailulah", amalkan sunnah ini. Badan kita akan menjadi lebih bertenaga selepas itu.

Sebaik sahaja bangun dari "qailulah", badan kita mungkin akan berasa sedikit pening dan kaku, namun ia hanya sementara untuk tempoh 5 minit hingga 20 minit. Selepas tempoh itu tamat, badan kita akan mengalami perubahan mendadak dari segi emosi, kecergasan dan juga fokus.

Namun Nabi SAW mengajar kita untuk tidur sebentar sahaja dan tidak berlebihan. Kajian menunjukkan jika kita tidur berlebihan pada siang hari dan dilakukan selepas pukul 4.00 petang, badan kita akan memasuki fasa tidur lena yang susah untuk bangun semula. Kesannya, kita akan berasa pening dan badan menjadi terhuyung-hayang dalam tempoh masa yang lama dan juga boleh menyebabkan kesukaran untuk tidur pada waktu malam hari.

Wallahua'lam.