"Jangan makan dengan guna tangan kiri." Itu pesan ibu waktu kita kecil-kecil dahulu. Pesan ibu pasti ada asasnya.
Pasti anda mendengar satu hadith, kisah Umar bin Abi Salamah yang menceritakan bahawa ketika beliau masih kanak-kanak pernah bersama Nabi SAW pada waktu makan. Lantas beliau cuba mencapai makanan. Lalu sabda Nabi SAW yang bermaksud:-
"Wahai anak, sebutlah nama Allah (sebelum makan), makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang dekat denganmu dahulu." (Mutaffaq 'alaih)
Hadith ini menunjukkan salah satu ajaran Islam yang sering ditekankan oleh Nabi SAW iaitu makan dengan menggunakan tangan kanan. Sebenarnya, dalam apa-apa sahaja amalan atau pekerjaan yang baik, kita disunatkan melakukannya dengan menggunakan tangan atau anggota kanan seperti makan, mengambil, memberi, masuk ke dalam masjid, bersalaman, menyikat rambut dan seumpamanya. Rasulullah SAW menyukai amalan menggunakan anggota sebelah kanan dalam setiap perkara dan memerintah semua orang Islam melaksanakannya. Dua tokoh muhaddith masyur, al-Bukhari dan Muslim merekodkan hadith yang dilaporkan oleh Saidatina Aishah RA, katanya:
"Rasulullah SAW menyukai amalan menggunakan anggota sebelah kanan semasa memakai sepatu, menyikat rambut, bersuci dan semua urusannya."
Imam Muslim RH pula merekodkan hadith sabda Nabi SAW ini, mafhumnya:
"Apabila seseorang daripada kamu hendak makan, maka makanlah dengan tangan kanannya. Apabila hendak minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Hal ini kerana sesungguhnya syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya."
An-Nawawi mengulas hadith di atas dengan katanya:
"Dan kaedah pensyariatan yang berterusan ialah sunat memulakan dengan anggota sebelah kanan dalam semua urusan mulia dan berhias-hias (bersih), manakala urusan yang berlawanan (urusan kerja kotor atau kurang bersih), maka disunatkan padanya menggunakan anggota kiri."
Ini adalah satu kaedah penting yang wajar menjadi pegangan umat Islam. Setiap urusan yang mulia seperti makan minum, masuk ke dalam rumah atau masjid, memberi atau mengambil sesuatu, makan disunatkan menggunakan anggota kanan. Sebaliknya jika ia merupakan kerja kotor atau bukan mulia seperti masuk tandas, beristinjak dan sebagainya, maka hendaklah digunakan anggota kiri.
Kenapa Dilarang Menggunakan Anggota Kiri?
1. Kiri adalah amalan dan kebiasaan syaitan
Syaitan ialah musuh ketat manusia. Sejauh mana manusia itu pergi, makan syaitan akan tetap cuba untuk menarik mereka agar menjejaki cara syaitan.
Menggunakan tangan kiri untuk makan dan minum adalah amalan syaitan. Nabi SAW menyarankan supaya kita menggunakan tangan kanan adalah untuk menyalahi amalan syaitan.
Tidakkah menyalahi amalan dan kebiasaan syaitan juga antara maqasid atau objektif yang ingin dicapai oleh manusia? Firman Allah SWT yang bermaksud:-
"Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara keji dan perbuatan yang mungkar." (surah An-Nur, 24:21)
Oleh sebab itu, menjadi satu objektif dalam setiap perbuatan kita lakukan hendaklah menyalahi cara syaitan. Sudah tentu jika menggunakan anggota kiri untuk melakukan perkara-perkara tersebut, ia menunjukkan kekalahan kita di tangan syaitan.
2. Sifat Takkabur
Mengapa Nabi SAW melarang kita menggunakan anggota kiri? Ini bertujuan mengajar kita jangan bersikap takkabur. Sudah tentu orang yang tidak mahu mengikut perintah agama ia adalah orang yang takkabur, sombong atau bongkak. Syaitan dihalau dari syurga pun kerana kesombongannya yang tidak mahu sujud kepada Nabi Adam AS atas perintah Allah SWT.
Dalam hadith Muslim diriwayatkan oleh seorang lelaki pernah makan di sebelah Nabi SAW dengan menggunakan tangan kirinya. Lantas Nabi SAW menegurnya, "Makanlah dengan tangan kananmu." Dia menjawab (dengan sombong), "Aku tidak mampu." Lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud, "Kamu memang tidak mampu. Tiadalah yag menghalangnya meggunakan tangan kanan melainkan sikap takkaburnya." Kemudian dia tidak mampu mengangkat tangannya ke mulutnya lagi. Para sahabat kemudian mengatakan, "Kami mengetahui lelaki tersebut bersikap takkabur terhadap perintah Nabi SAW sedangkan dia bukanlah tidak mampu melakukannya. Kerana itulah Nabi SAW berdoa ke atasnya agar dia benar-benar tidak menjadi mampu." (Fatawa al-Azhar Jil 10, 393)
Selain itu, penggunaan tangan kanan bertujuan mengekalkan kebersihan makanan yang kita makan. Sudah menjadi syariat, apabila kita hendak membasuh najis, maka hendaklah kita menggunakan tangan kiri.
Dalam satu hadith, Nabi SAW menjelaskan melalui sabda Baginda SAW yang bermaksud:-
"Apabila seseorang daripada kamu membuang air kecil, maka janganlah memegang zakarnya dengan tangan kanan."
Kata Ibn Hajar RH:-
"Di sini disebutkan khusus zakar, namun dikiaskan juga menyentuh dubur." (Fath al-Bari Jil 1, 248)
Menurut segelintir ulama', larangan ini menunjukkan pengharaman perbuatan tersebut. Ini kerana kemungkinan tangan kanannya akan terkena najis tersebut, sedangkan tangan kanan adalah untuk perkara-perkara yang mulia sahaja. Dari segi naluri manusia, kita akan terasa jijik sekiranya kita makan dengan tangan yang sama yang digunakan untuk membasuh najis atau menyentuh benda-benda kotor.
4. Keberkatan Mengikut Sunnah Rasulullah SAW
Apa yang paling penting, menggunakan anggota kanan dalam melakukan anggota kanan dalam melakukan kerja-kerja mulia adalah sunnah Nabi SAW. Maka, aspek berkat menjadi objektif utama dalam perlakuan yang dimulakan dengan anggota kanan. Janganlah kita berasa malas untuk cuba menjadikan budaya hidup suka kepada anggota kanan dalam melaksanakan kerja-kerja mulia.
Wallahua'alam
Blogger Comment
Facebook Comment