Mengukur Iman Dengan Akhlak Mulia

Bagaimana cara mengukur keimanan seseorang?

Adakah wujud satu kaedah untuk menilai tahap kekuatan dan keimanan dalam hati seseorang?

Iman adalah suatu yang abstrak dan maknawi, tetapi Nabi SAW telah memberikan satu garis panduan dalam menilai kesempurnaan iman seseorang.


Sabda Baginda SAW yang bermaksud:-
"Seorang Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. 
Orang yang paling baik akhlaknya adalah yang paling baik terhadap isterinya. 

Sesungguhnya, akulah suami yang paling baik terhadap isteri." 
Riwayat al-Tirmizi, no 3895 dan Ibn Majah, No. 1977
Dalam hadith di atas, Baginda SAW menyimpulkan bahawa natijah kesempurnaan iman adalah akhlak yang mulia.

Tiada gunanya ilmu yang banyak sekiranya akhlak dan tingkah laku sentiasa menyakitkan hati dan perasaan orang sekeliling.

Tiada gunanya ibadat yang berterusan sekiranya masih tidak menjaga perangai dan tindak tanduk ketika berurusan dengan orang lain. 

Sheikh Ibn Uthaimin mensyarahkan hadith ini dengan menyatakan bahawa akhlak yang mulia terbahagi kepada dua:-

1. Akhlak dengan Allah SWT

Perlaksanaan: Meredhai dan mematuhi hukum-hakam yang telah disyariatkan-Nya tanpa sebarang bantahan dan alasan untuk tidak melaksanakannya.

Demikian juga menerima segala qada' dan qadar Allah SWT dalam setiap detik kehidupannya dengan hati yang penuh redha.

2. Akhlak dengan manusia

Perlaksanaan: Menjauhi sebarang perkara yang menyakiti perasaan dan fizikal orang lain.serta bersabar atas segala tindak tanduk mereka.

Suami yang Terbaik kepada Isteri

Hebatnya Nabi SAW, sayangnya Baginda SAW kepada golongan wanita!

Lihat bagaimana Baginda SAW memuliakan para wanita sehingga dalam rangkap seterusnya, Baginda SAW mengkhususkan bagi kesempurnaan akhlak iaitu seorang suami yang paling baik terhadap isterinya.

Bandingkan ungkapan ini dengan ucapan tokoh-tokoh kemanusiaan lain di seluruh dunia dan sepanjang sejarah kemanusiaan.

Adakah wujud dalam kalangan mereka yang mengkhususkan nilai kemuliaan seorang wanita sehingga ke peringkat ini?

Jawapannya tiada.

Tiada ajaran yang memuliakan para isteri seumpama ini, melainkan Islam yang dibawa oleh Baginda SAW.

Dalam suasana jahiliah di tanah Arab yang mejadikan perempuan sebagai tempat memuaskan nafsu dan dilihat sebagai lambang kehinaan, Nabi SAW tampil dengan penilaian yang hebat ini.

Bahkan, pada zaman jahiliah moden hari ini juga, saat para isteri sering menjadi mangsa kerakusan dan sifat tidak bertanggungjawab sesetengah suami, maka hadith ini mestilah dijadikan panduan para suami khususnya.

Amat malang apabila wujudnya suami yang begitu baik akhlaknya dan sangat hebat "communication skill" mereka ketika di pejabat atau melayani pelanggan tetapi begitu bengis ketika bersama-sama isteri yang mendambakan belaian dan kasih sayangnya setelah seharian berjauhan demi mencari rezeki untuk keluarga.


Ada suami yang begitu ceria dan mesra dengan senyuman ketika bersama-sama rakan-rakan dan menjalankan tugas seharian, tetapi wajahnya masam mencuka apabila bertemu isteri di rumah.

Lebih malang lagi, isteri menjadi mangsa maki hamun bahkan dipukul oleh si suami durjana yang teramat nipis imannya.

Justeru, Nabi SAW menegaskan bahawa untuk menilai akhlak seseorang, lihatlah akhlaknya ketika bersama-sama dengan isteri; insan yang paling hampir dengan diri mereka.

Sekiranya baik, maka iu adalah petanda kadar positif keimanannya. Sekiranya akhlaknya buruk terhadap isterinya, bermakna imannya masih perlu digilap dan disiram dengan ilmu dan keinsafan.

Nabi SAW sebagai Ikon Suami

Di penghujung hadith ini, dinyatakan bahawa Baginda SAW ialah suami terbaik kepada isterinya. Pernyataan ini bukan atas dasar mengangkat atau memuji diri sendiri, tetapi satu penegasan bahawa Baginda SAW telah melaksanakan perkara yang diucapkan.

Nabi SAW adalah manusia yang paling sempurna imannya dan juga yang paling baik akhlaknya kepada isteri. Baginda SAW merupakan suami penyayang yang sentiasa memahami hati dan perasaan isteri lantas bertindak untuk menggembirakan mereka.

Baginda SAW juga seorang pendengar yang sangat setia terhadap luahan dan celoteh isteri.

Kehidupan rumahtangga sering dihiasi dengan gurauan, nasihat dan pertolongan yang dihulurkan bagi meringankan beban si isteri walaupun Baginda SAW begitu sibuk menguruskan pentadbiran sebuah negara yang memerlukan fokus pemikiran yang berterusan.

Walaupun Baginda SAW menerima wahyu dan begitu hebat memimpin, pandangan serta idea dari isterinya juga sering diambil kira seperti dalam peristiwa bersama Ummu Salamah RA ketika Perjanjian Hudaibiyah termeterai.

Kehebatan akhlak Baginda SAW tambah terserlah ketika golongan munafikin memfitnah Ummu Mukminin, Saidatina Aishah RA.

Walaupun tuduhan tersebar ke seluruh Madinah dan sangat mengaibkan, Baginda SAW tetap dengan akhlaknya yang mulia terhadap Saidatina Aishah RA.

Demikian kehebatan iman dan akhlak Nabi SAW yang mesti terus digali dan dikaji oleh para suami.

Pepatah melayu ada menyebut:-

"Tak kenal maka tak cinta"

Berusahalah untuk mengenali Nabi Muhammad SAW dengan lebih mendalam agar perasaan cinta itu bertambah utuh.

Pada waktu itu, kesungguhan untuk mencontohi dan menghayati sunnah-sunnah Baginda SAW dalam kehidupan akan bertambah kuat dan kental.....Insya-Allah.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment