Kisah Nabi Muhammad SAW - Pembukaan Kota Makkah

Bagaimana Tercetusnya Pembukaan Kota Makkah?

Bani Bakar yang berpihak kepada kafir Quraisy telah melanggar Perjanjian Hudaibiyah dengan menyerang Bani Khuza'ah (berpihak kepada Rasulullah SAW). Keadaan ini telah memaksa Bani Khuza'ah untuk memasuki Tanah Haram. Mereka kemudiannya bertemu dengan Rasulullah SAW bagi menceritakan situasi yang berlaku. 

Lalu Baginda SAW menjanjikan pertolongan kepada Bani Khuza'ah.

Pengertian Misi yang Suci

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai Makkah) dan engkau melihat manusia masuk ke dalam agama Allah beramai-ramai, maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia amat menerima taubat." (surah an-Nasr 110:1-3)

Sebelum kota Makkah dikuasai oleh orang Islam, ia berfungsi sebagai pusat penyembahan berhala dan amalan-amalan tradisi masyarakat jahiliah. 

Amalan dan trdisi ini telah mencemarkan kesucian Ka'abah yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS 

(Rujuk surah al-Baqarah ayat 127 dan hadith berkaitan dengan pembinaan Ka'abah riwayat al-Bukhari no 3186 dan Muslim no 520).

Oleh sebab itu, pembukaan kota Makkah telah mengembalikan kesucian dan kemuliaan Ka'abah disamping menyelamatkannya daripada tangan orang-orang kafir Musyrikin.

Pembersihan dan Penyucian Kota Makkah

Setelah berjaya menawan kota Makkah, Rasulullah SAW bersama orang Muhajirin dan Ansar menuju ke Hajarul-aswad dan menyentuhnya. Kemudian Baginda SAW melakukan tawaf sambil tangannya memegang busur panah. 

Ketika itu Baginda SAW melihat 360 buah berhala yang berada di sekelilingnya lalu membaca firman Allah SWT yang bermaksud:-

"Telah datang kebenaran dan hancur leburlah kebatilan, sesungguhnya kebatilan itu pasti hancur lebur." (surah al-Isra' 17:81)

Kehancuran Unsur-Unsur Kebatilan

A. Penyucian Dalaman di sekitar dan di dalam Ka'abah

Rasulullah SAW yang sedang memegang anak panah ketika itu telah meruntuhkan berhala-berhala yang terdapat di sekeliling Ka'abah satu persatu. Selepas itu, Baginda SAW memanggil Uthman bin Talhah untuk membuka pintu Ka'abah dan masuk ke dalamnya. 

Di dalamnya, Baginda SAW dapat melihat banyak lukisan-lukisan, antaranya lukisan yang memaparkan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang sedang membahagikan-bahagikan panah undian (bertenung nasib - satu gambaran yang salah kerana Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS tidak pernah bertenung nasib!). Selain itu juga Baginda SAW menjumpai patung seekor burung merpati yang diperbuat daripada batang kurma.

Baginda SAW kemudiannya memusnahkan patung tersebut dengan tangannya sendiri dan mengarahkan dipadamkan semua gambar-gambar tersebut.


Situasi ini dirakamkan Allah SWT melalui firman-Nya, mafhumnya:-

"Telah datang kebenaran dan perkara yang salah tidak akan memberi kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat." (surah Saba', 40)

B. Penyucian Luaran Ka'abah

Setelah Ka'abah bersih daripada berhala-berhala yang dianggap tuhan oleh kafir Quraisy, Baginda SAW kemudiannya menghancurkan rumah-rumah yang terdapat berhala padanya (di mana keadaan ini merupakan tanda-tanda jahiliah yang telah wujud sejak sekian lama) dengan menghantar pasukan-pasukan ketenteraan.

Antara pasukan-pasukan itu ialah:-

1. Pasukan Saidina Khalid bin al-Walid RA yang memusnahkan al-Uzza

Turut disertai 30 pasukan berkuda

Ketika sampai di al-Uzza, penjaga berhala berkata:- 

"Wahai al-Uzza, jadikan dia (Khalid) gila! Wahai al-Uzza, hampakan hajatnya!" 

Saidina Khalid bin al-Walid RA dengan keberaniannya terus menewaskan penjaga berhala tersebut dengan pedangnya sendiri. Selepas itu Saidina Khalid bin al-Walid RA kembali kepada Rasulullah SAW dan menceritakan peristiwa tersebut lalu Baginda SAW bersabda:-

"Itulah dia al-Uzza".

2. Pasukan Sa'ad bin Zaid al-Ashyhali RA yang menghancurkan Manat

Manat adalah berhala yang terletak di al-Musyallal, berhampiran Qasid yang terletak di pantai Laut Merah. Disertai 20 pasukan berkuda untuk menghancurkan Manat. Ketika Manat hendak dimusnahkan, penjaganya berteriak agar berhala tersebut membinasakan pasukan berkuda yang dipimpin oleh Sa'ad bin Zaid al-Ashyhali RA

Namun dia tidak menghiraukannya lalu terus mengarahkan pasukannya menghancurkan berhala tersebut.

3. Pasukan 'Amru bin al-'Ash RA yang membinasakan Suwa'

Suwa' adalah asalnya berhala bagi kaum Nabi Nuh AS (yang sesat) di mana kemudiannya menjadi berhala sembahan bagi kabilah Hudzail al-Mudhariyah. 'Amru bin al-'Ash RA menghampiri berhala tersebut lalu membinasakannya dan sahabat-sahabat yang lain merobohkan rumah khazanah yang menempatkan berhala itu.


Berdasarkan utusan-utusan yang dikirim oleh Rasulullah SAW untuk menghancurkan berhala, kita dapat menyimpulkan bahawa tidak boleh mengekalkan tempat-tempat syirik dan taghut kerana ia merupakan lambang kekufuran dan syirik, yakni merupakan dosa yang paling besar.

Jahiliah Abad ke-21

Walaupun di abad ke-21 ini, unsur-unsur jahiliah ada yang sudah kembali meresap semula ke dalam masyarakat Islam. Masih ramai golongan umat Islam yang masih mempercayai pekara-perkara tahyul, khurafat dan syirik khususnya. 

Masih ada lagi orang Islam yang pergi ke kubur-kubur yang dikatakan keramat untuk mendapatkan "nombor ekor".

Masih ramai lagi yang meletakkan tangkal di pintu-pintu rumah (kononnya supaya syaitan dan unsur jahat tidak dapat masuk ke dalam rumah), memakai susuk bagi kelihatan cantik dan sentiasa muda serta melakukan hal-hal syirik yang lain. Inilah contoh-contoh konsep "penyembahan berhala" secara tidak langsung yang membelenggu masyarakat Islam kala ini.

Selain syirik, khurafat dan tahyul, remaja sekarang pula seakan hilang arah tujuan hidup mereka. Hiburan melampau seribu tahun macam gejala tidak sihat. 

Apa yang lebih kronik, maksiat dianggap sebagai "adat" atau "kebiasaan".

Punca

Apakah puncanya? 

Puncanya adalah apabila agama mula dilupakan dan dicampuradukkan dengan kepercayaan khurafat dan tahyul yang menyebabkan umat Islam semakin jauh dari Islam sendiri. Keadaan ini juga berlaku apabila ilmu Islam semakin menghakis daripada diri orang Islam dan suntikan racun negatif pengaruh Barat dan Zionis mula meresap sedikit demi sedikit ke dalam jiwa orang Islam tanpa disedari.

Apa buktinya?

Buktinya apabila Barat diagung-agungkan dan Islam dianggap sebagai sebuah agama yang asing, tidak menepati zaman sekarang, kononnya ganas dan kejam sehingga munculnya istilah "Islamophobia" bererti "rasa fobia atau takut kepada Islam".

Oleh sebab itu, Islam tidak membenarkan unsur-unsur syirik, tahyul dan khurafat diserapkan dalam kehidupan seorang Muslim kerana ia boleh membawa kepada kehancuran iman dan terpesongnya aqidah. Disamping itu juga, asas ilmu agama perlu diterapkan dalam setiap diri umat Islam terutamanya remaja agar mereka memahami tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan tidak terpesong daripada landasan Islam.

Jom Kembali kepada Islam!

Pembukaan kota Makkah yang bermula dengan pembersihan dan penyucian unsur-unsur syirik dan negatif telah menjadi momentum kepada perluasan dan kejayaan kuasa Islam. Inilah penyelesaian dan jalan terbaik yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat bagi mengubah masyarakat yang mengamalkan kepercayaan tahyul dan khurafat nenek moyang mereka kepada kepercayaan yang meng-Esa-kan Alah SWT (tauhid).


Berdasarkan kisah pembukaan kota Makkah ini, kita dapat mempelajari bahawa untuk mendapatkan kejayaan yang hakiki, pembersihan serta penyucian luaran dan dalaman diri perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Oleh sebab itu, untuk "membuka jalan" penyelesaian permasalahan sosial yang berlaku kini, kita perlu melakukan pembersihan dan penyucian daaman dan luaran.

Memperbaharui taubat juga merupakan proses penyucian dan pembersihan diri dan jiwa. 

Pada ayat ketiga dalam surah an-Nasr, "Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah keampunan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia amat menerima taubat." ini Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya sentiasa melakukan taubat agar:-
  • Hati akan kembali bersih.
  • Kasih sayang dengan Allah SWT akan bertaut dengan lebih mesra.
  • Dapat membuang kegoncangan fikiran dan keraguan dalam hati.
  • Dapat menyempurnakan kepercayaan kepada Allah SWT
(Rujukan: Tafsir al-Azhar)
Taubat dilakukan dengan:-
  • Meninggalkan dosa kerana takutkan Allah SWT dan merasakan keburukan melakukan dosa tersebut.
  • Menyesali segala perlakuan maksiat yang telah dilakukan dengan menganggap bahawa ia adalah maksiat.
  • Berazam untuk tidak kembali melakukan dosa walaupun dia berupaya untuk melakukannya.
Sebagai kesimpulannya, jalan penyelesaian kepada segala permasalahan sosial pada hari ini adalah dengan kembali kepada Islam

Islam itu bersifat suci dan ia menyucikan hati dan jiwa orang yang menghayati dan menjadikannya sebagai satu cara hidup. 

Oleh yang demikian, kisah pembukaan kota Makkah memberikan gambaran jelas berkenaan kepentingan pembersihan diri dan jiwa bagi memperkasakan diri serta membentuk keperibadian mulia yang akhirnya menatijahkan kejayaan di dunia dan di akhirat kelak.

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment