Daripada Tamim al-Dari, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:-
“Agama itu adalah nasihat.” Kami (para sahabat) bertanya,”Untuk siapa?” Baginda SAW bersabda,”Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin umat Islam dan seluruh alam.” (HR Muslim)
Sedar atau tidak umat Islam sudah lali dengan sesuatu yang kononnya dianggap lebih baik daripada Islam. Islam yang seharusnya menjadi ‘way of life’ kini ditinggalkan dan kita sibuk mencari jalan hidup lain yang berbeza yang kononnya lebih canggih dan lebih moden.
Sekalipun baunya sangat menyengat iman dan nurani, kita telah lali bahkan sudah tidak ambil peduli. Ia umpama racun yang menjadi ubat, umpama dadah yang terpaksa diambil untuk mengubati ketagihan. Inilah sekularisme. Sesuatu yang tidak lagi dianggap bahaya, meskipun kehadirannya telah meruntuhkan sebuah tamadun besar seperti khilafah Uthmaniyyah, merosakkan pasak bagi pembangunan umat Islam.
Mengangkat Martabat Ilmu?
Para cendekiawan Islam telah banyak menyelidik dan mengkaji tentang ideologi ini. Tapi kebanyakan kajian hanya tinggal coretan dakwat di atas kertas tanpa tindakan. Sekalipun maklum akan rosaknya ideologi ini, kita sebagai umat Islam tidak mampu untuk bertindak. Maka tidak salah jika dikatakan bahwa sekularisme sudah mejadi duri dalam daging umat Islam. Kedatangannya tidak dijemput bahkan tidak dialu-alukan, namun kini kedudukannya berada di tingkat paling atas bahkan dihias molek dan kelihatan indah.
Dari Mana Datangnya Ideologi Ini?
Sekular dalam bahasa Arabnya disebut al-‘ilmaniyyah, diambil daripada perkataan ilmu. Dari segi pengertian ia bermaksud mengangkat martabat ilmu, maka ia sama sekali tidak bercanggah dengan Islam yang sememangnya mengangkat kepentingan ilmu. Bahkan sejak awal lagi Islam menyeru kepada ilmu dengan turunnya wahyu pertama.
Namun hakikatnya, perkataan sekular yang diterjemahkan sebagai al-‘ilmaniyyah tidak lain hanyalah satu tipu helah yang berselindung di sebalik slogan ilmu.
Tokoh pemikiran Islam Profesor Dr. Yusuf al-Qardawi pernah menyebut mengenai sekularisme. Beliau menulis bahawa makna tersirat bagi pengertian sekular ialah al-ladiniyyah (tanpa agama) atau al-la’aqidah (tanpa aqidah). Naud’zubillah!
Sesungguhnya ini merupakan tipu daya yang sangat zalim. Jika dalam sebuah peperangan kita dapat melihat siapa yang membunuh dan siapa yang terbunuh, namun dalam ghazwah al-fikr (perang pemikiran) ini, kita tidak tahu siapa “pembunuhnya”. Akibat daripada peperangan ini umat Islam menjadi “mati” iman dan aqidahnya secara tanpa sedar.
Sangat menyedihkan apabila kita mengetahui ramai antara para cendikiawan Islam sendiri bertindak tanpa sedar dengan memperjuangkan sekularisme dengan balutan yang indah. Hasilnya, ramai yang tergelincir dalam jurang kesesatan.
Jika benar sekularisme mengangkat martabat ilmu, mengapa “masyarakat yang berilmu” ini semakin ketandusan akhlak dan aqidahnya? Jika pada zaman jahiliyyah anak perempuan ditanam hidup-hidup, zaman ini janin atau bayi yang tidak berdosa dibuang tanpa mengira tempat, ibarat membuang sampah yang tidak berguna.
Apakah ini kebaikan yang datang daripada sekularisme?
Asal-Muasal Sekularisme
Sekularisme tercetus ketika pihak gereja Eropah mengongkong masyarkat dan bertindak menyekat perkembangan sains dan ilmu pengetahuan kerana khuatir masyarakat akan memberontak dan menjatuhkan kekuasaan gereja apabila mereka menguasai ilmu pegetahuan. Selain mengongkong, pihak gereja juga menguasai segala tindak-tanduk pengikutnya dengan meletakkan keputusan-keputusan penting di tangan pihak gereja dan mengaut keuntungan daripada penganut-penganut agama mereka dengan cara yang salah.
Masyarakat Eropah berasa tertekan dan tertindas dengan apa yang dilakukan oleh para pendeta. Bagi mengatasi kezaliman tersebut, maka terjadilah pemisahan antara agama (Kristian) dan kehidupan kerana doktrin gereja tidak dapat menerima ilmu pengetahuan dan sains sebagai sebahagian daripada cara hidup mereka. Para pejuang sekular akhirnya menyebarkan fahaman sekular ini agar masyarakat keluar dari kepompong gereja yang begitu mengikat serta menindas. Mereka merasakan bahawa jika mereka terus-menerus berada di bawah kekuasaan gereja maka kemajuan tidak dapat dicapai.
Setelah itu tercetuslah ideologi sekularisme, iaitu sebuah fahaman yang menganggap bahawa urusan keagamaan, ketuhanan atau gereja tidak harus dicampur dengan urusan negara, politik dan pentadbiran. Ringkasnya, ia adalah fahaman yang memisahkan antara urusan agama dan kehidupan dunia.
Seterusya, penguasa Eropah berusaha pula menyebarkan ideologi ini ke Timur dalam misi penjajahan negara-negara tersebut. Pada mulanya, masyarakat Timur yang telah menerima Islam menolak fahaman ini. Namun para mubaligh Kristian yang dihantar untuk menyebarkan misi ini tidak pernah berputus asa, malah mereka berusaha mempelajari adat dan kebiasaan masyarakat Timur sehinggalah mereka berjaya menguasai hati penduduk-penduduk di Tanah Melayu khususnya.
Hasilnya ramailah pedagang yang hilang kejujuran kerana mementingkan keuntungan, para pendidik yang hilang sifat kasih sayang, akhlak yang seharusnya menjadi batas antara kebaikan dan keburukan telah dilupakan, hingga akhirnya kerajaan Islam jatuh satu-persatu setelah termakan pujuk rayu para penjajah.
Ada Di Mana-Mana
Buka mata lebar-lebar dan saksilah kini sekularisme berada di mana-mana. Dalam undang-undang, hukum Islam kini hanya diguna pakai untuk skop yang kecil seperti hal nikah kahwin dan tuntutan cerai. Tiada hukum jinayat atau hudud, yang sepatutnya menjadi teras dalam undang-undang sebuah negara Islam. Lihat saja bagaimana persekularan dari Barat. Negara yang telah melahirkan ratusan ulama itu mengalami kemunduran setelah memisahkan urusan negara dan agama. Maka tidak hairanlah rakyat mereka bangkit memberontak.
Bukankah umat Islam ialah umat terbaik?
Setidur-tidurnya singa ia akan bangkit mengaum ketika lapar. Keadaan umat Islam kini ibarat singa kelaparan yang bangkit mencari makan. Kita telah lama haus dan lapar dengan Islam, kini rasa lapar tersebut telah menyedarkan kita daripada lena yang panjang.
Dalam sistem pendidikan juga banyak berlaku kerosakan akibat daripada anasir-anasir yang berbau sekular. Misalnya percampuran antara lelaki dan perempuan (ikhtilat) di peringkat institusi pengajian.
Dalam media massa pula, penyebaran sekularisme sudah tidak dapat dibendung lagi. Media yang sepatutnya menjadi medium mendidik masyarakat kini tanpa sedar telah menjadi agen penyebaran virus kerosakan akhlak dan moral.
Masyarakat menerima bulat-bulat apa yang disampaikan media dan tercetuslah pelbagai gejala sosial yang diinspirasikan oleh apa yang ditonton dan didengar. Maka tidak hairanlah, anak-anak zaman kini sangat cepat belajar mengenai hal-hal yang berhubungan dengan percintaan, hubungan lelaki dan wanita bahkan sudah hilang perasaan malu dan lain-lain sifat mulia.
Kembalilah Umat Islam Kepada Islam
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Wahai orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagimu.” (surah al-Baqarah 2:208)
Sahabat-sahabat yang saya hormati sekalian,
Islam sama sekali tidak membenarkan penyebaran fahaman sekularisme ini apatah lagi sehingga memisahkan agama dan kehidupan. Satu salah faham yang besar apabila ada umat Islam yang memahami bahawa Islam hanya menguruskan urusan aqidah dan sekularisme pula mengatur urusan-urusan hidup. Pemisahan antara agama dan kehidupan tidak dapat diterima oleh Islam kerana Islam merupakan sebuah agama yang sempurna dan telah mengatur semua hal berkenaan kehidupan. Dalamnya telah terkandung aqidah dan syariat sekaligus. Allah SWT telah menegaskan dalam al-Quran bahawa agama yang diredhai oleh-Nya hanyalah Islam. Selamilah firman-Nya yang bermaksud:-
“Sesungguhnya din (agama) yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam.” (surah Ali ‘Imran 3:19)
Memetik kata-kata daripada al-Marhum Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir:-
“Sedarlah bahawa tidak akan berlaku pertembungan antara yang hak dengan hak tetapi pertembungan hanya akan berlaku antara hak dan batil.”
Maka umat Islam perlulah mengikut yang hak (kebenaran) dengan menurut segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Untuk mengetahui yang mana hak dan batil menurut pandangan syarak, maka al-Quran dan Sunnahlah sumber primer sebagai panduan. Tidak ada jalan selamat di akhirat melainkan menerima seratus peratus ajaran Islam.
Melihat kebangkitan umat Islam saat ini, kita haruslah optimis bahawa sekularisme telah menghampiri “kematiannya” dan juga “isme-isme” lain yang tidak selari dengan Islam. Waktu itu kita akan mengorak langkah dengan penuh yakin dan bangga bahawa Islam agamaku, al-Quran pedomanku, Muhammad SAW teladanku, syahid cita-citaku dan Allah SWT tujuanku. Allahuakbar!
Wallahua'lam.
Blogger Comment
Facebook Comment