Menjernihkan Silaturahim


Pergaulan antara kita dengan orang di sekelilng sudah kurang kemesraan dan sering berlaku ketegangan. Tiada lagi perasaan kasih sayang, toleransi, semangat setia kawan, kerjasama berpasukan dan bersatu padu. Percakaran berlaku di rumah, pejabat, kejiranan, surau malah di jalan raya juga. Sikap toleransi sudah hilang dan tidak menjadi pegangan masyarakat masa kini.

Memelihara hubungan silaturahim adalah satu kewajipan kepada umat Islam. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RH bermaksud:-

“Allah akan selalu menolong hamba-Nya selalu menolong saudaranya.”

Oleh sebab itu, jika kita mahukan pertolongan Allah SWT, kita perlu memelihara hubungan dengan manusia dan hidup tolong-menolong antara satu sama lain.

Antara bentuk taqarrub yang paling berharga, ketaatan yang paling agung, memiliki kedudukan yang paling tinggi, mendatangkan manfaat yang besar dan mancakupi dunia dan akhirat adalah silaturahim.

Untuk mengenali saudara kita supaya kemesraan dan kefahaman terpelihara adalah seperti yang berikut:-

1. Selalu Ingat Kebaikan Orang

Orang di sekeliling kita ini merupakan sebahagian daripada hidup kita. Merekalah yang menjadikan hidup kita penuh dengan warna-warni, suka-duka, gembira ria dan sebagainya. Kita tidak boleh hidup sendirian tanpa rakan, jiran, jemaah, pasangan atau sesiapa sahaja yang kita perlukan.

Ada orang yang kita umpat, gosip, kutuk dan keji tetapi hakikatnya merekalah orang yang penting dalam hidup kita.

Supaya kita menyukai seseorang dan mengelakkan bersangka buruk, kita haruslah selalu melihat kebaikan yang telah mereka lakukan terhadap kita. Sebagai contoh, jika di pejabat kita suka mengumpat dan mengutuk ketua kita. Cuba bayangkan kebaikannya kepada kita seperti meluluskan cuti, memberikan sokongan naik pangkat, kenaikan gaji, tempat rujukan dan sebagainya. Melihat kebaikan orang boleh melupakan kita kepada kelemahan mereka. 

Kita akan lebih menghargai kehadiran mereka dalam hidup kita.

2. Hormati Perbezaan

Manusia dijadikan Allah SWT sungguh unik dan setiap individu berbeza. Perbezaan dari segi fizikal, intelektual, emosional dan juga spritual. Kita sering beranggapan bahawa semua orang itu sama maka kita mahu orang mengikut cara kita. Hakikatnya perbezaan itulah yang membentuk kerjasama dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.

Cuba lihat jari-jemari kita, tidak ada yang sama panjang. Tetapi apabila kita hendak menyuap, jari-jari itu akan sokong-menyokong sehingga membentuk satu gerakan bersama. Jika kurang satu sahaja jari, kita tidak mampu lagi untuk mengenggam dengan sempurna.

Begitulah perumpamaan hidup bermasyarakat. Kita harus menghormati keunikan dan perbezaan tersebut berfungsi untuk saling menampung kekurangan antara kita.

3. Sampaikan Kebaikan

Tujuan berkomunikasi adalah untuk menyampaikan dan menerima maklumat. Teknik yang membolehkan kita mengekalkan keharmonian silaturahim adalah dengan cara menyampaikan perkara-perkara yang baik sahaja. Jika terdapat maklumat yang tidak baik, kita harus elak atau tidak diperpanjangkan. Lebih-lebih lagi jika perkara tersebut berkenaan dengan keaiban seseorang. Janganlah kita dedahkan keaiban orang.

Sabda Rasululah SAW yang bermaksud:-

“Seorang hamba yang menutup aib seorang hamba yang lain di dunia, nescaya Allah tutup aibnya di hari kiamat kelak.” (Riwayat Imam Muslim RH)

Penyebaran dan penyampaian maklumat yang positif akan menghasilkan tenaga berbaik. Suasana akan menjadi lebih aman, ceria dan bahagia.

4. Lihat Kelebihan Orang

Setiap orang memiliki kelebihan sendiri yang tidak ada pada orang lain. Hidup kita sebagai seorang Muslim adalah untuk saling menampung kekurangan Muslim yang lain, bukannya bertanding untuk menunjukkan kehebatan masing-masing. Sebenarnya kita saling memerlukan antara satu sama lain.

Kebijaksanaan manusia ada batasnya. Seorang pakar perubatan hebat apabila membantu orang sakit tetapi jika paip di rumahnya rosak, dia memerlukan seorang tukang paip. Ketika itu, jelaslah kepakarannya tidak membawa erti apabila berhadapan dengan paip yang rosak, dan tukang paiplah yang memiliki kelebihan dan kemahiran dalam bidangnya.

Kita seharusnya saling membantu dalam membuat kebaikan. Kekuatan Islam dapat dibina sekiranya semua umat Islam mementingkan saudaranya. Jika kita terus berpecah belah dalam masyarakat, ia akan memberikan peluang dan ruang kepada musuh untuk menguasai kita. Bak kata pepatah, “Bersatu teguh, bercerai roboh”

Marilah kita bina kekuatan ummah dengan bersatu padu seperti kata pepatah:-

“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.”

Wallahua'lam.