Permudahkan Bukan Menyusahkan

“Islam itu mudah”

Slogan ini memberi erti bahawa Islam ialah agama yang sesuai dengan fitrah manusia. Apabila sesuai dengan fitrah manusia, maka segala hukum Islam berpaksikan kepada matlamat iaitu menolak kesukaran dan memberi kemudahan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:-

“Maka dengan sesungguhnya kamu dibangkitkan untuk memberi kemudahan dan kamu tidak dibangkitkan dalam keadaan yang menyusahkan.” (HR al-Bukhari No. 6128)

Salah satu objektif penting hukum-hukum syariat Islam adalah untuk menolak kesukaran dan memudahkan. Istilah yang digunakan dalam bahasa Arab ialah raf’u al-haraj wa al-taysir. Matlamat atau maqasid ini menjadi titik perbezaan antara syariat Islam dengan syariat-syariat terdahulu.


Contoh yang paling mudah; jika anda ingin bertaubat, anda perlu bertaubat bersungguh-sungguh dan ikhlas. Namun berbeza dengan syariat umat terdahulu sebagaimana umat Nabi Musa AS di mana syariat ketika itu memerintahkan mereka membunuh diri jika hendak bertaubat dari dosa dan maksiat.

Maqasid Raf’u al-Haraj wa al-Taysir

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 54 yang bermaksud:-

“Maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan diri kamu dan bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima Taubat), lagi Maha Mengasihani.”

Istilah raf’u al-haraj, juga disebut dengan lafaz daf’u al-haraj (menolak atau menangkis kesukaran) atau nayfu al-haraj (menafikan kesukaran). Kesemuanya membawa maksud menghilangkan kesukaran, kesusahan dan kepayahan dalam taklif sama ada dengan cara:-

1. Syarak menghilangkan terus taklif tersebut (tidak lagi diwajibkan).
2. Syarak meringankannya.
3. Syarak memberikan pilihan sama ada melakukannya atau meninggalkannya.
4. Syarak menyediakan jalan keluar daripada kesusahan tersebut.

Manakala al-taysir pula bermaksud memberikan keringanan kepada mukalaf.

Kedua-dua istilah raf’u al-haraj dan al-taysir mengarah kepada satu natijah iaitu memberi kemudahan kepada mukalaf dalam pensyariatan hukum-hukum Islam.

Al-Shawkani dalam tafsirnya mentafsirkan ayat yang menjadikan dalil prinsip taysir dan raf’u a-haraj iaitu firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (surah al-Baqarah, 2:185)

Kata beliau:-

“Pada (ayat ini) menunjukkan memberi kemudahan adalah satu maqsad daripada maqasid syariah (salah satu matlamat daripada beberapa matlamat lain) dan antara kehendak Allah SWT dalam urusan agama-Nya.” (Fath al-Qadr, jilid 1, halaman 239)

Inilah maqasid yang ingin dicapai dalam syariat Islam.

Dengan sebab itu, selagi sesuatu syariat itu tidak memberikan kesukaran dan kesusahan yang melampaui batas, maka seorang mukalaf tidak diberikan keizinan untuk meninggalkannya sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya.

Kesukaran Yang Memberi Keringanan?

Dalam pengajian kaedah fiqah, terdapat satu kaedah terkenal iaitu, “Kesusahan boleh membawa kepada keringanan (dalam hukum)”

Apa maksud kaedah ini?

Apakah semua kesusahan membawa kepada keringanan?

Perlu difahami bahawa taklif yang diwajibkan oleh Allah SWT pasti ada sedikit kesukaran. Sebab itu ia dinamakan taklif dengan makna bebanan. Namun bebanan atau taklif yang diwajibkan oleh Allah SWT mampu ditanggung oleh manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Allah tidak memberati seseorang melainkan dengan apa yang terdaya olehnya.” (surah al-Baqarah, 2:286)

Dalam konteks ingin merealisasikan maqasid “menolak mesukaran dan memudahkan”, syariat telah menetapkan bahawa bukan semua kesukaran boleh membawa kepada keringanan hukum. Ada kesukaran yang tetap perlu dilalui oleh seseorang mukalaf.

Kesukaran yang membawa keringanan mestilah kesukaran yang tidak mampu ditanggung oleh manusia atau sekalipun jika ia mampu ditanggung namun kesukaran itu terkeluar daripada adat kebiasaan kehidupan dan boleh menghapuskan kemaslahatan dunia dan akhirat.

Sebagai contoh mudah, sentiasa qiam pada waktu malam tanpa tidur atau puasa berterusan setiap hari. Ini merupakan sesuatu yang tidak mampu ditanggung oleh tenaga manusia. Maka syarak melarang amalan seperti ini.

Namun begitu, kesukaran yang berbentuk “mesti ada” atau “boleh ditanggung” tidak boleh membawa keringanan kepada mukalaf. Sebagai contoh, kewajipan mencari rezeki, menunaikan zakat, memberi sedekah dan lain-lain. Contoh-contoh tersebut walaupun dari segi zahir kelihatan ada kesukarannya, namun ia masih berada di bawah paras “boleh ditanggung” atau “mesti ada” dalam melaksanakannya. Lumrah orang yang ingin memakan sesuap rezeki pasti terpaksa didahului dengan kesukaran mencari rezeki tersebut. 

Kalau tidak bersusah payah berusaha mencari rezeki, mana nak dapat sesuap nasi?


Dalam urusan ibadat, hukum menunaikan solat lima waktu sehari semalam boleh ditanggung oleh manusia.

Selagi mana seseorang itu mempunyai akal yang waras, solat tidak boleh ditinggalkan. Namun. Dalam sesetengah solat yang asalnya wajib berdiri, dibolehkan solat secara duduk. Kalau tidak mampu juga, solatlah secara berbaring. Bahkan sekiranya tidak mampu juga, solatlah dengan isyarat mata. Ini jelas membuktikan bahawa maqasid syari’ah menghendaki kemudahan bagi seseorang mukalaf.

Kemudahan vs Kesukaran

Allah SWT berfirman dalam surah al-Inshirah ayat 5-6 yang bermaksud:-

“Oleh sebab itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai dengan kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran itu disertai dengan kemudahan.”

Ibn Kathir membawa riwayat daripada Ibn Jarir bahawa Rasulullah SAW pernah keluar dalam keadaan wajah yang ceria dan bersabda yang bermaksud:-

“Kesukaran tidak sesekali akan mengalahkan dua kemudahan.” (Tafsir Ibn Kathir, jilid 4, halaman 677)

Ada yang berpandangan bahawa kata-kata ini daripada Ibn Abbas RA atau Ibn Mas’ud RA. Menariknya di sini, Allah SWT menyebut dua kali kalimah ‘usr (kesukaran) dan yusr (kemudahan) dalam surah al-Inshirah ayat 5 hingga 6 di atas.

Berdasarkan ilmu bahasa Arab, perkataan ‘usr dimulai dengan alif lam yang membawa maksud ma’rifah. Mengikut kaedah ilmu sastera Arab, jika Allah SWT telah menyebut dalam ayat ke-5 perkataan al-‘usr (dengan lafaz ma’rifah), kemudian diulang al-‘usr pada ayat ke-6, maka al-‘usr yang kedua adalah sama dengan al-‘usr yang pertama.

Menunjukkan bahawa kesukaran hanyalah satu dan sedikit.

Berbeza pula dengan perkataan yusr (kemudahan) di mana Allah SWT menyebut pada ayat ke-5 dan 6 dengan sighah nakirah. Biasanya mengikut kaedah bahasa Arab, jika disebut dalam bentuk nakirah, maka yusr (kemudahan) yang kedua bukanlah yusr yang pertama.


Ertinya, Allah SWT telah menunjukkan kepada kita banyaknya kemudahan dalam urusan syariat Allah SWT dan Allah SWT tidak menginginkan kesusahan serta kesukaran.

Maka bagi seorang Islam, tiada lagi alasan untuk meninggalkan hukum dan perintah Allah SWT kerana semua perintah Allah SWT berasaskan kepada maqasid memberi kemudahan dan menolak kesukaran.

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment