Menjadi Kismis Sebelum Anggur

Kisah yang dikongsikan ini sering saya dengar semasa menuntut di luar negara dahulu. Ternyata ia berasal dari kitab al-Ashbah wa al-Naza’ir karangan Ibn Nujaim al-Hanafi. Lalu dikisahkan kembali oleh Syeikh Zahid al-Kauthari dalam kitabnya Husn al-Taqadhi fi Sirah Abi Yusuf al-Qadhi.

Kisah ini berkenaan dengan Imam Ya’qub bin Ibrahim al-Ansari RH yang mashyur dengan panggilan Abu Yusuf (wafat 182 Hijrah). Beliau adalah murid kesayangan Imam Abu Hanifah RH. Beliau sangat bijak, hafalannya kuat dan banyak ilmu. Antara kebanyakan murid Imam Abu Hanifah RH yang lain, Abu Yusuf sering terkedepan dalam semua perkara,


Pada suatu hari, Abu Yusuf merasai ilmu yang dimilikinya sudah mencukupi. Sudah tiba saat untuknya menjadi tokoh ulama’ yang mampu menjawab semua permasalahan umat. Beliau lalu meninggalkan majlis ilmu Imam Abu Hanifah RH dan membuka majlis ilmunya sendiri. Dalam majlis ilmu itu, Abu Yusuf mempersilakan setiap orang untuk menimba ilmu atau mengajukan soalan kepadanya.

Mengetahui perkara ini, Imam Abu Hanifah RH berniat untuk menyedarkan muridnya itu. Diam-diam, beliau mengutuskan seseorang ke majlis Abu Yusuf dengan beberapa soalan untuk mengujinya.

Orang itu berkata kepada Abu Yusuf:-

“Saya menyerahkan sepotong kain ini kepada seorang penjahit untuk dijadikan baju. Apabila saya tanyakan, penjahit itu mengingkari pernah menerima kain daripada saya. Namun keesokannya, ia memberikan saya kain itu yang dijahit menjadi baju. Soalan saya, apakah ia berhak menerima upah?”

Abu Yusuf menjawab:-

“Ia berhak menerima upah.”

Orang itu berkata:-

“Jawapanmu salah.”

Abu Yusuf mengubah jawapannya:-

“Ia tidak berhak menerima upah.”

Orang itu kembali berkata:-

“Jawapanmu salah.”

Abu Yusuf menjadi sangat bingung.

Orang yang dilatih oleh Imam Abu Hanifah RH ini lalu berkata:-

“Jawapan yang benar adalah, jika baju itu dijahit sebelum ia mengingkari menerima kain, maka ia berhak menerima upah. Namun jika kain itu dijahit setelah ia mengingkari menerima kain, maka ia tidak berhak.”

Orang ini terus mengajukan beberapa soalan lain. Setiap kali Abu Yusuf menjawab, dia menyatakan bahawa jawapan itu salah lalu mengemukakan jawapan yang tepat.

Diskusi tersebut berjaya menyedarkan Abu Yusuf akan kejahilan dirinya. Dirinya ternyata belum layak menjadi seorang ulama, malah masih banyak yang perlu belajar lagi daripada para ulama’. Akhirnya, beliau memutuskan untuk kembali ke majlis ilmu Imam Abu Hanifah RH untuk melanjutkan pengajiannya.

Apabila melihat Abu Yusuf, Imam Abu Hanifah RH tersenyum dan berkata:-

“Engkau telah menjadi kismis sebelum menjadi anggur.”

Hukum Kesempurnaan

Kisah ini memberikan saya inspirasi. Seringkali kita melihat diri kita begitu besar dan matang, padahal kenyataannya masih begitu kecil dan mentah.

Sebuah kesempurnaan dan kematangan tidak pernah datang begitu sahaja. Ia merupakan hasil daripada suatu proses. Proses ini terdiri daripada beberapa tahap. Antara satu tahap ke tahap yang lain biasanya memerlukan masa yang cukup panjang.

Hukum ini berlakunya untuk semua makhluk hidup. Seekor ulat menghabiskan masa berhari-hari di dalam kepompong sebelum menjadi rama-rama yang cantik. Setitis air mani menghabiskan masa berbulan-bulan di dalam rahim sebelum menjadi bayi yang comel. Bahkan sebiji anggur yang sebelumnya mentah, lalu masak, kemudian kering dan menjadi kismis.

Sesiapa yang tidak sabar menjalani semua proses ini, maka proses kesempurnaan itu akan terbantut. Lalu ia tidak akan pernah sempurna untuk selama-lamanya.

Melatih Diri

Hukum kesempurnaan ini juga berlaku untuk semua disiplin ilmu atau kerjaya yang kita pilih. Seorang doktor memerlukan masa yang panjang sebelum menjadi “pakar” dalam bidang perubatan. Begitu juga seorang jurutera, penulis, pelakon apatah lagi ulama Islam yang menjadi rujukan umat.

Mencapai darjat “pakar” dalam sesuatu bidang menuntut kesabaran dan ketekunan. Setiap beginner (orang yang baru mula belajar) mesti selalu melatih diri dengan tekun sehingga tertanam dalam jiwanya kerangka pemikiran dan analisis seorang pakar dalam bidangnya. Setakat membicara teori-teori keilmuan tanpa banyak berlatih tidak akan membentuk sifat-sifat itu dalam diri.

Seorang pemikir masa ini, Howard Gardner berkata dalam 5 Minds for The Future:-

“Disiplin formal saya adalah psikologi. Dan diperlukan masa satu dekad agar saya dapat berfikir seperti seorang pakar psikologi.”

Dalam bidang hadith juga seperti itu. Anda boleh memiliki gelaran master atau doktor dalam bidang hadith, namun ia tidak secara automatik menjadikan anda seorang muhaddith apalagi seorang hafiz. Kepakaran dalam hadith hanya dapat diperolehi selepas membiasakan diri menghafal hadith berserta perawinya, mentakhrij, menyingkap ‘illat, juga bermuzakarah dengan pakar hadith semasa.

Dalam ilmu fiqah pula, anda tidak akan menjadi faqih hanya dengan menuntut di fakulti syariah di mana-mana universiti dunia. Sebaliknya, kepakaran dalam fiqah hanya dapat dicapai setelah menghabiskan masa yang panjang dalam mengkaji usul dan furuk, mendalami metode fuqaha’ dalam analisis dalil, menyingkap ‘illat hukum, juga menguasai arah maqasid syariat.

Apa pun bidangnya ilmunya, coraknya tetap sama, iaitu diperlukan latihan dan ketekunan yang berpanjangan untuk tiba ke tingkat kepakaran yang sempurna.

Bagai Pokok Yang Tidak Ditanam

Jadi, jalan menuju kepakaran sangat panjang. Sesiapa yang menjalaninya dengan sabar, suatu hari akan tampil sebagai seorang pakar yang disegani. Dan pendapatnya dalam disiplin itu diakui sebagi pandangan yang berwibawa.

Sebaliknya, sesiapa yang tidak menjalaninya, lalu mendakwa menajdi pakar sebelum masanya, makanya ia telah kering sebelum matang, menjadi kismis sebelum menjadi anggur. Oleh sebab itu, ucapan dan pendapatnya tidak mengandungi nilai ilmiah sama sekali.

Dalam kaedah fiqah ada disebut:-

“Sesiapa yang ingin memiliki sesuatu sebelum masanya, maka ia diharamkan daripada memiliki sesuatu itu.”

Orag seperti ini ibarat pokok yang belum ditanam dengan sempurna, maka buah yang keluar daripadanya pun tidak berkualiti. Berkata Syeikh Ibn ‘Ataillah al-Sakandari dalam al-Hikam:-

“Tanamlah dirimu di tanah kehinaan (khumul). Sebatang pokok yang tidak ditanam dengan sempurna, tidak akan menghasilkan buah yang sempurna.”

“Tanah kehinaan” di sini maknanya adalah tekun menuntut ilmu, melaksanakan arahan guru dan menerima tegurannya. Ini sebuah kehinaan, namun akan membawa kebaikan pada masa hadapan.

Sebelum merosakkan orang lain, sikap “ingin cepat besar” ini akan merosakkan dirinya sendiri. Ia akan disibukkan dengan pelbagai perkara sehingga tidak sempat lagi menimba ilmu. Dan perasaan takut dilihat bodoh dan khuatir ditinggalkan pengikut akan menjauhkan dirinya daripada jalan peningkatan ilmu.

Imam al-Syafi’e berkata:-

“Apabila orang yang baru belajar telah maju ke hadapan (yakni hendak menjadi tokoh besar), maka terluput ilmu yang sangat banyak.” (Dinukil oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari)

Tidak Menonjolkan Diri

Para ulama’ terdahulu tidak pernah menonjolkan diri, apalagi mendakwa sesuatu yang bukan miliknya. Sebaliknya, mereka terus menutup diri sehingga tokoh-tokoh yang lebih besar memerintahkannya untuk maju ke hadapan untuk kebaikan masyarakat.

Dalam kitab al-Faqih wa al-Mutafaqqih, al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan ucapan Imam Malik RH:-

“Aku tidak berfatwa dalam urusan agama sebelum bertanya kepada orang yang lebih alim daripadaku, “Layakkah aku berfatwa?” Aku bertanya kepada Rabi’ah dan Yahya bin Sa’id (kedua-duanya ulama terbesar di Madinah). Mereka memerintahkan aku untuk berfatwa.”

Khalaf bin Umar lalu bertanya:-

“Wahai Abu Abdillah! Andai mereka tidak membenarkan berfatwa, bagaimana sikapmu?”

Imam Malik RH menjawab:-

“Maka aku tidak akan berfatwa. Tidak pautu bagi seseorang merasakan dirinya layak berfatwa sebelum ia bertanya kepada orang yang lebih alim daripadanya.”

Semoga Allah SWT menghidupkan akhlak ini dalam jiwa kita, menjauhkan hati kita daripada sifat-sifat tercela dan menempatkan kita pada darjat yang tinggi di dunia dan akhirat. Aamiiin ya-rabbal ’alamiiin.

Wallahua'lam.