Kembara Atas Maksud Agama

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

Oleh sebab itu, bukankan ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya mereka menjadi orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” (surah al-Hajj 22:46)

Rata-rata kitab tafsir menyatakan bahwa yang ditujukan gesaannya di sini adalah kepada kaum Musyrikin Makkah atau sesiapa sahaja yang menentang Rasulullah SAW. Ini sesuai dengan kandungan ayat-ayat sebelumnya yang menceritakan tentang kisah kaum-kaum yang terdahulu.

Imam al-Syawkani contohnya dalam tafsir Fath al-Qadir, beliau memberikan komentar berkenaan ayat ini bahawa tujuan gesaan melakukan kembara atau bertebaran di muka bumi dibuat supaya melalui safar (kembara) ini hati mereka akan hidup dan berfungsi yang membolehkan mereka memahami dan mendengar kebenaran.

Bagaimana Hati Dibentuk?

Marilah kita renung dengan sedikit mendalam. Andainya untuk orang yang hatinya keras menentang Rasulullah SAW pun diminta untuk melakukan kembara di atas muka bumi, yang mana melalui kembara ini, manfaat yang paling besar adalah dapat menghidupkan hati mereka untuk menerima kebenaran, apatah lagi jika kembara itu dilakukan oleh kita umat Rasulullah SAW yang sememangnya beriman. Sudah pasti kembara itu akan memberikan kesan yang lebih mendalam dan besar kepada hati kita.

Hati kita adalah satu radar yang akan mencerap apa sahaja keadaan di sekitarnya. Malah hati kita ini seumpama kolam yang sumber airnya diperoleh melalui empat saluran air. Jika elok sumber airnya, maka hasil air kolam tadi akan juga menjadi elok, jernih dan bermanfaat.

Empat saluran yang akan mencorakkan hati itu ialah mata, telinga, lidah dan minda. Apa yang kita lihat, kita dengar, kita cakap dan fikirkan, maka itulah yang akan membentuk hati kita. Oleh sebab itu, cara paling mudah untuk menjadikan keempat-empat saluran tadi menjadi murni dan jernih, safar atas maksud agama adalah satu cara yang paling ampuh.

Para Nabi dan Syuhada’ Pun Iri Hati

Al-Baihaqi dan al-Naqasi telah mentakhrijkan dalam Mu’jamnya dan Ibn al-Najjar daripada Waqid bin Salamah daripada Yazid al-Riqasyi daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:-

“Mahukah aku khabarkan kepada kalian akan kaum-kaum yang mana mereka itu bukanlah para nabi dan bukan pula syuhada, (walhal) pada hari kiamat (nanti) pada nabi dan syuhada berasa ghibtah (iri hati) terhadap mereka lantaran manazil (status-status) mereka (begitu dekat) dengan Allah, di atas mimbar-mimbar daripada cahaya mereka dikenali.”

Lalu mereka (para sahabat) bertanya, “Siapakah mereka wahai Rasulullah SAW?”

Baginda menjawab, “Mereka itu ialah orang yang menjadikan hamba Allah dicintai oleh Allah SWT, dan menjadikan Allah SWT dicintai oleh hamba-Nya. Dan mereka itu berjalan kaki (bertebaran) di atas (permukaan) bumi dalam hal keadaan memberikan nasihat.”

Maka aku berkata, “Ini menjadikan Allah SWT dicintai oleh hamba-Nya, bagaimanakah mereka menjadikan hamba Allah SWT dincintai oleh Allah SWT?”

Jawab Baginda Rasulullah SAW, “Mereka itu menyuruh hamba-hamba Allah dengan apa yang Allah SWT suka dan mereka mencegah hamba-hamba Allah SWT daripada apa yang Allah SWT benci. Maka apabila hamba Allah SWT itu mentaati mereka lalu Allah Azzawajalla mencintai mereka itu (yakni hamba-hamba Allah tadi).”

Oleh sebab itu, marilah kita bertebaran di atas muka bumi Allah SWT ini atas maksud agama, atas maksud menjadikan hamba-hamba Allah SWT semakin mencintai Allah SWT dan atas maksud agar hamba-hamba Allah SWT semakin dicintai oleh Allah SWT!

Ada yang sudi?

Wallahua'lam.