Keajaiban Jari-Jemari

Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Apakah manusia mengira Kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang-temulang? Bahkan sebenarnya Kami berkuasa untuk menyusun (kembali) jari-jemari dengan sempurna.” (surah al-Qiyamah 75:3-4)


Diriwayatkan bahawa ayat-ayat ini diturunkan apabila dua orang yang bernama ‘Adi bin Abi Rabi’ah dan Akhnasy bin Syuraiq datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya mengenai hari kiamat dan keadaan manusia pada waktu tersebut. Kemudian Rasulullah SAW menceritakan apa yang akan berlaku semasa hari kiamat kelak.

Kemudian kata ‘Adi, “Apakah mungkin hai Muhammad, Allah sanggup mengumpulkan kembali tulang-temulang manusia yang telah hancur?”. Maka turunlah ayat keempat surah al-Qiyamah ini untuk menegaskan bahawa Allah SWT lebih berkuasa daripada itu bahkan tulang jari-jemari yang begitu halus dan kompleks juga mampu disusun kembali.

Pada saat al-Quran mengatakan bahawa mudah bagi Allah SWT untuk menghidupkan kembali manusia setelah kematiannya, kenyataan tentang jari-jemari manusia secara khusus disebut. Cuba lihat jari-jemari pada kedua-dua tangan kita. Perhatikan di depan dan belakang. Apakah keistimewaan jari-jemari ini sehingga Allah SWT menyebutnya di dalam al-Quran?

Anatomi Jari-Jemari

Apabila kita menkaji struktur anatomi tangan, kita akan dapati ia sebenarnya satu struktur yang sangat kompleks, berliku-liku dan juga sangat menarik. Meskipun tangan merupakan sebahagian struktur tubuh yang agak kecil, namun ia sebenarnya dibentuk oleh 27 tulang daripada pergelangan tangan sehingga hujung jari. Ia dikategorikan sebagai tulang karpal yang membentuk pergelangan tangan, metakarpal yang membentuk tangan dan tulang falanks yang membentuk jari-jemari.

Setiap jari mempunyai tiga tulang falanks melainkan ibu jari yang mempunyai dua tulang falanks sahaja. Ia dibahagikan kepada tiga barisan iaitu barisan pertama (proximal phalanx), barisan pertengahan (middle phalanx) dan barisan hujung (distal phalanx). Setiap barisan disambung oleh sendi-sendi kecil yan begitu kompleks dan unik.

Setiap sendi disokong oleh ligamen-ligamen untuk memastikan kestabilannya dalam melakukan kerja. Menariknya, tidak ada struktur lain dalam badan kita yang mana tulang-tulang kecil disambung dan dibenarkan bergerak bebas ke hadapan dan ke belakang, ke kiri dan ke kanan. Ia hanya terdapat pada jari-jemari sahaja.

Urat-urat saraf yang terdapat pada tangan juga begitu kompleks dan unik. Urat saraf itulah yang berfungsi untuk menghantar deria rangsangan ke otak untuk ditafsirkan. Maka sebab itulah kita menggunakan tangan untuk merasai sama ada sesuatu objek itu panas atau sejuk dan meraba-raba sesuatu objek untuk mengetahui bentuknya ketika lampu tiba-tiba terpadam.

Kulit yang menyelaputi jari-jemari juga begitu unik. Ia berbeza antara kulit pada tapak tangan dan belakang tapak tangan. Kulit pada belakang tapak tangan nipis, manakala kulit yang menyelaputi tapak tangan lebih tebal dan kenyal. Ia dicipta khas untuk memegang sesuatu objek, membuat kerja kasar dan juga melakukan apa-apa sahaja fungsi.

Fungsi Jari-Jemari

Antara nikmat Allah SWT yang begitu besar kepada kita ialah tangan. Setiap tangan lazimnya mempunyai lima jari dan ia memiliki fungsi yang tidak terkira banyaknya. Dengan jari inilah kita mengambil dan meletakkan sesuatu barang, menggenggam, memukul, membuat kerja, menulis, menggunakan komputer dan sebagainya. Seorang pakar bedah juga menggunakan nikmat jari-jemari yang ada padanya untuk membuat pembedahan dengan cekap dan berkesan.

Cuba bayangkan sekiranya jari kita cedera dihiris pisau tajam, melecur terkena api atau sakit, pasti kita dapat menilai betapa besarnya anugerah jari yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Bahkan jika satu jari sahaja yang cedera, jari-jari lain juga seolah-olah cedera kerana keseluruhan tangan sukar untuk berfungsi.

Jari-jemari yang Allah SWT kurniakan kepada kita sebenarnya boleh mempengaruhi destinasi kita di akhirat sama ada ke syurga atau ke neraka, nadu’zubillah.

Seorang penulis boleh menggunakan jari mereka untuk menulis karya-karya islamik yang berunsurkan dakwah agar ia dapat dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Dengan jari-jemari juga kita boleh melaksanakan pelbagai kebaikan dan ibadah kepada Allah SWT seperti menghitung kalimah zikir dan juga meluruskan jari telunjuk apabila mengucapkan kalimah syahadah dalam solat.

Namun, dengan jari-jemari ini juga seseorang boleh melakukan banyak keburukan. Mereka yang tidak beretika sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah dan perkara-perkara buruk tentang orang lain dalam blog atau website dengan menggunakan jari-jemari. Seorang penjenayah juga menggunakan jari mereka untuk menekan picu pistol dan mengakibatkan kecederaan kepada orang lain.

Malah dengan jari jugalah golongan yang ingkar dengan seruan tauhid cuba menyumbat telingan dengan jari mereka. Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

“Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinga dan menutup baju mereka (ke muka) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan sangat.” (surah Nuh 71:7)

Jari-jemari juga seolah-olah boleh bercakap dengan memberikan isyarat-isyarat tertentu kepada seseorang. Sebagai contoh, jika semua jari digenggam dan ibu jari diluruskan, ia menunjukkan tanda bagus dan cemerlang kepada orang itu. Jika jari telunjuk diluruskan dan diletakkan di bibir, ia memberi isyarat supaya seseorang itu diam atau tidak membuat bising.

Cap Jari

Pada hujung setiap jari kita, terdapat alur-alur kecil yang membentuk corak tertentu yang dinamakan sebagai cap jari. Dengan cap jari inilah kita boleh mengeluarkan duit daripada akaun kita di kaunter-kaunter bank. Dengannya juga kita boleh mencetak penyata akaun KWSP malah kakitangan sesebuah pejabat membuka pintu tanpa perlu menggunakan anak kunci lagi. Dengan cap jari juga pihak polis dan pasukan forensik mampu memberkas penjenayah melalui kesan-kesannya di tempat kejadian.

Apabila al-Quran diturunkan 1400 tahun yang lalu, pengetahuan mengenai cap jari masih belum dapat dinilai oleh masyarakat pada waktu itu. Sehinggalah pada tahun 1856, seorang saintis Inggeris bernama Genn Ginsen menemui corak-corak pada hujung jari seseorang yang begitu unik dan berbeza atara satu individu dengan individu yang lain.


Penelitian terhadap penciptaan cap jari mempunyai erti yang cukup besar. Ini kerana bentuk dan corak pada cap jari seseorang mempunyai keunikan tersendiri dan berbeza antara satu individu dengan individu yang lain. Setiap manusia yang hidup di muka bumi atau pernah hidup suatu ketika dahulu mempunyai corak cap jari yang tersendiri dan tidak akan sama dengan orang lain. Bahkan, jika sepasang kembar seiras yang mempunyai DNA yang sama namun cap jari mereka tetap berbeza.

Cap jari telah terbentuk sejak lahir dan ia tidak akan berubah sampa bila-bila pun melainkan terdapat kecederaan yang menyebabkan parut kekal pada jari. Bahkan menurut kajian, didapati cap jari mula terbentul seawal usia tiga bulan di dalam kandungan.

Alangkah hebatnya ciptaan dan kurniaan Allah SWT kepada kita. Struktur yang kecil tetapi kompleks dan unik, sehingga Allah SWT secara khusus menyebutnya di dalam al-Quran. Jika struktur yang kompleks dari segi bentuk dan fungsinya mampu disusun kembali oleh Allah SWT di hari akhirat, apatah lagi struktur lain yang tidak begitu kompleks. Semua ini mengingatkan kepada kita bahawa kepada-Nya kita akan kembali.

Wallahua'lam.