Remaja Berakal Fokus Belajar

Meniti usia remaja terlalu banyak tarikan-tarikan di sekeliling yang mahu memenangi fokus hati. Cinta, hiburan, gejala sosial, rakan sebaya, kerja sambilan, menghabiskan masa dan banyak lagi pesaing-pesaing yang cuba merebut sekeping hati seorang remaja.


Remaja yang berakal perlu sentiasa peka terhadap persiapan akal, rohani dan jasmaninya. Belajar adalah proses mempersiapkan akal. Ia suatu proses sepanjang hidup. Ia sepatutnya menjadi prioriti seseorang untuk mengisi alam remajanya dengan belajar, belajar dan terus belajar. 

Penting sangatkah belajar untuk mempersiapkan akal?

Sudah tentu penting! Kesedaran ini akan memudahkan hati memenangkan apa yang lebih penting dan utama dalam persaingan tarikan-tarikan tadi merebut fokus sekeping hati.

Cendekiawan berkata:-

“Sesiapa yang akalnya bukan merupakan sesuatu yang dominan, maka dia akan mati dan binasa kerana sesuatu yang paling dicintainya.”

Allah SWT Sebagai Akal

Berkata Saidatina Aisyah RA:-

“Beruntunglah orang yang menjadikan Allah sebagai akalnya.”

Remaja yang berakal akan sentiasa memikirkan apa yang Allah SWT inginkan sebelum melakukan sesuatu. Nilaian Allah SWT menjadi kayu ukur dan pemutus. Tiada nilaian lain yang lebih penting daripada nilaian-Nya.

Baginya, yang baik itu adalah apa yang Allah SWT katakan baik dan yang buruk itu adalah apa yang Allah SWT katakan buruk. Akal dan pemikirannya bebas berfikir serta dipandu oleh petunjuk wahyu. Tidak sebagaimana remaja di Barat, mereka berfikir sebebas-bebasnya, namun sayang tanpa panduan mahupun petunjuk. Maka natijahnya, akal dimanfaatkan untuk memajukan perkara maksiat.

Saidina Umar al-Khattab RA berkata:-

“Orang yang berakal itu bukan setakat mampu membezakan yang baik daripada yang buruk, tetapi mampu mengetahui mana yang lebih baik daripada dua keburukan.”

Al-Hasan pula berkata:-

“Agama seseorang tidak menjadi sempurna kecuali dengan kesempurnaan akalnya. Allah tidak memberikan akal kepada seseorang melainkan suatu hari nanti Dia akan menyelamatkannya dengan akal itu.”

Akal Melelahkan Syaitan

Wahab bin Munabbih berkata:-

“Syaitan berasa paling sulit jika menghadapi orang Mukmin yang berakal. Dia boleh menarik hidung seratus orang bodoh, mengarahkan mereka malah menunggang di atas bahu mereka, lalu membawa mereka ke mana sahaja yang dikehendaki. Syaitan benar-benar berasa sulit apabila berhadapan dengan orang Mukmin yang berakal sehingga syaitan tidak dapat apa-apa hasil pun.”

Remaja yang berakal sentiasa menyebabkan syaitan berasa dalam kelelahan dan kesulitan. Syaitan yang kelelahan kadangkala merelakan remaja melakukan kebaikan begitu sahaja tanpa digoda. Lantaran kelelahan itu, si syaitan terpaksa beralih arah menggoda orang yang bodoh.

Berkata Wahab bin Munabbih lagi:-

“Meruntuhkan gunung sebongkah demi sebongkah batunya, lebih mudah bagi syaitan daripada memujuk orang Mukmin yang berakal. Jika dia benar-benar tidak mampu menghadapinya, maka dia beralih kepada orang bodoh lalu menawannya. Syaitan boleh memimpinnya hingga menjerumuskannya kepada pelbagai macam kehinaan yang dirasakan di dunia, seperti mendapat hukuman rejam, dipotong tangannya, disalib dan kehinaan-kehinaan yang lain.”

Remaja yang berakal sudah tentu tidak mahu terperangkap dalam kehinaan seperti ditangkap khalwat, dibicarakan kerana  masalah sosial, ditahan kerana merempit, didakwa kerana membuang bayi luar nikah, dihantar ke sekolah juvana, dilatih di pusat-pusat pemulihan akhlak dan sebagainya. Kehinaan ini hanya layak bagi orang yang bodoh yang sering memenangkan nafsunya. Mereka sering memilih jalan maksiat dengan alasan “saya tak kuat” tanpa berusaha menggunakan akal untuk menguatkan diri dengan ilmu dan mujahadah.

Orang yang tidak menggunakan akal bukan sahaja mendapat kehinaan di dunia tetapi turut mendapat kehinaan di akhirat. Teramatlah malang kerana kehinaan di akhirat itu lebih menyakitkan dan boleh bersifat kekal selama-lamanya.

Wahab bin Munabbih meneruskan kata-katanya:-

“Sementara di akhirat dia akan mendapat neraka dan aib yang sangat hina. Boleh jadi dua orang yang sama dalam kebaikannya, namun ada perbezaan yang memisahkan kedua-duanya seperti pemisah antara timur dan barat kerana akalnya. Allah tidak disembah dengan sesuatu yang lebih baik daripada dengan akal.”

Remaja Berakal Tidak Mahu Hipokrit

Seringkali akal ditipu.

“Saya tidak mahu buat begini (merujuk apa-apa perbuatan baik) kerana saya tidak mahu jadi hipokrit” kata seorang remaja.

Kata-kata seumpama ini mencerminkan bahawa remaja itu sedang melabelkan dirinya yang sebenar sebagai seorang yang buruk, berdosa dan sentiasa berada di takuk lama.

Sedarkah kita, kita dilahirkan dalam keadaan fitrah sebagaimana yang dimaklumkan oleh hadith sahih riwayat al-Bukhari, no. 1296. Fitrah di sini bermaksud Islam. Islam itu bermaksud menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Ya, kita dilahirkan dalam keadaan kita adalah seorang hamba yang perlu taat dan patuh kepada-Nya dengan penyerahan diri yang total.

Maka, kita sedang menjadi diri sendiri ketika kita sedang melakukan kebaikan. Kita sedang hipokrit dengan Allah SWT ketika kita sedang melakukan kejahatan. Inilah hakikatnya diri kita yang sebenar, fitrah, suci dan bersih. Remaja berakal akan segera menukar paradigma agar tidak tertipu lagi.

Yusuf bin Asbath berkata:-

“Akal ialah pelita yang tidak nampak, hiasan yang terzahir, pengatur badan dan pemantau urusan hamba. Kehidupan tidak akan bertambah baik tanpa akal dan urusan tidak akan berjalan dengan normal kecuali berdasarkan akal.”

Remaja Berakal Segera Bertaubat

Remaja berakal tidak bertangguh untuk bertaubat jika dia melakukan kesalahan. Dia tidak bertangguh untuk melakukan kebaikan. Tidak bertangguh untuk melakukan perubahan yang lebih positif.

Kenapa?

Kerana dia sedar dia dilahirkan untuk menjadi yang terbaik.

Mu'az bin Jabal RA berkata:-

“Andai kata orang yang berakal itu mempunyai dosa pada waktu pagi dan petang sebanyak bilangan pasir, maka akhirnya dia cenderung dan masih boleh lagi selamat daripada dosa-dosa itu. Andai kata orang yang bodoh itu mempunyai kebaikan dan kebajikan pada waktu pagi dan petang sebanyak bilangan pepasir, maka akhirnya dia cenderung dan tidak mampu mempertahankannya meskipun hanya seberat biji sawi.”

Ada yang bertanya:-

“Bagaimana ia boleh terjadi?”

Mu’az menjawab:-

“Sesungguhnya jika orang yang berakal itu tergelincir, maka dia segera menyedarinya dengan cara bertaubat dan menggunakan akal yang dianugerahkan kepadanya. Tetapi orang yang bodoh itu ibarat orang yang membangun dan langsung merobohkannya. Disebabkan kebodohannya itulah, dia terlalu mudah melakukan apa yang boleh merosakkan amal solehnya.”

Fokuslah Belajar Agar Kau Jadi Remaja Berakal

Remaja berakal tidak akan mempersia-siakan masa mudanya. Digunakan masa mudanya dengan sebaik-baiknya untuk menimba ilmu. Mempersiapkan ketajaman akalnya. Dalam masa yang sama remaja yang berakal tidak lupa menyeimbangkan dirinya dengan persiapan fizikal dan rohani. Inilah remaja terbaik antara yang terbaik.

Ayuh, fokuslah belajar!

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment