Firman Allah SWT, maksudnya:-
“(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi itu) samalah seperti (sikap) syaitan ketika ia berkata kepada manusia: ‘Berlaku kufurlah engkau!’ Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah syaitan kepadanya: ‘Sesungguhnya aku berlepas diri daripadamu kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai sekalian alam!’” (surah al-Hashr 59:16)
Menurut al-Qurtubi dalam ayat ini Allah SWT mendatangkan suatu kiasan mengenai sikap orang munafik dan Yahudi yang saling tidak menepati janji sesama mereka dalam usaha untuk mengadakan kerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain.
Begitulah sikap orang munafik yang berjanji akan memberikan pertolongan dan bantuan kepada golongan Yahudi ketika menentang orang Mukmin, namun ia hanyalah kata-kata manis sahaja.
Menurut Ibn Ashur RH, kiasan dan perumpamaan kaum munafik dan Yahudi yang menyebabkan mereka terjerumus ke dalam api neraka di akhirat kelak adalah umpama syaitan yang menyeru manusia agar kufur kepada Allah SWT, namun apabila manusia itu kufur mereka akan melepaskan diri mereka. Natijahnya, kedua-dua pihak (yang menyeru dan menerima kekufuran) akan bersama-sama dalam api neraka.
4S Senjata Yahudi
Golongan munafik dan Yahudi sama sahaja seperti syaitan yang berusaha sedaya upaya untuk mempengaruhi kehidupan manusia terutamanya umat Islam untuk melakukan perkara-perkara keingkaran kepada Allah SWT. Maka ramai di kalangan umat Islam yang tidak peka terhadap perkara ini begitu mudah terpedaya dan terhasut dengan perancangan musuh Islam itu.
Perancangan Yahudi untuk menghancurkan umat Islam sedikit sebanyak telah menghasilkan kejayaan. Antara lain, mereja menggunakan taktik “4S” yakni Sex, Song, Sport dan Smoke.
Sedikit demi sedikit umat Islam dilalaikan melalui keseronokan seks terutamanya melalui kaca TV dan pawagam. Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita dihalalkan atas nama kemodenan dan “berfikiran terbuka”. Akibatnya, gejala seperti penzinaan semakin bertambah dari sehari ke sehari.
Dalam aspek hiburan, pelbagai program hiburan dan muzik ditampilkan dalam bentuk yang menyeronokkan dan “lazat” kepada masyarakat Islam. Budaya hedonisme disuburkan dengan begitu meluas. Akibatnya, keruntuhan akhlak berlaku dengan begitu berleluasa. Umat Islam hilang jati diri dan hilang hala tuju dalam kehidupan, hanyut dan tenggelam dalam suasana hiburan yang disediakan oleh musuh Islam dan tidak memikirkan lagi selain berhibur dan terus berhibur. Apabila budaya hedonisme ini semakin mekar, maka ia akan sinonim dengan kewujudan dan kesuburan arak, dadah dan pelacuran.
Ajaran Islam tidak pernah mengetepikan aspek hiburan kerana ia merupakan fitrah dalam kehidupan manusia. Namun, ramai di kalangan masyarakat Islam sendiri langsung tidak ambil tahu hiburan secara Islam, yang sah di sisi syarak. Konsep hiburan yang dicetus oleh musuh Islam diambil tanpa banyak soal, sementelahan pula ia disukai nafsu dan syahwat.
Manakala dalam aspek sukan, musuh-musuh Islam telah berjaya menjauhkan umat islam daripada agamanya dengan menampilkan aksi dan pakaian sukan yang kebanyakannya tidak menutup aurat. Bukan itu sahaja, malahan elemen perjudian turut dimasukkan dalam acara sukan secara berleluasa.
Islam tidak pernah menghalang untuk bersukan dan beriadah, malahan ia adalah sesuatu yag digalakkan bagi meningkatkan kecergasan dan kesihatan. Namun, Islam telah menyediakan garis panduan dalam bersukan agar dapat menghindarkan diri daripada dosa serta tidak menimbulkan sebarang perkara yang negatif.
Tipu daya seterusnya yang dijadikan senjata untuk menguasai dan mempengaruhi umat Islam adalah melalui rokok. Sebagaimana yang dimaklumi bahawa syarikat dan pengeluar rokok yang mempunyai kaitan rapat dengan Yahudi. Ironisnya, golongan Yahudi sendiri melarang rokok memasuki premis kediaman mereka. Merokok adalah sesuatu yang dilarang di negara israel. Sehingga dikatakan bahawa jika diundang makan di rumah Yahudi, jangan sekali-kali merokok kerana mereka tidak akan teragak-agak menyuruh anda keluar dari rumah dan merokok di luar.
Dalam hal ini, jelaslah betapa umat Islam terus tertipu tanpa sedar akan perancangan dan agenda musuh malah ada yang terus-menerus menyokong dan menambahkan keuntungan dalam industri rokok mereka.
Fenomena April Fool
Antara perkara yang turut diamalkan oleh segelintir masyarakat Islam adalah dengan merayakan hari April Fool tanpa mengambil tahu asal usul amalan tersebut.
Apabila tiba 1 April, remaja Melayu Islam turut terikut-ikut menjadikan hari itu sebagai hari “memperbodohkan” atau “mengenakan” seseorang. Malahan, sesuatu yang lebih teruk lagi apabila terdapat mereka yang begitu berbangga dengan apa sahaja yang datang dari Barat seolah-olah ia melambangkan ketamadunan yang tinggi.
Sejarah April Fool merujuk kepada tentera Kristian di Sepanyol yang berjaya menipu dan membunuh umat Islam secara beramai-ramai di Sepanyol, sehinggakan tarikh itu diingati pada setiap tahun sebagai The April Fool’s Day. Walaupun cerita atau kisah ini tidak dapat dipastikan kesahihannya, namun budaya menyambut April Fool ini seolah-olah telah dapat diterima di seluruh dunia termasuk dalam kalangan umat Islam sendiri.
Bergurau Pun Perlu Beradab
Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah menjadikan ajaran Islam sebagai panduan supaya tidak terikut-ikut dengan sesuatu yang bukan daripada ajaran Islam, apatah lagi sesuatu yang boleh membawa kepada implikasi yang negatif. Sabda Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad RH yang bermaksud:-
“Sesiapa yang meniru sesuatu kaum (golongan), dia termasuk di kalangan mereka.” (HR Ahmad)
Mereka menyambut April Fool ini sanggup berbuat apa-apa sahaja termasuk menipu dan sebagainya semata-mata untuk menghidupkan budaya ini. Hal ini merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima kerana menipu, mengaibkan orang dan sebagainya merupakan perkara dosa yang hanya boleh merenggangkan dan memutuskan hubungan sesama manusia.
Walaupun kadangkala ia hanyalah sekadar untuk bergurau, namun gurauan itu pun ada had dan batasnya. Gurauan memang merupakan suatu perkara lumrah dalam kehidupan manusia. Hidup dirasakan bertambah ceria dan bererti apabila terdapatnya gurauan yang menyenangkan hati dan perasaan.
Akan tetapi sekiranya gurauan dilakukan secara melampau dan berlebihan, maka bukan keceriaan yang diperoleh, sebaliknya kekusutan, dendam dan pelbagai perkara negatif lain yang akan hadir dalam kehidupan. Jadi, seseorang yang hendak bergurau hendaklah memelihara adab-adab gurauan agar gurauan tersebut berlaku dalam suasana kasih sayang dan keceriaan, malah tidak menyebabkan berlakunya permusuhan dan dendam. Itulah indahnya Islam!
Sehubungan dengan itu, untuk mengekalkan jati diri umat Islam, sambutan seumpama April Fool ini hendaklah dijauhi kerana ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan, malah ia bersifat menghakis dan mencemarkan adab!
Disamping itu hindarkan juga daripada gurauan yang boleh menyakiti hati orang lain seperti mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya, menghina orang lain, memperlekehkan seseorang, menggelarkan orang lain dengan sesuatu gelaran yang tidak disukainya, apatah lagi mereka-reka cerita dan berbohong dalam bergurau.
Begitu juga dengan budaya Barat yang terus disemai dengan begitu kukuh dalam masyarakat kita yang mengakibatkan tercemarnya adab dan budaya Islam yang suci murni.
Tidak menghairankan apabila produk Barat terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, apabila diberi pilihan antara Coca Cola, Mecca Cola, Zam-Zam Cola atau Radix Cola, maka sudah tentu dengan penuh kebanggaan Coca Cola akan dipilih kerana ia merupakan produk Amerika yang dibangga-banggakan. Inilah mentaliti segelintir masyarakat kita yang tidak dapat membezakan di antara kaca dan permata. Mereka sebaliknya terus rela dijajah dengan pemikiran dan mentaliti sehingga memandang apa-apa sahaja yang datang dari Barat itu merupakan sesuatu yang baik dan hebat.
Moga jati diri masyarakat kita dapat terus diperkukuhkan dengan penghayatan terhadap ajaran Islam dan menjauhkan diri daripada budaya negatif Barat serta tidak tertipu dan terpedaya dengan agenda dan perancangan musuh-musuh Islam.
Wallahua'lam.
Blogger Comment
Facebook Comment