Jampi Dengan Al-Fatihah

Al-Quran ialah ubat bagi segala penyakit jasmani dan rohani, penyakit dunia dan akhirat, tetapi tidak semua orang mendapat taufik untuk menggunakannya. Jika seorang pesakit mahir menggunakan al-Quran untuk merawat dan mengubat penyakitnya berserta dengan keyakinan, keimanan dan memenuhi syarat-syaratnya, pasti penyakit itu “lari” dan tidak akan datang lagi selama-lamanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

“Dan Kami turunkan daripada al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang zalim melainkan kerugian.” (surah al-Isra’ 17:82)

Dalam surah Yunus pula, Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

“Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang ada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (surah Yunus 10:57)

Dua ayat al-Quran yang disebutkan di atas merupakan dalil yang membolehkan ruqyah (jampi) dengan al-Quran dan doa-doa. Hakikat ruqyah ialah seseorang berdoa kepada Allah SWT untuk meminta kesembuhan.

Ibn Qayyim al-Jawziyyah menyebut bahawa ucapan Allah SWT adalah ubat yang sempurna, perlindungan yang baik, cahaya yang memberi petunjuk, rahmat yang luas, yang seandainya diturunkan ke atas gunung, gunung itu akan hancur berkecai dan berkeping-keping kerana keagungan dan kemuliaan ucapan tersebut.

Kelebihan Ibu al-Quran

Al-Fatihah ialah pembuka al-Quran. Ia menjadi rukun dalam setiap rakaat solat. Ia mempunyai pelbagai nama, antaranya Fatihah al-Kitab, Um al-Kitab, Sab’u al-Mathani dan lain-lain. Surah ini mempunyai banyak kelebihan yang disebut dalam beberapa hadith.

Imam Muslim RH meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata:-

“Ketika malaikat Jibril sedang duduk bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara pintu dibuka di atasnya. Jibril kemudian mendongak ke langit dan berkata: ‘Itu ialah suara pintu langit dibuka dan sebelumnya tidak pernah dibuka sama sekali melainkan pada hari ini.’

Lalu turun satu malaikat dari pintu tersebut yang mana malaikat itu tidak pernah turun melainkan hari ini. 

Maka ia menemui Nabi Muhammad SAW dan berkata: ‘Hendaklah engkau bergembira dengan dua cahaya yang diberikan kepadamu, yang tidak pernah diberikan kepada seorang Nabi pun sebelummu, iaitu surah al-Fatihah dan beberapa ayat akhir pada surah al-Baqarah. Tidaklah engkau membaca satu huruf pun daripada kedua-duanya, melainkan apa yang engkau pohon pasti akan dikabulkan oleh Allah’”


Surah Paling Agung

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad RH dalam Musnadnya, bahawa Abu Sa’id bin al-Mu’alla RA berkata:-

“Rasulullah SAW pernah memanggilku ketika aku sedang solat, tetapi aku tidak memenuhinya sehinggalah aku selesai menunaikan solat.

Sebalik sahaja selesai solat, aku menemui Baginda SAW. Baginda SAW bertanya: ‘Apakah yang menghalangmu daripada menyahut panggilanku?’

Aku berkata: ‘Ya Rasulullah, aku sesungguhnya aku tadi sedang solat.’

Baginda pun bersabda yang bermaksud: ‘Bukankah Allah SWT telah berfirman (iaitu dalam surah al-Anfal ayat 24 yang bermaksud): ‘Wahai orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul, apabila Rasul menyeru kamu sekalian kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kamu semua.’’

Seterusnya Baginda SAW bersabda: ‘Sesungguhnya aku akan mengajarkan kamu surah yang paling agung dalam al-Quran sebelum engkau keluar dari masjid ini.’

Baginda memegang tanganku dan ketika akan keluar dari masjid, aku bertanya: ‘Sesungguhnya tadi engkau berkata bahawa engkau benar-benar akan mengajarkan aku seagung-agung surah dalam al-Quran?’

Rasulullah SAW bersabda: “Ya benar. Alhamdulillahi rabbil ‘alamin (iaitu surah al-Fatihah). Ia adalah Sab’u al-Mathani (tujuh ayat yang selalu diulang-ulang) dan al-Quran yang Agung diturunkan kepadaku.’”

Kesembuhan Dengan al-Fatihah

Banyak lagi hadith yang menyebut tentang keistimewaan dan kelebihan surah al-Fatihah, antaranya adalah sebuah hadith panjang yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Sa’id al-Khudri, beliau mengkhabarkan:-

“Sesungguhnya beberapa orang sahabat Nabi sedang dalam suatu perjalanan. Mereka singgah di salah sebuah kampung dan mereka meminta menjadi tetamu di kampung tersebut. Malangnya, penduduk di situ tidak mahu menerima mereka sebagai tetamu.

Tiba-tiba ketua penduduk mereka digigit binatang berbisa. Mereka berusaha dengan pelbagai cara untuk mengubatinya tetapi tidak berhasil. Ada daripada kalangan mereka yang mencadangkan sesuatu: ‘Cuba kamu berjumpa beberapa orang lelaki tadi (para sahabat), mungkin ada di kalangan mereka yang pandai berubat.’

Para penduduk pun bertemu dengan mereka dan bertanya: ‘Ketua kami disengat binatang berbisa dan kami telah berusaha dengan pelbagai cara tetapi tidak berhasil. Adakah sesiapa daripada kalangan kamu yang pandai berubat?’

Salah seorang sahabat menjawab: ‘Ya saya boleh meruqyah (menjampi). Tetapi tadi kamu enggan menerima kami sebagai tetamu. Aku tidak akan mengubatinya melainkan jika kamu memberikan upah.’

Akhirnya mereka berdamai dan penduduk kampung menjanjikan beberapa ekor kambing sebagai upah untuk para sahabat. Seorang sahabat membacakan Ummul Kitab, lalu mengumpulkan ludahnya dan meludahkannya kepada ketua kampung tersebut. Lalu ia pun sembuh. Maka penduduk tersebut memberikan kambing-kambing tersebut kepada para sahabat.

Mereka berkata: ‘Kami tidak akan mengambil upah sehingga kami bertanya kepada Nabi Muhammad SAW.’

Lalu mereka bertanya kepada Baginda. Rasulullah SAW tersenyum lalu bersabda: ‘Siapakah yang memberitahu kamu bahawa al-Fatihah itu ruqyah (jampi)? Ambillah kambing-kambing tersebut dan berikan kepadaku satu bahagian daripadanya.’”

Jampi Yang Benar

Para ulama’ membahagikan jampi menjadi dua bahagian iaitu jampi yang hak (benar) dan jampi yang batil. Jampi yang hak ialah jampi yang diambil daripada al-Quran atau dengan apa-apa yang terdapat dalam hadith Rasulullah SAW. Sedangkan jampi yang batil ialah jampi yang dilarang oleh Nabi Muhammad SAW yang membawa kepada syirik.

Sebuah hadith daripada Kharijah bin al-Salt al-Tamimi, daripada pakciknya ‘Alaqah bin Sahar RA, beliau (‘Alaqah) berkata:-

“Pernah ketika dalam perjalanan pulang setelah bertemu Rasulullah SAW, kami tiba di satu perkampungan Arab. Lalu penduduk kampung tersebut berkata: ‘Kami mendapat khabar bahawa sekalian kamu telah datang dari sisi lelaki itu (Rasulullah SAW) dengan membawa kebaikan. Adakah ada di sisi kamu sebarang ubat atau jampi? Sesungguhnya ada seorang kalangan kami yang dipasung (diikat kerana gila).’

Maka kami menjawab: ‘Ya ada.’

Mereka kemudian membawa orang yang dipasung tersebut. Lalu aku membacakan Fatihah al-Kitab (surah al-Fatihah) selama tiga hari berturut-turut kepada orang itu pagi dan petang. Setiap kali aku selesai membacanya, aku menghimpunkan air liurku, kemudian aku meludahkannya. Lelaki itu sembuh seolah-olah terlepas daripada satu ikatan.

Mereka pun memberikan aku hadiah seekor unta, namun aku berkata: ‘Aku tidak akan menerimanya sehingga aku bertanya Rasulullah SAW.’

Setelah ditanya, baginda menjawab yang bermaksud: ‘Makanlah! Demi umurku, jika ada orang yang makan hasil jampi yang batil, sesungguhnya engkau telah makan hasil jampi yang benar.’”

Ibn Qayyim al-Jawziyyah bercerita bahawa beliau pernah menderita sakit di Makkah. Ketika itu beliau tidak menemui doktor atau ubat, lalu beliau minum air zam-zam dan membaca surah al-Fatihah berkali-kali, kemudian beliau minum air zam-zam lagi. Ternyata penyakit yang beliau deritai sembuh sepenuhnya. Setelah itu beliau mengubati setiap penyakitnya dengan air zam-zam dan dengan membaca surah al-Fatihah berkali-kali.

Demikianlah kelebihan surah al-Fatihah bagi menyembuhkan pelbagai penyakit.

Wallahua'lam.