Penjara Dunia VS Neraka Allah SWT

Penjara. 

Tiada apa-apa yang indah dan menarik tentangnya.

Tiada sesiapa seberani Nabi Yusuf AS untuk mengatakan bahawa penjara lebih dicintainya daripada nikmat dunia yang lain.

Nabi Yusuf AS memilih untuk dipenjarakan berbanding melayan kehendak nafsu isteri al-Aziz.


Di mana-mana belahan dunia pun, penjara dipagari dengan pelbagai stigma negatif daripada masyarakat. Walaupun majoriti manusia tidak pernah merasai keperitan hukuman “bersunyian” di dalam penjara, namun semua mengakui bahawa penjara ialah tempat paling azab di dunia.

Setiap kali saya menjalankan tugasan di mahkamah, melihat pesalah-pesalah yang akan dihadapkan ke penjara; saya berbisik kepada diri, betapa berharganya nikmat kebebasan dan memohon agar tidak diuji dengan melalui tempat-tempat sebegitu dengan sebab kesalahan dosa dan jenayah.

Saya yakin bisikan yang sama pada jiwa anda juga.

Manusia pada fitrahnya tidak suka akan tempat hukuman. Bagaikan sudah diprogramkan di dalam fikiran, kita pun sentiasa berjaga-jaga agar tidak melakukan sebarang kesalahan yang boleh menyebabkan kita terhumban ke dalamnya.

Kita mungkin hanya mampu untuk mengelak daripada menerima hukuman penjara di dunia.

Namun, adakah kita telah sedaya upaya berusaha untuk mengelak daripada menjalani hukuman di penjara akhirat?

Adakah kita dapat menjamin diri kita terselamat daripada api neraka?

Stigma Terhadap Neraka

Pengalaman salah seorang sahabat saya yang bertugas di salah sebuah syarikat perunding korporat, dia ada mendapatkan maklumat bahawa pihak jabatan sumber manusia syarikat-syarikat di negara ini tidak berminat sekiranya modul pembangunan diri stafnya dimomokkan dengan kematian dan kedahsyatan azab neraka.

Bagi mereka, itu cara pesimis yang memandulkan produktiviti pekerja dan syarikat, nampaknya, bukan sekadar penjara dunia dipenuhi dengan stigma masyarakat, namun neraka Allah SWT turut sering dipandang negatif, walaupun dari perspektif yang berbeza.

Pandangan ini merebak menjadi barah dalam masyarakat sebagai suatu gambaran jelas betapa jauhnya mereka daripada memahami cara beragama yang tepat.

Sedangkan Allah SWT telah menurunkan al-Quran yang penuh dengan berita gembira (tasybir) dan juga berita yang menakutkan sebagai peringatan kepada manusia (tanzir).

Tanzir ini bukannya suis untuk mematikan selera manusia untuk meningkatkan mutu kerja. Tanzir juga bukan penggalak seseorang mengasingkan diri daripada manusia dan beribadah sepanjang hari untuk mencuci dosa.

Tanzir tentang neraka ialah peringatan daripada Allah SWT buat hati kita yang sentiasa lalai dan lupa.

Allah SWT mengingatkan melalui firman-Nya yang bermaksud:-
“Dan neraka itu tidak lain cuma peringatan bagi manusia.” 
Surah al-Muddaththir 74:31

Kenal Neraka Agar Takut Akan Allah SWT

Al-Quran memperincikan kepada kita tentang sifat, keadaan dan ciri-ciri neraka Allah SWT.

Perinciannya bukan untuk manusia berimaginasi tanpa tujuan, tetapi bagi mencetuskan rasa takut kepada keadaan neraka yang dicipta oleh Allah SWT bagi mereka yang mengingkari-Nya.

Berikut adalah gambaran neraka Allah SWT, suatu tempat yang tiada mana-mana pun penjara dunia yang setaraf dengannya.

#1 Pintu neraka Allah SWT dikawal oleh para Malaikat

Pengawal di penjara dunia tidak berintegriti berkemungkinan boleh dirasuah untuk menyeludup barangan atau menyampaikan maklumat kepada rakan penjenayah di luar.

Tetapi, neraka Allah SWT dijaga oleh para malaikat yang sangat patuh dan takut akan Allah SWT. Mereka tidak akan memberi sekelumit belas ihsan kepada penghuninya. Malahan, para malaikat ini akan menempelak dengan mengingatkan mereka kepada dosa keingkaran mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasukan-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaganya kepada mereka, 



“Bukankah telah datang kepada kamu rasul-rasul daripada kalangan kamu yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari ini?” 

Mereka menjawab, “Ya, benar!” 

Tetapi telah ditetapkan azab untuk orang kafir.” 

Surah al-Zumar 39:71
#2 Hanya 19 malaikat pengawal neraka

Unik bukan? 

Penjara dunia menggaji warden untuk mendisiplinkan dan menjaga para banduan dalam sesebuah kompleks penjara dan bekerja secara syif. Malahan di Amerika Syarikat, institusi penjara diswastakan bagi memastikan urusan pentadbiran dan kawalan penjara dijalankan dengan lebih efektif dan efisien.

Namun, Allah SWT hanya menyediakan 19 malaikat sahaja untuk menjaga neraka.

Maha Suci Allah!

Dengan kebesaran Allah SWT, tiada sesiapa boleh melarikan diri daripada seksaan neraka.


Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu? 



Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus). 

Ia terus-menerus membakar kulit manusia! 
Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat).” 

Surah al-Muddaththir 74:27-30
Mengapa Allah SWT menjadikan penjaga neraka hanya sebanyak itu?

Apabila ayat ini turun, sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Kathir RH dalam tafsirnya, Abu Jahal berkata:-
“Wahai kaum Quraisy! 



Tidak mampukah setiap sepuluh orang antara kalian melawan satu malaikat dan mengalahkannya?”
Dengan sombongnya mereka menganggap bahawa 19 malaikat para penjaga neraka Allah SWT itu begitu mudah boleh dikalahkan.

Allah SWT menjawab dengan panjang dalam firman-Nya yang bermaksud:-
“Dan kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan malaikat, dan Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan sebagai cubaan kepada orang kafir , supaya orang yang diberi Kitab dan orang yang beriman itu tidak ragu-ragu dan supaya orang yang ada penyakit di dalam hatinya dan orang kafir berkata: 



“Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan perumpamaan ini?”. 

Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya dan tiada yang tahu tentera Tuhanmu melainkan Dia. 

Dan neraka itu tidak lain cuma peringatan bagi manusia.” 

Surah al-Muddaththir 74:31
Jumlah yang sedikit adalah untuk menguji akal manusia yang selalunya berfikiran logik. Tiada manusia yang akan berani melawan atau mengalahkan mereka.

#3 Penghuni neraka dibelenggu dan dirantai

Para banduan di penjara dunia masih lagi dilayan dengan cara kemanusiaan.

Hak asasi mereka dijaga malah diperjuangkan oleh sesetengah pihak.

Betapa besar dan berat pun kesalahan yang mereka lakukan, para banduan ini tidak akan dibelenggu sepanjang hari melainkan sewaktu pergerakan berlaku atau bergantung kepada keseriusan hukuman.

Semua itu untuk memastikan banduan itu tidak melarikan diri.

Namun, Allah SWT menyediakan belenggu dan rantai yang khusus untuk penghuni neraka-Nya.

Bukan kerana mereka berpotensi untuk melarikan diri jika tidak dirantai, tetapi sebagai tanda penghinaan Allah SWT kepada mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang.” 
Surah al-Insan 76:4
Belenggu yang menghinakan ini diletakkan di leher orang yang tidak beriman dan mereka akan diseret ke dalam neraka. Mereka tidak lagi boleh melarikan diri sedangkan hati mereka dalam ketakutan kerana bakal dimasukkan ke dalam neraka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Ketika belenggu dan rantai dipasungkan di leher mereka, sambil mereka diseret.” 
Surah al-Ghafir 40:71
Firman-Nya lagi yang bermaksud:-
“Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia. 

Kemudian bakarlah dia di dalam neraka. 


Selain itu, belitkanlah dia dengan rantai besi yang ukuran panjangnya 70 hasta (dengan membelitkannya ke badannya).” 

Surah al-Haqqah 69:30-32
Tidakkah para penghuni neraka berkeinginan untuk melarikan diri?

Dengan seksaan yang tidak terperi itu, sudah pasti ada yang mahu melarikan diri. Al-Quran merakamkan bagaimana para malaikat akan bertindak menghancurkan harapan mereka untuk keluar dari penjara neraka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Yang dengannya pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka. 



Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari nereka itu disebabkan azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: 

'Rasalah kamu azab yang membakar!'.” 

Surah al-Hajj 22:21-22
Pemukul besi akan membantai mereka daripada cuba melarikan diri dari tempat yang tidak boleh ke mana-mana.

Tiada cubaan “prison break” yang akan berjaya di sana. Akal kreatif telah mati.

Penjara Allah SWT Lebih Mencegah

Neraka Allah SWT benar-benar menakutkan.

Turut menakutkan penghuni dunia yang memikirkannya. Memberi ketakutan juga kepada penghuni neraka dunia yang mungkin turut mengalami “tahanan penjara” semula di neraka akhirat.

Persoalan selanjutnya, sejauh manakah penjara dunia mencegah para pesalah dan orang lain?

Sejauh mana penjara menakutkan orang ramai agar menjauhi segala bentuk jenayah?


Pelbagai kajian telah meneroka persoalan ini memandangkan kadar jenayah semakin tinggi dan penjara semakin sesak. Hakikatnya, manusia sudah tidak lagi takut dengan hukuman penjara dunia.

Selayaknya mereka dihukum dengan hukuman Allah SWT di dunia bergantung kepada kesalahan yang dilakukan, tetapi hukuman Allah SWT tidak dikuatkuasakan.

Kajian mendapati kebanyakan pesalah jenayah hanya akan berasa gemuruh dan takut ketika hukuman penjara dibacakan oleh hakim ke atasnya di kamar mahkamah. Ini kerana mereka tidak tahu bagaimana kepedihan dan keperitan di dalam penjara.

Setelah sekian banyak persepsi tentang kekerasan penjara dibius ke dalam mindanya, para pesalah dibawa ke pintu sel dengan segala macam rasa ketakutan. Semua banduan tidak menafikan perasaan ini. Takut untuk menjalani hukuman.

Namun, setelah bertahun-tahun menikmati kemudahan dalam penjara, dibekalkan makanan, mendapat pendidikan dan juga waktu luang yang banyak (tidak perlu gigih bekerja untuk mencari sesuap nasi), maka ramai banduan mula hilang rasa takutnya.

Persepsinya terhadap penjara telah berubah. Kekerasan hukuman penjara tidak dirasai lagi oleh banduan yang telah lama mendiaminya.

Malah mereka menjadi “mentor” kepada banduan baru yang masih janggal menyesuaikan diri. Lebih parah, kesan pencegahan yang diharapkan daripada hukuman penjara dunia ini tidak mampu menghalang para banduan ini daripada melakukan jenayah lagi setelah dibebaskan.

Ini kerana mereka sudah tahu bagaimana kehidupan di dalam penjara yang sebenarnya.

Namun, situasi yang sama tidak akan berlaku di dalam neraka Allah SWT di akhirat kelak. Walaupun neraka tidak kelihatan di mata orang beriman, ancaman neraka tetap boleh mencegah mereka daripada melakukan sebarang kemungkaran.

Orang yang beriman akan berhati-hati dalam kehidupannya kerana sentiasa memikirkan tentang nasibnya pada hari akhirat. Hidupnya akan teratur, penuh tanggungjawab dan dipenuhi dengan bakti.

Penjara dunia yang sofistikated tidak mampu sepenuhnya untuk mencegah para penjenayah. Penjara akhirat, dengan hanya nilai iman, mampu mencegah jiwa-jiwa yang takut akan Allah SWT daripada melakukan jenayah.

Wallahua'lam