“Saya tak tahu dari mana anak lelaki saya belajar merokok. Padahal ayah dia tak pernah merokok.”
“Sebelum ini anak saya tidak pernah memberontak. Sekarang pantang disuruh, mesti jadi panas baran.”
Inilah antara kerisauan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Boleh dikatakan ibu bapa yang bekerja mengalami situasi yang hampir sama iaitu anak-anak bertambah liar di luar rumah.
Seorang pengarah pusat belia merumuskan bahawa punca terbesar ramaja kini terjebak dalam gejala sosial adalah disebabkan oleh pengaruh rakan-rakan sebaya. Rakan sebaya menjadi penyumbang terbesar anak-anak terlibat dalam kes sosial seperti vandalisme, derhaka kepada ibu bapa, gangsterisme dan sebagainya.
Apabila diifikirkan semula, mengapa kebejatan sosial anak-anak ini disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya?
Bukankah kawan-kawan yang dapat mempengaruhi anak-anak itu juga mempunyai ibu bapanya sendiri?
Adakah kerana mereka tidak mendapat didikan yang betul dan baik daripada ibu bapa sejak peringkat awal lagi?
Oleh sebab itu, kesalahan tetap terpaksi kepada ibu dan ayah. Di akhirat nanti, Allah SWT akan bertanya kepada para ibu bapa akan kebertanggungjawaban mereka terhadap anak-anak.
Adakah ibu bapa mereka telah mengenalkan anak-anak kepada Allah SWT?
Adakah didikan agama secukupnya telah diberikan?
Adakah anak sudah diasuh dengan ibadah fardhu dan wajib?
Adakah anak-anak sudah dibentuk dengan acuan akhlak yang mulia?
Ibu bapa mesti memerhatikan peribadi dan perkembangan anak-anak sendiri, termasuklah siapa kawan-kawan mereka. Anak-anak perlu diberi garis panduan dan tunjuk ajar dengan siapa mereka perlu berkawan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Seseorang itu mengikut agama (cara hidup) sahabatnya, maka hendaklah setiap daripada kamu terlebih dahulu memerhatikan siapa yang dipilih sebagai sahabatmu.” (HR Abu Daud, at-Tirmizi dan al-Baihaqi)
Jadi siapakah yang harus dipilih sebagai kawan atau sahabat kepada anak-anak kita?
Anak-anak perlu tahu tujuan berkawan itu adalah untuk bersama-sama dalam mentaati Allah SWT dan memperbaiki perilaku dan akhlak.
Begitu juga dengan mempunyai kawan-kawan yang baik, boleh menjadi pendorong atau memberi motivasi dalam kehidupan anak-anak. Mereka hidup berkawan bukan sekadar untuk bersuka ria atau menjadi teman untuk berbuat apa sahaja yang disukai.
Diri kita sekarang menentukan siapa diri kita pada masa hadapan. Oleh sebab itu, penting bagi ibu bapa memberikan input atau maklumat kepada anak-anak tentang ciri-ciri kawan-kawan yang patut dipilih dari sejak kecil lagi iaitu sejak mereka sudah mampu membezakan antara yang baik dan buruk.
Akhlak Umpama Bunga Wangi
Akhlak itu penting dalam pergaulan seseorang. Akhlak umpama bunga yang wangi. Sesiapa yang mempunyai akhlak yang mulia akan menyebarkan keharuman kepada orang yang berada berhampiran dengannya.
Bercakap tentang akhlak, ia mestilah merangkumi cara bertutur, berinteraksi, berfikir, membuat pertimbangan dan sebagainya. Ia mestilah mengikut syariat Allah SWT. Bagaimana anak-anak hendak mengetahui apa itu syariat Allah SWT, jika tidak lain tidak bukan ibu bapa sendiri yang perlu mengajarnya? Jika ibu bapa tidak tahu, anak-anak perlu dihantar untuk belajar adab-adab dengan guru agama.
Padah Pengaruh Kawan Yang Jahat
Kejahatan itu bermula sedikit-sedikit. Atas pujukan atau ajakan kawan-kawan, mula-mula sekadar untuk mencuba-cuba dengan kejahatan. Kemudian ia menjadi perkara rutin dan biasa. Akhirnya hilang rasa bersalah dan malu apabila membuat kejahatan itu. Mereka sama sekali tidak sedar atau ambil peduli kesan buruk perkara jahat yang dilakukan itu terhadap diri sendiri atau orang lain.
Inilah antara pengaruh kawan-kawan kepada anak-anak kita.
Misalnya dalam menipu ibu bapa. Mula-mula serba salah antara mahu menipu ataupun tidak. Namun apabila melihat ibu bapa boleh atau mudah ditipu akibat terlalu percayakan anak-anak, mereka menjadi terbiasa. Apabila berjaya dikesan oleh ibu bapa, mereka akan menafikan atau mencari helah, maka terjebak lagi kepada menipu.
Antara akhlak buruk akibat silap memilih kawan ialah bercakap kotor, mencarut, melawan cakap orang tua, terlibat dengan vandalisme, ponteng sekolah, merokok dan sebagainya. Biasanya, perkara-perkara buruk tersebut tidak terhenti di situ sahaja, malah akan menular kepada perbuatan buruk yang lain.
Hilang Minat Untuk Belajar
Perkara yang paling ketara apabila anak-anak cenderung kepada kejahatan ialah mereka mula hilang minat untuk belajar. Keseronokan membuang masa dan membuat sesuatu keburukan secara ‘team work’ (berkumpulan) ini telah menutup hati mereka, bagaimana hendak menerapkan ilmu di ruang hati sekiranya ia dikotori dosa-dosa dan sifat-sifat mazmumah?
Justeru itu berusahalah dan bimbinglah anak-anak kita supaya menjadi Mukmin dan teman Mukmin kepada kawan-kawannya.
Rasulullah SAW bersabda:-
“Janganlah engkau berteman kecuali dengan seorang Mukmin.” (HR Abu Daud dan at-Tirmizi)
Kriteria Terbaik Kawan Anak-Anak Kita
1. Bijak dan Berakal
Berakal bermaksud bijak iaitu boleh berfikir dengan baik. Galakkan anak-anak kita mencari kawan-kawan yang bijak dan berfikir dahulu sebelum bertindak. Misalnya, jika kita membuat kesilapan; mereka akan menegur. Jika kita terlupakan sesuatu, mereka yang akan mengingatkan dan sebagainya. Memang sukar mencari kawan-kawan yang bijak, namun memadai jika daripada kalangan kawan-kawan itu ada sikap untuk memperbaiki diri.
Ini berbeza dengan jika anak-anak kita berkawan dengan orang yang jahil, terutamanya jahil dari sudut agama. Mungkin kerana tidak tahu atau kurang ilmu, mereka akan berdiam diri jika kita tersilap. Orang yang jahil sudah tentu pertimbangannya dalam memutuskan sesuatu lebih cenderung mengikut kebiasaan yang dibuat oleh masyarakat.
Misalnya, menipu kerana takut ditangkap, membuli sebelum dibuli oleh orang lain dan sebagainya. Kesannya, timbul permusuhan atau perkara-perkara yang menyakitkan hati.
2. Berakhlak Baik
Siapakah orang yang dimaksudkan berakhlak baik ini? Mereka ialah orang yang begitu menjaga hubungannya dengan Allah SWT dan menjaga hubungan sesama manusia. Maksudnya kawan-kawan anak kita ini mestilah tidak pernah lalai daripada menunaikan solat fardhu dan ibadah-ibadah lainnya serta berakhlak baik dalam pergaulan.
Jika kawan-kawan sebegini bersahabat dengan anak-anak kita, mereka selalu menjaga adab ketika berinteraksi. Mereka bercakap dengan lemah lembut, menjaga hati orang lain, menolong sesiapa sahaja yang memerlukan, tidak mudah bersangka buruk dan sebagainya. Setiap hari dalam pergaulan, kawan-kawan anak kita ini mempamerkan siapa diri mereka yang sebenar.
Bagi anak-anak yang masih kecil, seawal usia empat atau lima tahun, kita boleh mengingatkan dengan konsep yang menjadi fitrah manusia. Kita katakan kepada anak-anak ini:-
“Jika kita tidak mahu orang lain berbuat tidak baik kepada kita, maka kita juga jangan berbuat begitu kepada orang lain. Allah SWT suka kepada orang yang berbuat baik kepada orang lain. Sentiasa berbuat baik kadangkal mengubah hati kawan-kawan yang ada keinginan berbuat jahat kepada kita.”
3. Memiliki Peribadi Soleh
Apakah kawan-kawan anak kita ini soleh atau solehah?
Bagi menilai sama ada mereka soleh atu tidak, lihatlah bagaimana sikap mereka dengan ibu bapa sendiri. Adakah mereka hormat atau sering menimbulkan masalah kepada ibu bapa?
Adakah mereka mendengar kata atau berkeras jika ibu bapa menegur atau memberikan pandangan?
Di samping itu juga, adakah kawan-kawan anak kita ini menghormati dan memuliakan orang yang lebih tua?
Kita sedih apabila melihat ada anak-anak muda yang tidak menegur sapa sesiapa sahaja yang berselisih bahu dengannya, lebih-lebih lagi jika orang itu lebih tua dan dikenalinya. Mereka berborak atau riuh bersembang hingga tidak mempedulikan orang lain di sekeliling.
Dalam keadaan sebegini, ibu bapa perlu bertindak memberikan tunjuk ajar kepada anak-anak. Jika lalu di hadapan orang tua, mereka perlu meminta izin dan sedikit membongkok. Jika hendak bersembang dengan kawan-kawan, perlahankan nada suara bercakap supaya tidak menganggu mereka dan sebagainya.
Kesolehan tidak boleh diwarisi sekalipun seseorang itu berbapakan ustaz atau guru agama. Antara kaedah membentuk anak soleh, ibu bapa perlu mendampingi anak-anak dan menjadi pendengar setia mereka. Ambil tahu apa yang anak-anak lalukan terutamanya apabila mereka ghaib dari pandangan mata ibu bapa. Jika kebaikan yang dilakukan, berikan pujian dan bersyukurlah atas kebaikan mereka.
Apabila anak-anak ada masalah dengan kawan-kawannya, ibu bapa perlu memberi bimbingan cara menghadapinya dengan kesabaran, bukannya mengajar anak-anak supaya menjadi seorang yang sombong, membenci, berani melawan dan sebagainya.
Apa yang penting, usahakanlah agar anak-anak kita menjadi orang yang baik. Kelak mereka menjadi mutiara untuk kita di dunia lebih-lebih lagi di akhirat sana yang kekal abadi.
Wallahua'lam.
Blogger Comment
Facebook Comment