Liwat Dan Hukumnya

Imam al-Zahabi menukilkan dalam al-Kaba’ir, riwayat Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Ada empat golongan manusia, mereka pada waktu pagi dan petang sentiasa berada dalam kemurkaan Allah dan kebencian-Nya.”

Para sahabat bertanya:-

“Siapakah mereka itu ya Rasulullah?”

Jawab Baginda:-

“Mereka itu ialah lelaki yang menyerupai wanita seperti pondan, wanita yang menyerupai lelaki, mereka yang mendatangi binatang dan lelaki yang melakukan liwat atau homoseks.” 
Hadith Riwayat at-Tabrani dan al-Baihaqi

Berdasarkan hadith di atas jelaslah betapa durjana dan ruginya mereka yang melakukan larangan Allah SWT sehingga mendapat kutukan dan kemurkaan-Nya. Pada kali ini kita bincangkan lagi secara khusus berkenaan dengan hukum liwat.

Hukum Liwat

Hukum liwat secara ijmak dan sepakat ulama’ bahawa ia termasuk dalam dosa besar.

Menurut pendapat fuqaha’ mazhab as-Syafi’e, dalam kitab Fiqh al-Manhaj menyebut:-
“Liwat adalah persetubuhan pada dubur baik yang disetubuhi itu lelaki mahupun perempuan. Menurut pendapat yang sahih, hukum perbuatan ini ialah hukum zina bagi pelaku sekiranya wujud bukti dan pengakuan. 

Sekiranya pelaku seorang muhsan (lelaki atau perempuan yang pernah berkahwin dengan nikah yang sah dan terpelihara daripada zina), dia akan direjam hingga mati. 

Sekiranya pelaku bukan muhsan, dia akan disebat sebanyak 100 kali sebatan dan dibuang negeri selama setahun.”
Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan janganlah kamu menghampiri zina. 

Sesungguhnya zina itu ialah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” 
Surah al-Isra’ 17:32
Firman Allah SWT yang menceritakan kisah kaum Lut dalam al-Quran yang bermaksud:-
“Patutkah kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?” 
Surah al-A'raf 7:80
Daripada Abu Musa, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Apabila seorang lelaki mendatangi seorang lelaki, mereka berdua adalah penzina.” 
Hadith Riwayat al-Baihaqi, jilid 8, halaman 233
Sementara orang yang diperlakukan pula, jika bukan isterinya sendiri, akan dibuang negeri sama seperti hukuman zina bukan muhsan, walaupun dia seorang lelaki atau perempuan muhsan.

Ini kerena tempat sasaran perlakuan ini (dubur) tidak melibatkan masalah muhsan atau tidak.

Menurut satu pendapat, perempuan yang muhsan akan direjam.

Menurut pendapat Imam as-Syafi’e RH, pelaku liwat dihukum bunuh berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh para penulis Sunan (Asbab al-Sunan) daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang kamu temui mengamalkan amalan kaum Nabi Lut, hendaklah bunuh pelaku dan yang diperlakukan.” 
Hadith Riwayat at-Tirmidzi no. 1456, Abu Daud no. 4462 dan Ibn Majah no. 2561
Terdapat pendapat mazhab lain selain mazhab Syafi’e yang menyebut pelaku liwat dibakar. Pendapat ini berpandukan hadith riwayat al-Baihaqi yang bermaksud:-
“Para sahabat Rasulullah SAW sependapat membakar pelaku dan yang diperlakukan.” 
Riwayat al-Baihaqi, jilid 8, halaman 233
Menurut al-Hafiz al-Munziri, pendapat bahawa hukuman para peliwat dibakar ialah pendapat empat khalifah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Ali bin Abu Talib, Abdullah bin Zubair dan Hisyam bin Abdul Malik.

Pendapat Fuqaha’ dan Mazhab Yang Lain

Dinyatakan di sini pelbagai pendapat ulama’ berkenaan dengan hukuman yang melakukan liwat:-

Pertama:

Jika peliwat itu  muhsan, hukumannya sama seperti had zina iaitu hendaklah direjam.

Jika bukan muhsan hendaklah disebat. Inilah pendapat jumhur ulama’, di mana sebahagian mereka menganggap ia menepati takrif zina seperti yang dinukilkan oleh Ibn Qudamah dalam al-Mughni, jilid 8, halaman 181.

Begitu juga pendapat al-Kharsyi daripada kalangan ulama’ Maliki yang menganggap hukuman zina pada syarak. (Lihat Mukhtasar Khalil, jilid 8, halaman 86)

Imam Ibn al-Qayyim menisbahkan pendapat ini kepada ramai ulama’ salaf seperti Ata’ bin Abi Rabiah, al-Hassan al-Basri, Sa’id bin al-Musayyab, Ibrahim al-Nakha’i, Qatadah, al-Auza’i, Imam as-Syafi’e pada zahir mazhabnya, Imam Ahmad dalam satu riwayat, Abu Yusuf dan Muhammad daripada kalangan mazhab Hanafi.

Kedua:

Hukumannya hendaklah dibunuh sama ada yang muhsan atau tidak.

Ini merupakan satu riwayat daripada mazhab Hambali bahkan yang paling sahih antara dua riwayat mereka, seperti kata Ibn al-Qayyim. Ia merupakan satu pendapat dalam kalangan ulama’ Syafi’e dan paling rajih dalam kalangan ulama’ Maliki. (Dr. al-Ghamidi, Uqbah al-I’dam, halaman 550)

Ketiga:

Tiada hukuman had yang ditetapkan dalam jenayah liwat sebaliknya hukuman tersebut berdasarkan takzir yang diserahkan kepada pendapat pemerintah. Inilah pendapat Abu Hanifah, Zahiriah dan satu pendapat dalam kalangan ulama’ Syafi’e.

Ibn al-Humam berkata:-
“Sesiapa yang melakukan amalan kaum Lut, maka tiada had ke atasnya di sisi mazhab Abu Hanifah tetapi hendaklah ditakzir dan dipenjara sehingga mati atau bertaubat. 

Jika dia mengulangi perbuatan tersebut, pemerintah bolehlah membunuh sama ada muhsan atau tidak berdasarkan siasah syar’iyyah.” 
Kitab Fath al-Qadir, jilid 5, halaman 262
Keempat:

Pelaku liwat hendaklah direjam jika muhsan dan disebat jika bukan muhsan.

Kepada yang dikenakan liwat direjam, sama ada muhsan atau tidak. Hal ini dinukilkan daripada Ibn Hazm kepada Abi Ja’far Muhammad bin Ali bin Yusuf, seorang ahli fiqh dalam mazhab Syafi’e. (Al-Muhalla, jilid 13, halaman 448)

Tarjih

Melihat pendapat para ulama’ dan dalilnya, ada yang mentarjihkan pendapat bahawa pelaku jenayah liwat hendaklah dibunuh sama ada muhsan atau tidak, kerana beberapa sebab:-

Kuat dan jelasnya dalil yang menunjukkan hendaklah dibunuh secara mutlak. 

Antara riwayat Ibn Abbas RA:-
“Sesiapa yang melakukan amalan kaum Lut, maka hendaklah dibunuh pelaku dan yang dilakukan ke atasnya.” 
Hadith Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibn Majah, Ibn al-Jarud, al-Hakim dan lain-lain. Al-Hakim berkata dalam al-Mustradak: Hadith ini sahih pada sanadnya.
Ijmak yang telah dinukilkan daripada ramai sahabat. Sekiranya tiada dalil kecuali dengan ijmak ini nescaya memadai. Apatah lagi dengan banyaknya dalil.


Cara Pelaksanaan Hukuman

Para ulama’ telah khilaf cara pelaksanaan hukuman bagi kesalahan liwat. Oleh kerana ditarjihkan hukuman mati, maka persoalan di sini, bagaimana cara perlaksanaannya?

1. Dibunuh dengan pedang seperti orang murtad

Pendapat ini dikemukakan oleh al-Syarbini daripada kalangan fuqaha as-Syafi’e dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj (jilid 4, halaman 144)

Imam al-Syawkani menisbahkan pendapat ini kepada Abu Bakar as-Siddiq RA dan Ali bin Abi Talib RA. (Nail al-Autar, jilid 7, halaman 132)

2. Direjam dengan batu hingga mati

Berdasarkan kepada beberapa dalil:-

a. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Pelaku amalan kaum Lut hendaklah direjam sama ada  yang di atas atau di bawah (peliwat dan yang diliwat).” 
Hadith Riwayat Ibn Abi Syaibah
b. Athar Ibn Abbas RA:-
“Bahawa hendaklah direjam.” 
Kitab Al-Muhala, jilid 13, halaman 447 dan Nail al-Autar, jilid 7, halaman 131
3. Dibakar dengan api

Berdasarkan riwayat al-Baihaqi dengan sanadnya daripada Muhammad Ibn al-Munkadir, bahawa Khalid bin al-Walid RA mengutuskan surat kepada Khalifah Abu Bakar as-Siddiq RA yang mendapati wujud amalan kaum Lut di perkampungan Arab yakni berkahwin seperti perkahwinan dengan wanita (melakukan liwat).

Lantas Khalifah Abu Bakar as-Siddiq RA mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat. Kenyataan paling tegas dikemukakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib RA, antara lainnya:-
“Ini merupakan dosa yang tidak pernah dilakukan kecuali satu umat, di mana Allah SWT azabkan mereka seperti yang kamu tahu. 

Kami berpendapat hendaklah dibakar dengan api dan para sahabat bersetuju atas pendapat tersebut.” 
Kitab Al-Sunan al-Kubra, jilid 8, halaman 232

Al-Hafiz Ibn al-Hajar, selepas menyebut athar ini berkata:-
“Ia amat dhaif dan jika ia sahih sudah pasti menjadi pemutus dalam berhujah.”
Mengikut riwayat al-Waqidi dengan sanadnya daripada Abdullah bin Abi Bakar bin Hazm katanya:-
“Antara lain Umar RA dan Ali RA berpendapat hendaklah dibakar dan selain mereka berpendapat hendaklah disebat. 

Kemudian Khalifah Abu Bakar as-Siddiq RA mengutuskan surat kepada Khalid bin al-Walid RA supaya dibakar dengan api dan Khalid RA melaksanakannya.”
4. Dilontarkan atau dicampakkan dari tempat tinggi

Ini berdasarkan riwayat daripada Abu Bakar as-Siddiq RA.

Begitu juga diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA ketika ditanya berkenaan hukuman had peliwat. Jawabnya:-
“Hendaklah dilihat pada tempat paling tinggi di sebuah tempat dan dicampak kepala dahulu dan direjam dengan batu.” 
Kitab Nail al-Autar, jilid 7, halaman 132 dan al-Muhalla, jilid 13, halaman 446
5. Dihumbankan ke dinding atau pagar besar ke atasnya

Pendapat ini dinisbahkan oleh al-Syawkani kepada Umar RA dan Uthman RA. Ibn Qayyim juga menisbahkan kepada Ali RA.

Tarjih

Melihat kepada perbuatan para sahabat dalam melaksanakan hukuman berkaitan liwat ini, pengarang kitab Uqubah al-I’dam cenderung menyerahkan hal ini atas pertimbangan pemerintah dan boleh dilaksanakan berdasarkan salah satu cara di atas.

Ini tidak lain semata-mata bagi menggerunkan orang ramai daripada terbabit dengan maksiat tersebut.


Golongan Yang Dilaknat

Penulis ingin mengemukakan sebuah hadith yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kaba’ir, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Tujuh golongan manusia dilaknat Allah SWT dan tidak melihat kepada mereka dengan pandangan ihsan dan rahmat pada hari kiamat, malah Allah SWT berfirman kepada mereka:-

‘Masuklah kamu ke dalam neraka bersama dengan mereka itu para peliwat, yang diliwat, yang berkahwin dengan binatang, yang berkahwin dengan ibu dan anak perempuannya dan yang melakukan onani. 

Semua mereka melakukan dosa mereka kecuali bertaubat.” 
Hadith Riwayat al-Dailami
Semoga Allah SWT  memelihara kita daripada perbuatan songsang dan tempang yang menyalahi agama dan arahan Allah SWT sehingga akhirnya melayakkan kita menghuni syurganya. 

Aamiiiin.

Wallahua'lam