Nama: Identiti Dunia Akhirat

Teksi dipandu laju membelah kawasan perumahan di pinggir Makkah. Ahmad, seorang anak muda yang baru kami kenali di al-Haram, hendak membawa kami menziarahi seorang tokoh alim di Makkah.

Saya sempat berta’aruf dengannya turut bertanyakan nama anaknya. Ahmad memberitahu dan bagi saya nama itu jarang didengari.

Lalu saya bertanya, apakah maksud nama tersebut. Ahmad kehairanan dan bertanya mengapa saya bertanya sedemikian. Menurut Ahmad, orang Arab ada koleksi nama yang berfungsi sebagai nama dan tiada maksudnya.


Berbeza dengan kita. Nama dan maksud begitu signifikan dalam masyarakat Melayu. Sudah menjadi budaya dalam masyarakat Melayu Islam untuk menamakan anak dengan bahasa Arab yang membawa maksud yang baik-baik.

Walaupun budaya itu sudah agak pudar dek kekreatifan ibu bapa moden, namun nama Muslim di Malaysia jauh berbeza dengan Muslim di Indonesia, walaupun serumpun dan seagama.

Lebih menarik, buku-buku nama untuk anak banyak terjual dan kandungannya menyenaraikan kalimah Arab yang dikatakan sesuai untuk dijadikan nama, walhal nama tersebut sebahagiannya tidak pernah digunakan oleh masyarakat Arab sebagai nama.

Lebih menarik, saya pernah ditanya oleh seseorang sama ada nama saya ini diambil daripada nama Allah SWT ataupun tidak. Dia menerangkan, sekiranya datang daripada nama Allah SWT, ayah saya sepatutya meletakkan Abdul dihadapan al-Adib.

Masya-Allah beruntunglah orang yang menghafal nama-nama Allah SWT yang mulia maka tidak perlulah dia bertanya sedemikian.

Seorang ustaz menegur seorang remaja yang bernama Muzani kerana dia berpendapat bahawa nama itu bermaksud “penzina”. Barangkali ustaz tersebut tidak tahu bahawa al-Muzani adalah nama salah seorang ulama’ dalam mazhab Syafi’e.

Lebih unik, masyarakat Melayu juga mengambil nama-nama tempat asal yang disandarkan pada nama ulama’ sebagai nama mereka seperti al-Bukhari di Uzbekistan. Subhanallah, semuanya ini adalah dalam rangka untuk memberikan nama yang terbaik kepada anak yang baru dilahirkan.

Tujuan Nama

Islam memandang mulia nama seseorang dan menjadikannya sebagai hak bagi setiap Muslim. Nama sangat signifikan kerana ia adalah pengenalan diri serta berkaitan dengan sabitan keturunan, nilai kehormatan dan maruah.

Bermula daripada penciptaan manusia, Allah SWT telah menamakan bapa manusia yang pertama dengan nama “Adam”.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: 



‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” 

Surah al-Baqarah 2:30
Dan nama ciptaan pertama itu diketahui melalui ayat berikut:-
“Dan Dia telah mengajarkan Adam, akan segala benda-benda.....” 
Surah al-Baqarah 2:31

Semenjak itu, setiap manusia yang lahir di dunia ini diberi degan nama sebagai pengenalan bagi dirinya dan sebagai pemeliharaan rantaian nasab atau keturunan. Ibn Qayyim menyatakan:-
“Sesungguhnya penamaan itu bertujuan untuk mengenali sesuatu dengan namanya. 



Ini kerana jika sesuatu itu tidak diketahui namanya, maka tidaklah dapat dikenal pasti identitinya.” 

Muhammad bin Abi Bakr Ayub al-Zar’i, Tuhfah al-Mawlud, jilid 1, halaman 111
Sehubungan itu, Islam menganjurkan nama yang baik diberikan kepada seseorang kerana nama itu akan dipanggil oleh Allah SWT pada hari akhirat sebagai pengenalan diri. 

Daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama bapa kamu. 



Maka perbaikilah nama-nama kamu.” 

Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4948
Hadith di atas menjadi hujah bahawa semua manusia pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama mereka dan nama bapa mereka, bukannya dengan nama ibu. 

Hadith yang menyatakan bahawa seseorang itu dipanggil dengan nama ibunya adalah hadith yang lemah yang tidak boleh dijadikan hujah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Qayyim

(Rujukan: Muhammad Shams al-Haq al-Azim Abadi, Auni al-Ma’bud, jilid 13, halaman 199)

Seruan Rasulullah SAW agar kita memperelokkan nama menggambarkan bahawa nama begitu penting di dunia dan akhirat.

Kreativiti Muslim Moden

Nama-nama yang dianjurkan dan disunnahkan adalah seperti Abdullah, Abdul Rahman dan nama para Nabi.

Ini diterangkan dalam beberapa hadith yang sahih seperti daripada Abi Wahab bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Dan nama yang paling dicintai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman.” 
Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4950
Juga autoriti daripada Abu al-Jasmi bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:-
“Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi.” 
Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4950
Daripada Jabir bin Abdullah al-Ansari, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Namakan dengan namaku, dan jangan engkau menggelar dirimu dengan gelaranku.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 2947
Namun, anjuran ini tidak lagi mendapat sambutan dalam masyarakat Melayu hari ini.


Suatu ketika dahulu sewaktu era kebangkitan Islam melanda tanah air, nama-nama ini begitu popular, malahan nama para sahabat turut diberikan kepada anak-anak.

Pada hari ini ibu bapa begitu kreatif dalam menamakan anak-anak mereka.

Saya sering mengunjungi wad pediatrik di hospital dan menjadi kegemaran saya untuk membaca nama-nama anak-anak kelahiran pasca millenium di papan kenyataan wad.

Jarang sekali untuk menemui nama-nama anak masa kini yang menepati kegemaran Allah SWT dan Rasul-Nya. Malahan, saya pernah menemui nama yang jika diterjemahkan daripada bahasa Arab membawa maksud yang tidak elok.

Nama-nama yang bermasalah pada maksudnya akan memberikan kesan pada diri anak tersebut.

Ibn Qayyim menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu diberikan nama yang buruk dan mempunyai maksud yang tidak baik, maka dia akan berkelakuan buruk juga kerana orang yang memanggilnya demikian.

(Rujukan: Muhammad bin Abi Bakr Ayub al-Za’ri, Tuhfat bi Ahkam al-Maulud, halaman 146)

Jadi penukaran nama adalah pilihan yang terbaik.

Selain itu, Ibn Qayyim dalam Zad al-Ma’ad menambah:-
“Memandangkan nama mempunyai maksud, makna tersebut akan memberi kesan kepada benda yang dinamakan, sama ada cantik atau buruk, ringan atau berat, sopan atau sombong.”
Selanjutnya, bagi masyarakat bukan Arab, tidak semestinya memberikan nama seseorang dalam bahasa Arab.

Prinsip Islam dalam menamakan seseorang ialah selagi mana maksud itu baik dalam apa bahasa sekalipun dan bersesuaian dengan persekitaran masyarakatnya dan tidak menjejaskan akidah, maka nama itu diterima.

Masyarakat Turki dan Cina Muslim mempunyai nama yang berasaskan bahasa mereka. Selagi maksudnya baik dan difahami oleh masyarakat, maka tiada keperluan untuk menukar nama.

Al-Mawardi dalam bukunya Nasihat al-Muluk menjelaskan:-
“Nama yang diberikan mestilah nama yang baik dan sesuai dengan latar belakang anak itu, iaitu hendaklah mengikut nama orang pada latar belakang, agama dan kedudukannya.”
Jika diteliti, para Nabi dan Rasul yang bukan berbangsa Arab menggunakan nama yang bukan daripada bahasa Arab tetap dalam bahasa asal mereka.

Sementelahan, hanya dua Nabi sahaja yang dinisbahkan kepada bangsa Arab, iaitu Nabi Ismail dan Nabi Muhammad SAW. Kemudiannya, al-Quran memasukkan nama-nama Nabi bukan Arab itu sebagai entri dalam bahasa Arab.

Cuma masih sudikah masyarakat Melayu menggunakan nama klasik Melayu (mungkin seperti Kuntum dan Panjang) pada hari ini?

Penukaran Nama

Para ulama’ mengharuskan kita menukar nama secara umumnya, dan menghukumkan ia adalah sunat jika hendak memperelokkan nama tersebut. Terdapat beberapa autoriti daripada Nabi SAW berkenaan penukaran nama yang tidak baik kepada yang lebih baik. 

Contohnya adalah:-


Pepatah Yang Benar

Pepatah Melayu ada mengatakan, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Nama yang baik akan mudah diingati oleh sesiapapun, sama ada semasa hidup ataupun sesudah seseorang itu meninggal dunia.

Malahan, nama itu juga yang aka dipanggil oleh Allah SWT di akhirat nanti.

Jika nama sudah sedemikian baik diberikan, mengapa perlu diganti dengan nama timangan atau panggilan yang tidak menggambarkan maksud sebenar?

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment