Tahu Mengenai Alam Ghaib

Seringkali wujud beberapa dakwaan tentang alam ghaib. Kadang-kadang melalui mimpi, pertemuan secara jaga, ilmu laduni yang datang terus daripada ilham Ilahi dan sebagainya.

Bagaimana sikap seorang Muslim dalam menghadapi dakwaan terhadap perkara-perkara ghaib? 

Adakah ia perlu diterima bulat-bulat atau ditolak mentah-mentah

Ramai Muslim yang takut iman mereka rosak jika tidak menerima dakwaan perkara ghaib. 

Tidakkah beriman dengan hari kiamat merupakan satu dakwaan bagi alam ghaib? 

Barangkali itu antara hujah mengapa dakwaan perkara ghaib wajib diyakini, ramai juga mudah mempercayai dakwaan perkara ghaib sehingga berlaku banyak penambahan dalam agama Islam yang murni.

Kemampuan Terhad

Kemampuan insan terbatas

Apakah insan mampu melihat sesuatu yang jaraknya jauh beberapa kilometer? 

Apakah insan mampu melihat benda yang ada di sebalik bangunan, bukit dan sesuatu? 

Apatah lagi kalau mata tersebut rabun. Bahkan ada insan yang tidak mampu membaca tulisan yang dekat dengannya kerana rabun dekat. Begitulah keterbatasan seorang insan

Bagaimana pula dengan pendengaran?

Adakah seorang insan mampu mendengar suara bisikan dengan jelas? 

Adakah seorang insan mampu menangkap suara percakapan dari jarak yang jauh?

Dalam aspek pergerakan, insan juga mempunyai kuasa pergerakan yang terbatas. Insan tidak mampu bergerak selaju kereta, motorsikal apatah lagi kapal terbang. Ilmu insan juga amat terbatas.

Dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan antara sifat seorang Nabi ialah ketidakmampuannya mengetahui perkara ghaib. Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Katakanlah (wahai Muhammad)” “Bahawa aku tidak mendakwa kepada kamu bahawa di sisi daku khazanah harta daripada Allah, dan aku (tidak berkata bahawa aku) mengetahui perkara ghaib dan aku tidak berkata aku ialah malaikat.” (surah al-An’am 6:50)

Allah SWT disifatkan dengan mengetahui perkara ghaib. Segala perkara ghaib dalam lingkungan ilmu Allah SWT. Ini kerana Allah SWT bersifat al-‘Alim iaitu Yang Maha Mengetahui. Al-Quran menjelaskan yang bermaksud:-

“Dialah Allah Yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan perkara yang nyata.” (surah al-Mu’minun 23:92)

Nabi Menerima Wahyu

Nabi Muhammad SAW menjelaskan banyak perkara ghaib. Perkara ghaib yang akan berlaku dijelaskan satu persatu sebagaimana yang terpampang dalam riwayat-riwayat hadith. Peristiwa akhir zaman, peristiwa ketika kiamat akan berlaku dan sebagainya adalah perkara ghaib yang dijelaskan oleh Nabi SAW. Begitu juga dengan alam akhirat.

Bagaimana Nabi SAW menjelaskan tentang azab kubur dan nikmat kubur? 

Bagaimana Nabi SAW menceritakan persoalan tentang padang Mahsyar, hisab, titian Sirat, syurga dan neraka? 

Bagaimana Nabi SAW menjelaskan tentang sifat para malaikat dan sebagainya? 

Bagaimana Nabi SAW mengetahui perkara ghaib sedemikian rupa?

Tidak lain tidak bukan adalah kerana Baginda SAW ialah Nabi dan Rasul utusan Allah SWT. Sebagai Rasul Allah SWT, Nabi SAW menerima wahyu. Al-Quran menjelaskan tentang kisah-kisah silam sebelum Nabi SAW melalui firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Itu adalah berita-berita ghaib yang mana kami wahyukannya kepada engkau.” (surah Hud 11:49)

Antara sifat Nabi SAW adalah menurut apa yang diwahyukan. Nabi SAW tidak menambah melainkan sekadar apa yang ada di dalam wahyu. Bagaiman Nabi SAW boleh menambah apa-apa sedangkan Nabi SAW tidak mengetahuinya. Al-Quran menerangkan tentang hal ini:-

“Katakanlah (wahai Muhammad)” “Bahawa aku tidak mendakwa kepada kamu bahawa di sisi daku khazanah harta daripada Allah, dan aku (tidak berkata bahawa aku) mengetahui perkara ghaib dan aku tidak berkata aku ialah malaikat.” (surah al-An’am 6:50)

Dikisahkan seorang lelaki datang berjumpa Nabi SAW. Beliau meminta Nabi memberitahu apakah yang ada di dalam genggaman tangannya. Nabi SAW tidak mampu menjawab apa yang ada di dalam genggaman tangan lelaki tersebut kerana ia adala perkara ghaib yang tidak mampu dilihat oleh mata.

Jin Pun Tidak Tahu

Nas al-Quran menjelaskan bahwa para jin yang berkhidmat dengan Nabi Sulaiman AS pun tidak mengetahui kematian Nabi Sulaiman AS. Jin hanya mengetahuinya apabila tongkat Nabi Sulaiman AS muai reput dimakan serangga.

Allah SWT berfirman berkenaan hal ini yang bermaksud:-

“Maka apabila Kami tetapkan kematian bagi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka atas kematiannya kecuali serangga yang memakan tongkatnya. Maka apabila ia tersungkur, nyatalah bagi para jin bahawa sekiranya mereka mengetahui perkara ghaib tentulah mereka tidak berada di dalam seksaan yang menghinakan.” (surah Saba’ 34:14)

Bayangkan para jin yang ramai pun tidak mengetahui kematian Nabi Sulaiman AS sedangkan Nabi Sulaiman berada di hadapan mereka. Bagaimana dengan alam ghaib yang jauh daripada penglihatan mata kita?

Macam-Macam Dakwaan Perkara Ghaib

Hari ini kita dapati pelbagai macam rentak manusia yang mendakwa perkara ghaib. Ada yang mendakwa bahawa kiamat akan berlaku pada tahun sekian dan sekian. Ada insan yang membuat dakwaan bahawa Imam Mahdi akan muncul beberapa tahun lagi lalu beliau akan memimpin tangan Imam Mahdi untuk diisytiharkan kepada penduduk Bumi. Ada dakwaan bahawa Nabi Muhammad SAW telah datang berjumpa dengannya dan menyampaikan beberapa ketetapan hukum syarak baru yang sudah tidak sesuai.


Ada dakwaan bahwa seorang tuan syeikh mengetahui tarikh kematian seseorang. Tuan syeikh juga boleh diminta untuk berunding dengan malaikat yan mencabut nyawa agar kematiannya ditangguhkan beberapa tahun. Tujuannya agar seseorang itu sempat bertaubat dan melakukan amal ibadah. Ada dakwaan bahawa seseorang tuan kiai tahu nasib seseorag di alam akhirat sama ada ahli syurga atau ahli neraka. Dengan pertolongan tuan kiai, nasib celaka boleh diubah menjadi nasib bahagia.

Adakah aqidah Islam yang murni mengiktiraf perkara sedemikian?

Sudah tentu tidak. Ia adalah alam ghaib. Nabi SAW sendiri tidak tahu nasib para sahabatnya melainkan beberapa orang sahaja. Apabila berlaku kematian seorang sahabat lelaki bernama Uthman bin Maz’un, seorang wanita bersumpah bahawa Allah SWT telah memuliakan Uthman. Nabi SAW menegur wanita tersebut dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud:-

“Adapun Uthman, keyakinan maut telah datang kepadanya. Dan saya mengharapkan baginya akan kebaikan.”

Mudah untuk membuat pelbagai dakwaan tentang perkara ghaib apabila sikap ta’asub sudah mendarah daging dalam diri para pengikut. Sikap ta’asub adalah sikap yang terpesong daripada ilmu.

Oleh sebab itu, patut dan wajar kita sebagai umat Islam berwaspada dan berhati-hati dengan dakwaan tentang perkara-perkara ghaib. Jangan mudah percaya. Biarlah al-Quran dan riwayat hadith yang sahih menjadi hakimnya.

Wallahua'lam.