Trend 'Taqrabu al-Zina' Sebelum Bernikah

Bayangkan seekor harimau dengan ganasnya menerkam masuk ke dalam rumah kita. Giginya menyeringai, kuku-kukunya tajam mencengkam. Lalu, apa yang terjadi?

Sudah tentu ramai antara kita yang akan bertempiaran lari, menjerit, bertakbir, menyorok di bawah katil, mengunci diri di dalam bilik mandi dan ada juga yang terus pengsan.

Sekarang, bayangkan pula seekor nyamuk terbang masuk ke dalam rumah kita. Apa pula yang terjadi?

Ia akan terbang bebas ke hulu dan ke hilir. Ramai yang buat tidak tahu sahaja. Hati akan berbisik, ‘Apalah yang perlu ditakutkan dengan seekor nyamuk. Ianya cuma seekor.'

Jelas, semua orang  takut kepada sesuatu yang besar kerana ia kelihatan berbahaya namun tidak takut kepada sesuatu yang kecil. Sedangkan, jika dibandingkan nisbah kematian disebabkan dibaham harimau dengan kematian disebabkan oleh gigitan nyamuk, mana yang lebih ramai?

Bandingannya mudah. Berapa kali setahun secara anggaran akhbar memaparkan berita tentang orang yang menjadi mangsa Pak Belang? Berapa kali pula dilaporkan berita tentang penyakit demam denggi, malaria, Japanese Encephalitis, untut dan sebagainya yang semuanya berpunca daripada gigitan nyamuk?

Begitulah analogi yang boleh dikaitkan dengan fenomena zina pada hari ini. Semua orang takut dan bencikan zina. Ia dianggap perkara besar dan berbahaya.

Namun ramai yang tidak takut pada perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina. Ia sering dianggap kecil dan dipandang remeh. Tiada sensitiviti untuk menghindarinya. Akibatnya, yang kecil ini membawa kepada kemusnahan yang lebih besar dalam hidup seseorang.

Tidak hairanlah al-Quran menyuruh supaya berawas terhadap perkara yang dianggap kecil itu. Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-buruk jalan.” (surah al-Isra’ 17:32)

Nyamuk-Nyamuk Ikhtilat

SMS, panggilan telefon, dating, chatting dan bermacam-macam lagi bentuk fitnah komunikasi tanpa urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah antara jalan-jalan menghampiri zina. Ia ibarat nyamuk-nyamuk ikhtilat yang boleh menjunamkan seseorang kepada penyakit berbahaya.

Apakah itu ikhtilat?

Ikhtilat ialah pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Dalam Islam, asal pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram, “al-asl fi al-ikhtilat haram” (asal hukum dalam urusan percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram ialah haram).

Namun jika atas dasar urusan dan kerja, maka interaksi antara lelaki dan perempuan bukan mahram menjadi harus. Kaedah syarak tentang asal hukum muamalat adalah “al-asl fi al-muamalat al-ibahah” (asal hukum berkaitan muamalat ialah harus).

Ini disokong pula oleh kaedah syarak yang menyebut, “al-darurah tubihu al-mahzurat” yang bermaksud darurat membolehkan apa-apa yang dilarang. Urusan antara lelaki dan perempuan pada hari ini tidak dapat dinafikan adalah suatu keperluan atau disebut darurat.

Namun, keharusan ini tidak dilepaskan sebebas-bebasnya, sebaliknya ada adab, akhlak dan batasan yang memagarinya. Kaedah syarak yang lain menyebut, “al-darurah tuqaddaru bi qadariha” (darurat diukur dengan kadarnya).

Masalahnya, ramai orang yang beralasankan “urusan” untuk menghalalkan ikhtilat terlarang. Panggilan telefon, SMS, dating dan chatting tanpa urusan kian membarah sebagai budaya. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “urusan”?

Urusa adalah sesuatu yang apabila dibentangkan di hadapan Allah SWT, kita yakin kita mampu menjawab dan berhujah bahawa ia adalah urusan, maka itulah yang dinamakan urusan. Jika hati masih berasa was-was sama ada ia suatu urusan atau tidak, maka berawaslah.

Daripada al-Nawwas bin Sam’an RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:-

“Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu adalah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya.” (HR Muslim)

Daripada Wasibah bin Ma’bad RA, beliau berkata:-

“Aku menemui Rasulullah SAW lalu Baginda bersabda yang bermaksud:-

‘Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan?’

Aku menjawab:-

‘Ya.’

Baginda bersabda yang bermaksud:-

‘Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati berasa tenang tenteram terhadapnya dan dosa itu adalah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan rasa teragak-agak di hati , sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu.’” (HR Ahmad dan al-Darimi, Hadith hasan)

Cinta Fitnah

Cinta yang asalnya suci dan bersih boleh tercemar apabila disalurkan kepada jalan-jalan yang mendekati zina.

Berkata Profesor Syeikh Yusuf al-Qardawi apabila ditanya tentang cinta sebelum bernikah:-

“Saya ingin tegaskan apa yang sering saya katakan. Saya tidak menyetujui apa yang dilaungkan segolongan orang tentang pentingnya bercinta sebelum berkahwin kerana cara seperti ini dikhuatiri mengundang bahaya dan terjebak dalam syubhat.” (Wanita dalam Fikih al-Qaradawi)

Kata beliau lagi:-

“Ramai orang mula bercinta dengan cara yang tidak benar seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan bicara yang sia-sia. Ia sering kali dilakukan oleh anak-anak muda ketika waktu kosong atau bosan. Berpacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh remaja puteri dan ini biasa berlaku dalam rumah tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik oleh si remaja mahupun ibu bapanya. Awalnya memang cuba-cuba tetapi kemudian ketagihan. Awalnya sekadar suka-suka tetapi akhirnya serius.”

Menghampiri zina semakin menjadi trend muda-mudi malah orang dewasa sekalipun. Rasulullah SAW telah mengingatkan melalui sabda Baginda SAW yang bermaksud:-

“Kecintaan kamu kepada sesuatu boleh membuatkan kamu buta dan tuli.” (HR Ahmad)

Amat jarang kedengaran pergaulan antara lelaki dan perempuan bermula dengan perbuatan yang “berat-berat” terus. Ia biasanya dimulai dengan yang “ringan-ringan” dahulu atau apa yang disebut sebagai menghampiri zina.

Ingat pesan Nabi Muhammad SAW:-

“Mata itu berzina dan zinanya dengan memandang (tanpa keperluan). Lisan itu berzina dan zinanya adalah dengan bercakap (yang sia-sia, lucah dan sebagainya). Kaki itu berzina dan zinanya adalah dengan melangkah (untuk bermaksiat). Tangan itu berzina dan zinanya adalah dengan merangkul (untuk bermaksiat). Hati itu berkeinginan dan berangan-angan. Faraj yang kemudian membenarkan atau mendustakannya.” (HR al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)


Remaja Yang Dikagumi Allah SWT

Cinta fitnah yang tersalut ke jalan-jalan menghampiri zina ini tidak ke mana. Orang yang memilih cara ini hanya memilih untuk disakiti dan dikecewakan sama ada di dunia, akhirat atau kedua-duanya sekali.

Allah SWT mengingatkan kita dalam firman-Nya yang bermaksud:-

“Teman-teman kesayangan pada hari itu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali kecuali orang yang bertaqwa.” (surah al-Zukhruf 43:67)

Sama-samalah menjadi remaja yang memelihara kesucian diri. Remaja yang membina kualiti fardhu Muslim, insya-Allah akan dianugerahkan oleh Allah SWT dengan Baitul Muslim. Baitul Muslim ini pula akan mencorakkan satu generasi masa depan yang hebat untuk membina masyarakat Muslim seterusnya negara dan khilafah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

“Allah berasa takjub kepada pemuda yang tiada baginya rindu yang cenderung kepada kebodohan.” (HR Ahmad)

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment