Hari Wanita Sedunia (IWD) disambut setiap 8 Mac saban tahun menandakan sebuah perjalanan yang panjang dan berliku dalam sejarah perjuangan wanita sebagai golongan yang membentuk 50% populasi dunia.
Saya petik tema utama IWD pada tahun 2011 yang dipaparkan di laman web Suruhanjaya Mengenai Status Wanita (Commision on the Status of Women – CSW), Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyentuh aspek peluang dan pembabitan wanita dalam pelajaran, latihan, sains dan teknologi sebagai wahana mempromosi kesaksamaan dalam keupayaan wanita memperoleh pekerjaan yang sewajarnya.
Sekiranya dianalisis dengan teliti tema-tema IWD yang telah dikemukakan sepanjang sekurun ini, tidak sukar untuk meneka ideologi feminisme yang menjadi akar tunjang dan dasar dalam banyak polisi CSW yang diadaptasi untuk diterima pakai oleh negara-negara anggora PBB seluruh dunia.
Secara umumnya, golongan feminis radikal berpandangan bahawa penindasan dan diskriminasi yang berlaku ke atas wanita di serata dunia berpunca daripada penafian hak asasi wanita dalam mendapatkan pendidikan dan penjagaan kesihatan sempurna sehingga menjadikan mereka tidak berupaya menjawat sebarang jawatan yang baik di luar rumah. Akhirnya wanita dan kanak-kanak perempuan terpaksa bergantung hidup kepada bapa, suami dan anggota lelaki di dalam keluarga untuk menyara hidup mereka.
Kemunduran dan kemiskinan yang membelenggu, menyebabkan sumber asas terbatas dan pengagihan sumber seringkali meminggirkan wanita ke taraf paling bawah dalam hierarki sosial. Keadaan wanita dikatakan akan bertambah baik sekiranya mereka mendapat pelajaran asas, penjagaan kesihatan yang baik dan kelayakan menjawat pekerjaan yang menjanjikan pulangan ekonomi yang sewajarnya. Apabila wanita mempunyai kuasa membeli yang lebih, didapati tahap kehidupan keluarga keseluruhannya akan meningkat dan membuka semakin banyak peluang kepada generasi selepas itu.
Mengukur Kejayaan Emansipasi Wanita
Kejayaan perjuangan emansipasi atau pembebasan wanita daripada penindasan dan diskriminasi diukur melalui peratusan wanita yang terlibat terus dalam pasaran pekerjaan (job market) dan guna tenaga sesebuah negara.
Di Malaysia, peratusan ini meningkat dengan ketara semenjak 30 tahun kebelakangan ini. Dengan meningkatnya tahap pendidikan dan kelayakan wanita, semakin ramai yang menceburi arena kerjaya dibandingkan dengan generasi wanita yang lalu.
Merujuk kepada dokumen Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) yang menggariskan perancangan ekonomi negara dari tahun 2011 hingga tahun 2015, dalam segmen “Menyusun semula pasaran pekerjaan”, antara perkara yang akan diberikan penekanan adalah “meningkatkan tenaga kerja wanita daripada 46% pada tahun 2010 kepada 55% paa tahun 2015”.
Dalam segmen “membina masyarakat yang lebih progresif dan inklusif” pada dokumen yang sama, antara perkara utama yang juga disenaraikan adalah “memperkasa wanita merupakan agenda penting dengan meningkatkan jumlah pembuat keputusan, tenaga kerja, bantuan untuk ibu tunggal dan wanita yang berpendapatan rendah” dan juga “menghapuskan semua bentuk diksriminasi terhadap wanita”.
Apa yang boleh disimpulkan daripada ketentuan ini, jelas bahawa kayu ukur kejayaan memperkasa wanita akan diukur daripada bilangan seramai mana wanita yang menjawat jawatan di luar rumah.
Persoalan yang pasti akan timbul daripada sesebuah pemikiran yang kritis, adakah peratusan pembabitan wanita dalam pasaran buruh merupakan indeks bacaan yang tepat bagi mengukur sejauh mana kejayaan mereka?
Adakah kemampuan ekonomi menjadi satu-satunya pengukur utama pencapaian wanita dalam perjuangan mendapatkan keadilan dan hak asasi mereka?
Tidak dapat dinafikan, keupayaan daya beli yang tinggi menjadikan wanita mampu bersaing dan tidak sentiasa hidup bergantung kepada belas kasihan serta ihsan lelaki yang hadir dalam kehidupan mereka semata-mata.
Malahan, menurut satu analisis, ‘gender metric’ yang dinyatakan dalam artikel khas majalah ‘Newsweek’, sempena Hari Wanita Sedunia 2011 yang diterbitkan lalu, wanita yang bekerja secara umumnya memperuntukkan dua kali ganda lebih banyak daripada bahagian gaji mereka untuk perbelanjaan isi rumah jika dibandingkan dengan lelaki. Dalam buku ‘She Works, He Works’ yang ditulis oleh Rosalind C. Barnett dan Caryl Rivers, mengatakan sebuah keluarga di mana kedua-dua ibu dan bapa yang mempunyai kerjaya di luar rumah, mempunyai indeks kebahagiaan, kesihatan dan kemampuan ekonomi yang lebih tinggi.
Kemelut Wanita Mandiri
Wanita mula melihat kerjaya di luar rumah sebagai satu cara memperoleh jaminan masa depan yang lebih menyakinkan. Wanita yang mandiri di dapati mempunyai tahap keyakinan diri yang lebih tinggi dan mempunyai daya pemikiran yang lebih terbuka disebabkan interaksi yang meluas.
Kemahiran ini memberi nilai tambah kepada keluarga yang berada di bawah jagaannya. Walau bagaimanapun, fitrah wanita yang cenderung kepada aspek pengurusan keluarga dan penjagaan anak-anak, tetap menjadi keutamaan yang perlu dikendalikan sebaik mungkin. Oleh sebab itu, wanita yang memilih untuk bekerja di luar rumah harus mempunyai kemahiran yang lebih tinggi dalam mengurus diri, emosi, kerjaya, keluarga, penjagaan anak-anak dan hal ehwal rumah tangga yang lain.
Sebagaimana manusia biasa, ada daripada kalangan wanita yang berkemampuan memikul tugas berat ini, dan dalam masa yang sama, ramai juga yang tidak mempunyai keupayaan mengimbangi semua tuntutan yang tergalas di bahu seorang wanita bekerjaya dan berkeluarga sekaligus. Tanggapan biasa hari ini seolah-olah mengatakan semua wanita mesti bekerja di luar rumah, membawa satu anjakan besar dalam paradigma masyarakat semasa.
Mahu tidak mahu, banyak aspek yang perlu diambil kira khususnya soal penjagaan anak-anak, urusan seharian dalam rumah dan yang paling rumit, aspek perbelanjaan isi rumah.
Ramai wanita yang bekerja hari ini, turut menyumbang dalam kewangan keluarga. Dengan kos hidup yang semakin meningkat, sumbangan isteri banyak meringankan beban tanggungan suami. Keadaan ini telah mencipta satu suasana saling bergantung yang boleh membawa kepada keharmonian hubungan, asalkan kedua-dua belah pihak sentiasa saling menghargai, menghormati dan memahami.
Seringkali berlaku perkongsian yang adil dan saksama mengakibatkan ketegangan dan pergeseran yang berlanjutan. Dalam fasa awal kehidupan keluarga, ketika sama-sama mengumpulkan harta sepencarian, banyak pertimbangan dibuat atas dasar kasih sayang, kepercayaan dan harapan. Namun apabila hutang piutang semakin banyak mengelilingi pinggang dan keperluan semakin meningkat, tekanan hidup juga bertambah. Wanita yang kini terbeban dengan tanggungan ekonomi mula merasai tekanan yang hebat dan seringkali kehilangan punca. Ditambah pula dengan sikap kurang tanggungjawab dan kualiti amanah segolongan suami, hari ini kita menyaksikan begitu ramai wanita yang terperangkap dalam kemelut materialistik.
Wanita mendapati mereka tiada pilihan dan terpaksa keluar bekerja demi menyara diri, keluarga dan membayar semua hutang piutangnya.
Pilihan Buat Wanita
Nampaknya, peratusan tinggi kaum wanita berada dalam pasaran buruh yang begitu dibangga-banggakan hari ini, tidak menggambarkan kesejahteraan yang hakiki bagi wanita. Sebaliknya wanita moden kembali tiada pilihan. Kalau dahulu, kaum wanita tidak dapat meningkatkan potensi dan keupayaan diri lantaran kejahilannya, rendah tahap kesihatan dan kemiskinannya, hari ini wanita tidak mampu lagi untuk memilih tinggal di rumah menjaga anak-anak, keluarga dan rumah tangganya. Ramai suami tidak akan bersetuju sekiranya isteri mereka membuat keputusan untuk berhenti kerja dan memberikan tumpuan kepada anak-anak dan rumah tangga, lantaran betapa menyusutnya pendapatan keluarga tanpa kehadiran gaji isteri.
Islam menggariskan satu asas ketetapan yang jelas dalam pembahagian tanggungjawab menyara keluarga, di mana kaum lelaki menjadi pelindung dan pembela kehidupan para wanita sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran, mafhumnya:-
“Kaum lelaki adalah qawwam (pembela, pelindung dan penyara) bagi kaum wanita.” (surah an-Nisa’ 4:35)
Dalam konteks ini, bukanlah bermaksud lelaki harus mengurung wanita di dalam rumah semata-mata. Sebaliknya, mereka harus mampu mewujudkan satu persekitaran yang kondusif, selamat dan sejahtera bagi membolehkan wanita menerokai potensi mereka sejauh mungkin dan menyumbang kepada masyarakat. Pada masa yanng sama, tidak terlepas daripada tanggungjawab suami untuk menyara keluarganya sekalipun si isteri berkerjaya.
Semoga kehidupan kita terus berada dalam lembayung rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan meningkatkan motivasi untuk hidup dengan garis panduan yang diperincikan melalui syariat-Nya. Aamiin.
Wallahua'lam.
Blogger Comment
Facebook Comment