Bilakah Perlu Bersabar?

Sabar itu bukan sekadar tertakluk ketika menghadapi musibah sahaja. Jika ditanya bila kita perlu bersabar, maka fahamilah dahulu pembahagian sabar berikut.


Syeikh Abdul Qadir Isa dalam Haqa’iq al-Tasawuf menukilan pandangan para ulama’ terhadap pembahagian jenis-jenis sabar, iaitu:-

1. Sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada-Nya
2. Sabar dalam meninggalkan larangan-Nya
3. Sabar dalam menerima ujian dan musibah daripada-Nya

Jadi sabar dituntut ketika menghadapi ketiga-tiga situasi di atas.

Pertama: Sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada-Nya

Ia bermaksud seseorang hamba itu sentiasa istiqamah dalam mentaati-Nya dengan segenap penyerahan zahir dan batin, melaksanakan amar makruf dan melarang kemungkaran, serta sentiasa bersabar ketika menghadapi segala rintangan sepanjang ketaatan itu dilaksanakan. Bukankah setiap manusia yang melaksanakan ketaatan pasti akan diuji dengan pelbagai musibah dan dugaan?

Firman Allah SWT yang menukilkan nasihat dan pesanan Luqman Hakim kepada anak-anak nya, yang bermaksud:-

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan serulah kepada kebaikan, serta cegahlah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala yang menimpamu.” (surah Luqman 31:15)

Kedua: Sabar dalam meninggalkan larangan-Nya

Ia bermaksud seseorang hamba itu berjihad melawan hawa nafsu yang sentiasa cenderung memperhambakan diri kepada selain-Nya. Dengan mujahadahnya itu, seseorang hamba akan berusaha membersihkan jiwanya daripada bisikan syaitan dan nafsu ke dalam jiwanya sehinggalah ia sampai kepada kurniaan janji-Nya yang benar, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:-

“Dan orang yang berjuang untuk (mencari redha) Kami, benar-benar akan Kami pimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.” (surah al-Ankabut 29:69)

Bahkan Allah SWT menganugerahkan kepadanya syurga yang dijanjikan untuk orang yang sabar dalam meninggalkan larangan sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:-

“Dan bagi mereka yang takutkan keadaan semasa berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalannya), serta ia menahan dirinya daripada menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempatnya.” (surah an-Nazi’at 79:40-41)

Ketiga: Sabar Menghadapi Musibah

Ia adalah apabila seseorang hamba itu menyedari bahawa dunia ini hanyalah tempat ujian dan cubaan daripada Allah SWT serta bersifat sementara. Ia juga merupakan satu tarbiah bagi hamba agar menyedari hakikat kehambaan serta betapa lemahnya manusia yang tertakluk kepada kudrat dan iradat Allah SWT semata-mata.

Mafhum  firman-Nya:-

“(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.’” (surah albaqarah 2:156)

Benarlah kata ahli sufi terkenal, Zunnun al-Misri:-

“Sabar aalah dengan menjauhi perkara-perkara maksiat, tetap tenang dalam menghadapi musibah dan menzahirkan kekayaan saat kefakiran dalam medan kehidupan.”

Inilah pembahagian sabar menurut para ulama’ tasawwuf sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Abdul Qadir Isa.


Zunnun al-Misri dan Sahabat Sufi

Ketika Zunnun al-Misri menziarahi seorang ahli sufi yang sedang terlantar sakit, ia terdengar daripada mulut sufi itu rintihan. Maka berkata Zunnun kepadanya:-

“Tiada hakiki cinta seseorang hamba kepada-Nya apabila dia tidak bersabar atas pukulan-Nya.”

Seketika itu juga sufi itu menjawab:-

“Yang sebenarnya ialah tidak hakiki cinta seseorang hamba kepada-Nya apabila dia tidak menikmati pukulan-Nya.”

Kesempurnaan Sabar Nabi Muhammad SAW

Bahkan jika kita selami kesabaran mereka yang telah melalui ujian demi ujian daripada Allah SWT ini sebenarnya terhasil daripada kefahaman mereka terhadap sifat kesabaran yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW.

Ibn Mas’ud RA menyatakan:-

“Seolah-olah aku melihat sendiri (dengan mataku) bagaimana saat Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang Nabi yang dipukul oleh kaumnya sehingga darah mengalir dari wajahnya. Sambil mengesat wajahnya yang berlumuran dengan darah, Nabi itu mengucapkan: ‘Ya Allah, kurniakanlah keampunan kepada kaumku. Seungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Subhanallah!

Betapa sempurnanya kesabaran yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW dalam menerima ujian daripada Allah SWT. Segala kepahitan dan rintangan dihadapi dengan redha dan tabah demi menggapai anugerah yang dijanjikan oleh-Nya. Bukankah di sebalik setiap kesukaran itu pasti ada kemanisan yang menunggu?

Bersabarlah!

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment