Penyakit Hasad : Hijab Kemajuan Insan

Ahli perniagaan dalam kalangan orang Melayu amat sedikit berbanding orang Cina, bahkan orang India. Bangsa Melayu juga tidak boleh maju dalam perniagaan dan bidang-bidang lain berbanding bangsa lain. Inilah realiti yang dapat dilihat hari ini walaupun peluang ke arah itu sudah dibuka oleh kerajaan.

Mengapa keadaan ini boleh berlaku sedangkan orang Melayu terlalu banyak peluang untuk berjaya dalam apa-apa bidang yang mereka mahu?

Adakah orang Melayu belum mahu bangun daripada ‘tidur yang nyenyak’?

Tidak dinafikan ada yang masih tidur, tetap berdasarkan perkembangan muktahir ini, sudah ramai orang Melayu menceburkan diri dalam perniagaan terutama dalam bidang perusahaan dan industri makanan. 

Namun dalam keghairahan itu ada juga yang berjaya dalam perniagaan untuk beberapa ketika sahaja, kemudian terpaksa ditutup. Dan ada juga terpaksa berhadapan dengan persaingan perniagaan yang sama dalam kawasan yang sama dan akhirnya terpaksa gulung tikar. Sesetengah pihak mendakwa semua ini angkara hasad dengki. Benarkah orang Melayu suka menyimpa perasaan hasad?

Dalam artikel ini, saya tidak berminat untuk membincangkan sama ada benar atau tidak sikap orang Melayu begitu. Tetapi kalaulah benar orang Melayu bersikap begitu, saya ingin mengajak anda semua bermuhasabah dan menghapuskannya.

Kenapa?

Ini kerana hasad boleh menyekat kemajuan Islam dan umatnya.

Peringatan Rasulullah SAW

Dalam sejarah manusia, hasad dengki bermula daripada rasa cemburu kerana tidak dapat memiliki apa-apa yang dimiliki dan dinikmati orang lain. Inilah yang berlaku kepada Habil dan Qabil. Begitu juga yang berlaku kepada saudara-saudara Nabi Yusuf AS, kerana iri hati atas perhatian bapa mereka terhadap Nabi Yusuf AS, mereka bertindak ‘menghilangkan’ adik mereka dari hidup bapa mereka.

Penyakit ini  terus berlaku dari zaman ke zaman hingga sampai ke zaman Rasulullah SAW. Penyakit ini masih berlaku selepas kewafatan Baginda SAW. Berdasarkan perkara itu, penyakit hasad dengki ini bukanlah penyakit orang Melayu sahaja. Persoalannya sekarang, bolehkah penyakit dihapuskan?

Terdapat banyak hadith yang memberi pesanan dan peringatan mengenai hasad ini.

Antaranya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:-

“Ingatlah bahawa setiap nikmat Allah SWT ada musuhnya”

Baginda SAW ditanya:-

“Siapakah musuh-musuh nikmat Allah SWT itu, ya Rasulullah?”

Jawab Rasulullah SAW:-

“Musuh tersebut ialah mereka yang dengki terhadap nikmat kurniaan Allah SWT yang diberikan kepada manusia lain. (HR at-Tabrani)

Dalam hadith yang lain, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:-

“Hendaklah kamu jauhi hasad dengki kerana sesungguhnya hasad dengki memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu.” (HR Abu Daud)


Selamatkan Umat Islam

Kalau peratusan umat Islam yang terlibat dengan penyakit hasad ini besar, satu usaha bagi menyelamatkan umat ilam perlu dilakukan segera. Walaupun tidak boleh menghapuskannya, setidak-tidaknya ia boleh dibendung. Di sini, satu pendekatan murni perlu dijalankan iaitu pendekatan pendidikan mengikut tahap manusia.

Didikan yang dimaksudkan ialah didikan iman dan taqwa. Ini bermakna anak kecil mahupun dewasa juga perlu dididik dengan iman dan taqwa. Apatah lagi orang tua yang sudah terlanjur dengan dosa hasad itu, mereka lebih patut diberi didikan iman dan taqwa. Percayalah jika mereka ada iman, mereka akan rasa adanya Allah SWT, rasa diawasi oleh-Nya dan rasa akan dihukum.


Jika mereka bertaqwa, mereka akan menjaga diri daripada terjebak dalam dosa kecil apatah lagi dosa besar. Mereka juga akan memastikan masyarakat berada dalam keadaan selamat daripada melakukan dosa dan melakukan segala perintah Allah SWT.

Untuk mencapai tahap itu, umat Islam perlu dididik supaya memiliki sifat ihsan, iaitu setiap masa bersikap positif. Hal ini kerana ihsan berasaskan:-

“Kamu menyembah Allah SWT seolah-olah kamu melihatnya. Jika kamu tidak melihat Allah SWT, yang pasti Allah SWT melihat kamu.”

Sanggupkah orang yang berada pada tahap itu mempunyai hasad dengki sesama manusia?

Kalau itulah yang menjadi realiti dalam kehidupan umat Islam kini, apakah hasad dengki masih wujud dalam kalangan umat Islam?

Percayalah, kalau ada pun tentulah jarang berlaku. Oleh sebab itu, iman dan taqwa juga ihsan perlu diusahakan tanpa henti.

Mantapkan Iman

Untuk memantapkan iman dan taqwa beberapa langkah berikut perlu diusahakan:-
  • Belajar hal agama dan memahami aqidah Islam yang benar, baik tentang keimanan ataupun syariat serta mengamalkannya. Kemantapan aqidah merupakan sumber keimanan.
  • Memahami dengan yakin konsep takdir menurut syariat Islam. Jika kita faham segala kenikmatan dan rezeki ketentuan Allah SWT, mereka tentu tidak cemburu kepada orang lain jika mereka tidak memperolehinya.
  • Yakinlah bahawa semua nikmat yang diperolehi berasal daripada Allah SWT dan Dia yang memberikan kepada seseorang sesuai dengan hikmah yang diinginkan-Nya. Ingatlah, boleh jadi kenikmatan yang Allah SWT berikan kepada orang lain tidak sesuai dengan kita.
  • Mengamalkan seluruh syariat Islam tanpa banyak mempersoalkan itu dan ini.
  • Berusaha memenuhi hak-hak saudaranya sesama Muslim dan mencari teman yang boleh mengingatkan kesalahannya.
  • Selalu mengingati kematian dan pembalasan Allah SWT di akhirat akibat hasad dengki.
  • Bersyukur terhadap nikmat yang dianugerahkan kepadanya kerana Allah SWT suka kepada orang yang mempunyai sifat qanaah. Sifat inilah yang akan membawa seseorang pada taqwa.

Jika semua umat Islam boleh menghayati semua langkah ini, tidak akan ada lagi orang yang berhasad dengki terhadap orang lain.

Jelas, cabaran umat Islam pada akhir zaman ini amat besar. Kita sudah tiada masa untuk berlengah atau bersabar dalam membanteras penyakt hasad dengki ini. Setiap orang perlu bergerak serentak dalam mengajak manusia ke arah meninggalkan penyakit itu. Pada masa yang sama, umat Islam perlu meningkatkan iman dan ihsan.

Wallahua'lam.