Surah ini merupakan surah yang ke-88 dalam susunan al-Quran, mengandungi 26 ayat termasuk dalam surah-surah Makkiyyah dan diturunkan selepas surah al-Dzariyat.
Surah al-Ghashiyah seperti yang dinamakan merupakan perkataan yang disebutkan dalam ayat pertama, bermaksud peristiwa yang dahsyat yang menyelubungi.
Al-Ghashiyah juga merujuk kepada salah satu nama kiamat. Surah ini kerap dibaca oleh Nabi Muhammad SAW pada rakaat kedua solat Sunat Hari Raya dan solat Fardhu Jumaat. Demikianlah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Malik RH dalam satu riwayat daripada al-Dahhal bin Qais yang pernah bertanya kepada al-Nu’man bin Bashir RA.
Isi kandungan surah in menerangkan tentang keadaan orang kafir pada hari kiamat dan azab yang disediakan untuk mereka. Selain itu surah ini turut menghidangkan tentang keadaan syurga yang disediakan untuk mereka yang taat, serta suruhan membuat pemerhatian terhadap keesaan Allah SWT dan keagungan-Nya menerusi kejadian makhluk.
Akhirnya surah ini menjelaskan tentang perutusan Rasulullah SAW sebagai pemberi peringatan, bukannya seorang yang berkuasa memberi hidayah.
Beginilah Hari Kiamat
Firman Allah SWT dalam surah al-Ghashiyah ayat 1-3 yang bermaksud:-
“Adakah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal hari kiamat yang dipenuhi suasana huru-hara?
Muka (orang kafir) pada hari itu tunduk kerana berasa hina. Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah.”
Surah ini dimulakan dengan pertanyaan iaitu menggunakan partikel هَلْ (adakah) untuk menarik perhatian manusia terhadap sesuatu yang akan disampaikan Allah SWT dalam pesanan-Nya menerusi ayat-ayat yang berikutnya.
Ayat ini menyatakan, "adakah berita tentang kedahsyatan kiamat ini telah sampai kepadamu wahai Muhammad SAW?" Iaitu hari ketika semua manusia ditutup fikirannya kerana menyaksikan kengerian keadaan yang berlaku di hadapannya. Fikiran dan minda yang mereka banggakan akan kelu kerana tercengang dan kebingungan melihat apa yang sedang menimpa mereka.
Dalam ayat yang kedua menjelaskan bahawa banyak wajah yang dahulunya ingkar kini tunduk hina lantaran berasa malu kerana kesalahan yang dilakukan.
Sesetengah ulama’ mentafsirkan ayat yang ketiga sebagai kepenatan kerana memikul belenggu dan rantai akibat seksaan di akhirat. Mereka mencuba sedaya upaya untuk melepaskan diri daripada rintangan dan bebanan yang mengikat mereka tetapi tiada faedahnya. Ketika di dunia dahulu pun, mereka sering mengadu penat kerana mengejar dunia, tanpa jemu-jemu.
Kata al-Qasimi dalam Mahasin al-Ta’wil, segala amalan yang mereka usahakan menjadi debu-debu yang berterbangan seperti firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat ke-23 yang bermaksud:-
“Kami hadapkan segala apa yang mereka telah kerjakan (daripada amal yang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang umpama debu yang berterbangan (disebabkan kekufuran mereka).”
Seksaan Di Neraka
Firman Allah SWT dalam surah al-Ghashiyah ayat 4-7 yang bermaksud:-
“Mereka tetap menderita bakaran neraka yang amat panas (membakar).
Mereka diberi minum daripada mata air (sumber air) yang menggelegak panasnya.
Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri. Yang tidak menggemukkan dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun.”
Dalam ayat ke-5 pula, Allah SWT menggambarkan penghujung hidup mereka adalah apabila mereka dimasukkan ke dalam api yang sangat panas. Apabila kehausan, mereka akan diberi minum oleh para penjaga api neraka dengan air yang amat menggelegak.
Kata al-Baghawi dalam tafsirnya Ma’alim al-Tanzil bahawa perkataan حَامِيَةً membawa makna ia dipanaskan sehingga mengeluarkan bunyi yang amat menakutkan.
Dalam sebuah hadith riwayat at-Tirmidzi dan Ibn Majah, api neraka Jahanam ini dinyalakan selama seribu tahun menjadikan warnanya merah, diikuti dengan seribu tahun lalu menjadi putih, diikuti dengan seribu tahun yang ketiga menjadi warna hitam. Api nereka ini juga pernah disifatkan dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim bahawa kepanasannya melebihi 70 kali ganda berbanding api yang kita gunakan di dunia.
Lebih parah lagi apabila seksaan yang dialami ini dilipatgandakan lagi dengan air mendidih yang sangat panas. Ia telah dipanaskan bermula detik kejadiannya.
Kata al-Baghawi lagi, jika setitis daripadanya jatuh ke bumi, maka akan cairlah dunia seluruhnya. Inilah yang dapat difahami menerusi ayat ke-5, maksudnya:-
“Mereka diberi minum dari mata air (sumber air) yang menggelegak panasnya.”
Ahli neraka merasakan bahana teruknya seksaan yang dialami dan akan mengakibatkan mereka merintih memohon makanan. Mereka akan memohon makanan, tetapi alangkah hampanya mereka apabila hanya makanan berbau busuk yang tidak akan dijamah oleh binatang sekalipun jika disediakan untuk mereka.
Makanan itu adalah satu lagi penghinaan yang dikenakan kepada mereka. Ia tidak akan menyebabkan mereka hilang lapar, malah tidak akan memberikan apa-apa peningkatan terhadap tenaga. Namun kerana kelaparan yang mencengkam, menyebabkan mereka terpaksa memakannya dengan tujuan mengurangkan rasa perit akibat dibakar api neraka.
Wallahua'lam.
Blogger Comment
Facebook Comment