Minimumkan Akses Ke Pintu Neraka

“Ketahuilah wahai saudaraku, bahawa Jahanam adalah mahkluk yang sangat besar. Ia adalah penjara Allah SWT di akhirat kelak untuk golongan atheis, Musyrikin, kafir dan munafikin selama-lamanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

“Kami jadikan Jahanam sebagai tempat tinggal orang kafir.” (surah al-Isra’ 17:8)

Adapun pelaku dosa besar daripada kaum Mukminin, maka mereka akan berada di dalamnya untuk sementara waktu lalu dikeluarkan kembali.”

Demikianlah kata-kata Imam Abdul Wahab al-Sya’rani RH dalam kitabnya al-Yawaqit wa al-Jawahir. Ucapan beliau membuka perbincangan kita kali ini, iaitu hakikat neraka Jahanam yang dijadikan tempat untuk menyeksa musuh-musuh Allah SWT di akhirat.


Makna Jahanam

Sebelum berbincang tentang hakikat mahkluk Allah SWT yang sangat menggerunkan ini, ada baiknya kita cuba untuk menelusuri asal kata dan makna lafaz “jahanam” terlebih dahulu.

Kebanyakan pakar bahasa berpendapat bahawa lafaz ini bukan berasal daripada bahasa Arab, akan tetapi ia adalah kata asing (sama ada Parsi atau Ibrani) yang digunapakai ke dala bahasa Arab. Ia berasal daripada kata “gehennam” yang bermakna “perigi atau lembah yang sangat dalam dasarnya”.

Menurut sebahagian pengkaji moden, perkataan ini pernah digunakan pada zaman kerajaan Mesir kuno. Mereka menggunakan kalimat “Sha en Amu” yang bermakna “tasik api” atau “lake of fire” bagi menggambarkan seksaan yang dipersiapkan untuk alam selepas kematian.

Perkataan ini mulai dikenali oleh bangsa Arab jahililah hasil interaksi mereka dengan Ahli Kitab (Yahudi) yang tinggal di sekitar Yathrib dan Khaybar. Dalam Taurat, lafaz “jahanam” digunakan untuk merujuk kepada seksaan api yang sangat pedih di akhirat.

Apabila al-Quran diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW, kalimat ini kembali digunakan. Dalam surah at-Taubah ayat ke-68 misalannya, Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

“Allah mengancam orang munafik lelaki dan perempuan, serta orang kafir dengan api jahanam. Mereka akan kekal di dalamnya.”

Sebagai pentafsir al-Quran yang pertama dan utama, Rasulullah SAW banyak menceritakan sifat-sifat Jahanam dalam pelbagai hadithnya. Baginda SAW antara lain menyebut bahawa Jahanam sangat luas dan dalam. Meskipun begitu, pada hari kiamat nanti ia akan penuh sesak dengan para penghuni neraka yang berasal daripada kalangan jin dan manusia.

Daripada Abu Musa al-Ash’ari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Seandainya seketul batu dilemparkan ke dalam jahanam, maka ia akan menjunam ke dalamnya selama 70 tahun sebelum tiba di dasarnya.” (HR Ibn Hibban. Hadith ini disahihkan oleh Ibn Hibban)

Pintu-Pintu Jahanam

Oleh kerana Jahanam begitu luas dan boleh menampung jutaan manusia, maka disediakan tujuh buah pintu sebagai akses untuk masuk ke dalamnya. Setiap pendosa akan dicampakkan ke dalam Jahanam melalui salah satu daripada pintu-pintu yang sesuai dengan kadar dosa masing-masing.

Setelah semua ahli neraka masuk, pintu-pintu itu ditutup untuk selama-lamanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

“Dan sesungguhnya jahanam itu benar-benar tempat (pengikut-pengikut syaitan) semuanya. Ia mempunyai tujuh buah pintu. Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan tertentu daripada mereka.” (surah al-Hijr 15:43-44)

Sebahagian mufasirin cuba untuk menyenaraikan nama-nama bagi setiap pintu-pintu ini, namun semua riwayat berkenaan perkara ini tidak ada yang sahih daripada Nabi SAW. Paling tinggi, riwayat ini hanya berakhir kepada tokoh-tokoh tabi’in seperti Ibn Juraij dan lain-lain.

Berkata Imam al-Baihaqi RH dalam Syu’ab al-Iman:-

“Kami meriwayatkan dalam sebuah hadith mursal bahawa pintu-pintu jahanam ada tujuh iaitu Jahanam, Laza, Hutamah, Sa’ir, Saqar, Jahim dan Hawiyah. Sebahagian ulama’ berkata: ‘Jahanam ialah nama untuk semua tingkatan neraka. Dan tingkatan-tingakatannya ada tujuh, beliau lalau menyebutkan nama-nama ini dan nama al-Fariq.’”

Pendapat yang menyatakan bahawa Jahanam merupakan nama bagi keseluruhan neraka adalah pilihan kebanyakan ulama’ seperti al-Qurtubi, al-Sya’rani dan lain-lain.

Tingkatan Jahanam

Dalam kitab al-Ba’thu wa al-Nusyur, Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib RA:-

“Pintu-pintu neraka seperti ini.”

Beliau menjarakkan keempat-empat jarinya untuk menunjukkan bahawa setiap pintu berada di atas pintu yang lain. Sanad riwayat ini terdiri daripada tokoh-tokoh perawi yang dipercayai.

Ucapan Saidina Ali ini menunjukkan kedudukan pinti-pintu Jahanam tidak sejajar, akan tetapi bertingkat-tingkat. Sebahagiannya lebih rendah daripada yang lain, begitu juga tingkatan azab yang tersedia di dalamnya. Tingkatan darjat ahli neraka yang terus merendah disebut “darakat”, sementara tingkatan ahli syurga yang terus meninggi disebut “tabaqat”.

Setiap orang akan ditempatkan sesuai dengan dosa-dosanya. Semakin besar maksiat yang dilakukan, semakin dalam dan rendah kedudukannya di neraka. Allah SWT memberitakan bahawa kaum munafikin berada di tingakatan yang paling rendah (dark al-asfal) di dalam neraka, untuk menunjukkan bahawa dosa nifak merupakan dosa yang paling buruk di sisi Allah SWT.

Mengapa Ada Tujuh Pintu?

Anda mungkin bertanya:-

“Jika pintu syurga ada lapan atau lebih, mengapa jumlah pintu neraka hanya tujuh?”

Jawapan kepada soalan ini ada beberapa ragam. Setiap ulama’ menjawab mengikut pemahaman masing-masing, kerana tiada satu ayat al-Quran atau hadith sahih yang secara terang menjelaskan perkara ini.

Jawapan paling menarik menurut saya adalah sebagaimana yang diajukan oleh Syeikh Mahmud bin Abdillah al-Alusi RH dalam tafsirnya Ruh al-Ma’ani:-

“Hikmah pembatasan bilangan pintu-pintu neraka itu kemungkinan kerana sebab-sebab kebinasaan manusia berpunca pada lima pancainderanya (mata, telinga, hidung, lidah dan kulit) juga syahwat dan emosi.”

Ini membawa maksud, penyebab manusia masuk ke dalam neraka adalah pada tujuh anggotanya, maka pintu-pintu neraka juga berjumlah sebanyak tujuh buah pintu. Setiap orang ahli neraka akan dicampakkan melalui pintu-pintu yang disesuaikan dengan amalan masing-masing.

Jika seseorang itu suka bermaksiat dengan matanya di dunia, maka dia akan dilemparkan ke dalam neraka melalui salah satu pintu yang dikhaskan untuknya. Dan sesiapa yang suka bermaksiat dengan lidahnya, maka telah disediakan pintu khas untuknya. Begitulah seterusnya sehingga ia meliputi semua orang yang telah ditetapkan masuk ke dalam neraka.

Sebaliknya, sesiapa yang selalu menjaga ketujuh-tujuh anggota ini daripada maksiat, maka tertutuplah pintu-pintu Jahanam itu di hadapannya. Untuk orang seperti ini, syurga adalah tempat yang paling sesuai baginya.

Dalam hadith riwayat Ibn Hibban dan al-Hakim, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:-

“Jaminlah bagiku enam perkara, maka aku menjamin untukmu syurga. Jujurlah jika kamu berbicara, tepatilah jika kamu berjanji, sampaikanlah jika kamu diberi amanat, jagalah kemaluanmu, tundukkanlah pandanganmu dan jagalah tanganmu.”


Apa Strategi Kita?

Pengetahuan tentang hakikat neraka Jahanam ini hendaklah menjadi satu peringatan bagi kita, ia mestilah mampu mendorong kita untuk mempersiapkan apa-apa yang perlu selagi kita masih berada di muka bumi ini.

Caranya boleh disesuaikan dengan kondisi masing-masing. Yang paling tinggi nilainya di sisi Allah SWT adalah amalan yang paling ikhlas diniatkan kerana-Nya.

Al-Hafiz Ibn Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Hisyam bin Hassan, seorang ulama’ tabi’in di Basrah, kisah berikut:-

“Suatu ketika, saya pergi haji bersama suatu rombongan, lalu kami menginap di tengah jalan. Salah seorang daripada kami membaca sepotong ayat yang berbunyi:-

‘Ia (jahanam) mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan tertentu daripada mereka.’ (surah al-Hijr 15:43-44)

Apabila mendengar ayat ini, seorang wanita Arab sangat tersentuh. Beliau berkata kepada orang yang membacanya:

‘Boleh anda mengulangi ayat itu?’

Orang itu segera mengulangi bacaannya. Kemudian wanita itu berkata:-

‘Aku memiliki tujuh orang hamba di rumah. Maka saksikanlah bahawa aku telah memerdekakan mereka semua. Setiap orang daripada mereka menjadi penutup bagi setiap pintu daripada pintu-pintu jahanam.’”

Semoga Allah SWT merahmati wanita Arab yang sangat cerdas ini. Beliau telah melakukan apa yang dia mampu untuk menutup pintu-pintu Jahanam itu daripada dirinya.

Mari kita bertanya kepada diri kita sendiri:-

“Apa yang telah dan akan kita lakukan untuk menutup pintu-pintu ini daripada diri kita?”

Wallahua'lam.