Kebiasaannya, topik berkaitan penutupan aurat dibincangkan dalam ruang lingkup hukum dan ketetapan Islam. Penegasan yang dibuat menuntut masyarakat Islam untuk mematuhi garis panduan yang telah diterima pakai semenjak dahulu dan tidak seharusnya mempersoalkan ketentuan yang telah termaktub.
Soal dosa pahala, ganjaran syurga dan azab neraka menjadi asas pertimbangan utama untuk mendorong kepatuhan kepada kewajipan menutup aurat.
Seringkali juga ia menjadi kayu pengukur keimanan, pembeza antara hamba yang taat dengan insan yang derhaka. Namun tidak kurang juga yang menyangkal dan membangkang, membawa hujah bahawa keimanan letaknya dalam dada, bukan pada penampilan luaran yang boleh dinilai oleh mata.
Bagi yang berpegang teguh kepada prinsip hak asasi manusia dan kebebasan membuat pilihan, ketetapan menutup aurat sebagaimana dikehendaki Islam, khususnya dalam kalangan wanita ditakrifkan sebagai satu bentuk penindasan dan diskriminasi yang harus ditentang habis-habisan. Kelompok yang mendabik dada, menjulang diri mereka kononnya sebagai “pejuang hak asasi wanita” ini menyeru wanita Islam untuk membuang hijab dan mendedahkan aurat sebagai satu langkah berani, lambang pembebasan diri daripada cengkaman penindasan golongan lelaki selama ini!
Selari Dan Seiring Dengan Fitrah
Penulis ingin mengupas topik penutupan aurat dari sudut pandang yang sedikit berbeza. Sesuai dengan tajuk artikel ini, penulis ingin mengajukan satu persoalan – sama ada penutupan aurat ini selari dan seiring dengan fitrah ataupun bertentangan dengan kehendak asas manusia yang sentiasa mahu penampilan dilihat cantik dan menarik.
Tentu sekali ramai yang pernah membaca pengakuan wanita yang mengambil keputusan menutup aurat dengan mengenakan tudung atau hijab, betapa mereka berasa selamat, terpelihara dan merdeka apabila berhijab, satu suasana dan perasaan yang tidak hadir sebelum itu. Seorang selebriti tempatan yang baru mengenakan hijab turut menyatakan perkara yang sama. Beliau berasa lebih dihormati dan dilayan dengan sopan oleh mereka yang sebelum ini kurang menjaga batas pergaulan dengannya.
Testimonial sebegini membawa satu kesimpulan iaitu penutupan aurat sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam adalah satu keperluan fitrah yang wajar dipatuhi demi menyuburkan satu persekitaran interaksi yang harmoni, saling menghormati, selamat dan sihat. Apabila sebelah pihak serius memelihara dan menjaga aurat serta tingkah lakunya, mahu tidak mahu, pihak yang sebelah lagi akan terdorong menunjukkan sikap yang lebih menghormati dan santun dalam interaksi mereka.
Satu analogi yang boleh diguna pakai untuk memperjelaskan fenomena ini, ibarat bonggol di jalan dan lorong yang bertujuan mengurangkan kelajuan kenderaan. Bonggol jalan (speed bump) mendapat jolokan “polis yang tidur” (the sleeping policeman) kerana kewujudannya menyebabkan semua kenderaan terpaksa mengurangkan kelajuan untuk mengelakkan kerosakan ataupun ketidakselesaan pemanduan. Akhirnya, tingkah laku dan sikap pemandu dapat diseragamkan dan menghasilkan suasana yang selamat kepada semua pengguna jalan tersebut.
Bolehlah dikaitkan di sini bahawa penutupan aurat bertindak sebagai “pengatur” (regulator), bertujuan menjadikan interaksi sesama manusia berjalan dengan baik dan sejahtera. Dalam konteks yang sama, jika satu pihak sengaja mendedahkan aurat tanpa segan silu, kemungkinan besar sebelah pihak lagi yang berinteraksi dengannya juga hilang rasa segan dan malu, serta mungkin cenderung melakukan sesuatu yang kurang sopan kepada individu tersebut.
Apa Itu Aurat?
Namun hari ini, masih ramai yang samar dan kurang jelas dengan pengertian konsep sebenar aurat dan penutupannya. Apabila disebut penutupan aurat, apa yang terus tergambar di benak hanyalah pemakaian tudung yang menutup kepala dan rambut wanita sahaja. Sedangkan konsep yang sebenar adalah pelbagai, amat luas dan menyeluruh.
Dalam kertas kerja yang ditulis oleh Professor Madya Datin Dr. Paizah Ismail bertajuk Aurat Wanita: Konsep dan Hukum Mengenainya, terdapat huraian yang agak panjang lebar mengenai definisi aurat. Beliau merumuskan:-
“Dari segi penggunaan biasa perkataan ‘aurat’ mempunyai dua pengertian. Pertamanya pengertian khusus, iaitu ‘kemaluan’ (al-sau’ah) dan perkara yang berkaitan dengannya secara fizikal. Keduanya, pengertian umum iaitu apa-apa sahaja yang dilihat sebagai kurang menyenangkan sekiranya terdedah kepada orang lain, baik yang bersifat fizikal mahupun moral.”
Sebenarnya, konsep aurat bukanlah sesuatu yang baru, mahupun khusus ditekankan oleh Islam semata-mata. Semenjak penciptaan manusia pertama Nabi Adam AS dan isteri Baginda, Hawa di syurga, aspek aurat ini sudah diketengahkan. Dalam al-Quran (mafhum sebagaimana dinukilkan di bawah), jelas bagaimana reaksi kedua-duanya apabila tersingkap aurat mereka sebaik sahaja melanggar larangan Allah SWT. Secara spontan, mereka bergegas menutup aurat yang terdedah dengan dedaunan syurga, melambangkan tindakan spontan manusia apabila terdedah auratnya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dia (syaitan) memujuk mereka dengan tipu daya. Ketika mereka berdua merasa (buah) pohon itu, ternampaklah oleh mereka auratnya (sau’tuhuma), maka mulailah mereka menutupinya dengan daun-daun syurga.” (surah al-A'raf 7:22)
Malu Sebagai Kubu
Pengalaman yang dikongsi oleh salah seorang sahabat saya yang telah berkecimpung sebagai seorang pengamal perubatan, beliau mendapati semua pesakit, tidak kira jantina, agama atau bangsa, berasa kurang selesa apabila diminta mendedahkan aurat mereka untuk tujuan pemeriksaan perubatan. Mereka akan lebih mudah memberi kerjasama sekiranya doktor menunjukkan sikap prihatin dan hormat, memastikan pemeriksaan diadakan di sebalik tirai dengan kehadiran pihak ketiga terutamanya jika doktor yang memeriksa adalah daripada jantina yang berbeza. Keperluan menghormati batas aurat pesakit termasuk dalam prinsip etika perubatan – prinsip autonomi iaitu pesakit mempunyai hak untuk dipelihara.
Jelaslah dengan keterangan tersebut, betapa menutup aurat itu adalah fitrah yang seiring dengan naluri manusia yang telah dibekalkan oleh Allah SWT. Perasaan malu pula dijadikan pendinding dan kubu yang kukuh untuk mengiringi keperluan manusia menutup auratnya. Dengan menghormati batas pergaulan dan pandangan mata, terjaminlah satu bentuk hubungan interaksi sesama insan yang bermakna, penuh hormat dan santun, sejahtera, aman dan bahagia.
Sekiranya menutup aurat adalh fitrah, mengapa begitu ramai manusia yang ingkar dan tidak menurut keperluan tersebut?
Apa yang membingungkan lagi, pendedahan aurat dijadikan satu fenomena yang dibangga-banggakan, dipromosikan malah diberi pengiktirafan. Semakin berani seseorang mendedahkan auratnya untuk ditatap pada pandangan umum, semakin tinggilah penghargaan diri dan tahap keyakinannya. Mengapakah diri begitu hebat manusia ini menentang arus fitrahnya sendiri sehingga mengheretnya kepada satu suasana penuh kecelaruan dan haru-biru dalam kehidupannya?
Allah SWT telah memberikan jawapan-Nya dalam al-Quran, surah al-A'raf ayat 27 yang mafhumnya:-
“Wahai anak cucu Adam! Janganlah sampai kamu tertipu oleh (tipu daya) syaitan sebagaimana halnya dia telah mengeluarkan ibu bapa kamu (Adam dan hawa) dari syurga, dengan menanggalkan pakaian kedua-duanya untuk memperlihatkan aurat kedua-duanya. Sesungguhnya dia (syaitan) dan bala tenteranya dapat melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesunggunya Kami telah jadikan syaitan itu pemimpin bagi orang yang tidak beriman.”
Taqwa Sebaik-Baik Pakaian
Bagi individu yang memilih untuk akur pada kehendak fitrahnya lantas patuh menurut garis panduan penutupan aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat Islam, syaitan tetap tidak berdiam diri. Strategi lain pula diunakan oleh bala tentera syaitan untuk memesongkan dan menyesatkan hamba Allah SWT yang sedang berusaha memperbaiki diri mentaati perintah Ilahi.
Golongan yang telah menutup aurat ini mudah pula dihinggapi penyakit riyak, sombong, besar diri dan bongkak – sentiasa merasakan penampilan luarannya menjadi manifesto terhadap tahap iman yang tinggi yang dirasakan sudah mantap dalam dadanya. Mudah bagi kelompok ini memandang rendah dan mencemuh orang lain yang sedang berusaha perlahan-lahan berhijrah ke tahap ketaatan yang lebih baik dan sempurna. Sekali lagi manusia begitu mudah tertipu dan terpedaya dengan taktik licik syaitan yang direjam.
Dalam konteks ini, Allah SWT sekali mengingatkan kita sebagai anak cucu Nabi Adam AS dengan firman-Nya dalam surah al-A'raf ayat 26 yang mafhumnya:-
“Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan sebagai perhiasan bagimu. Tetap pakaian taqwa, itulah yang lebih baik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka beringat.”
Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita untuk terus melipatgandakan usaha meningkatkan ketaqwaan dalam diri, keluarga dan masyarakat. Aamiiin.
Wallahua'lam.
Blogger Comment
Facebook Comment