Nabi Muhammad SAW - Khabar Dari Khaybar

“Wahai para Yahudi Khaybar;
Ingatlah bahawa tentera Muhammad akan datang”

Khaybar suatu ketika dahulu merupakan sarang komplot dan markas provokasi ketenteraan musuh bagi membangkitkan semangat permusuhan dan mencetuskan peperangan.

Oleh sebab itu, setelah termeterainya perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW mula memberikan perhatian kepada sayap musuh utama ketika itu iaitu orang Yahudi. Kali ini kita akan merungkaikan perjalanan peperangan Khaybar dan melihat sikap sebenar orang Yahudi.

Kebenaran Yang Berstrategi

Bagi berhadapan dengan orang Yahudi, Rasulullah SAW telah menyusun strategi yang berkesan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Islam.

1. Sistem tapisan pemilihan tentera

Peperangan Khaybar menyaksikan bahawa Rasulullah SAW telah membuat tapisan di mana  Baginda SAW telah mengisytiharkan bahawa hanya golongan yang cintakan jihad sahaja yang boleh menyertai peperangan, manakala golongan munafik tidak dibenarkan turut serta. Jadi, mereka yang menyertai Baginda SAW dalam peperangan Khaybar hanyalah mereka yang menyertai misi Hudaibiyah, iaitu seramai 1400 orang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

“Orang (munafik) yang tidak turut berjuang (bersama-sama kamu) akan berkata semasa kamu pergi (mengepung musush serta) mendapatkan harta rampasan perang: ‘Biarkanlah Kami turut serta dengan kamu!’

Mereka (dengan itu) hendak mengubah janji Allah (yang menentukan hanya orag yang turut hadir di Hudaibiyah sahaja yang berhak mendapatkan harta rampasan perang itu). Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami. Demikianlah Allah menegaskan (laranagn itu) semenjak dahulu lagi.’

Mereka akan berkata pula: ‘(Bukan Tuhan yang melarang) bahkan kamu dengki kepada kami.’

(Apa yang mereka katakan itu tidaklah benar) bahkan mereka tidak faham kecuali sedikit sahaja (mereka hanya faham tentang kehidupan dan kesenangan dunia semata-mata).” (surah al-Fath 48: 15)

2. Pemilihan posisi yang strategik

Rasulullah SAW telah memilih posisi yang strategik untuk menempatkan pasukannya agar mereka bersedia untuk menerima serangan daripada pihak musuh.

3. Pemilihan panglima perang yang berjiwa kental


Baginda SAW telah menyerahkan bendera kepimpinan kepada Saidina Ali bin Abi Talib RA yang merupakan seorang lelaki yang gagah, mempunyai keberanian yang luar biasa, tidak kalah ketika berperang secara bersemuka dan merupakan seorang yang mempunyai kebolehan dan kehebatan bermain pedang. Pemilihan pemimpin yang hebat ini juga telah memberikan motivasi dan semangat kepada tentera-tentera yang berjuang bersama-samanya.

Ketika masuk ke Khaybar, Rasulullah SAW bersabda:-

“Esok aku akan serahkan bendera kepada seorang lelaki yang Allah dan Rasul cinta kepadanya dan dia juga cintakan Allah dan Rasul-Nya.”

Orang yang dimaksudkan oleh Baginda SAW itu ialah Ali bin Abi Talib.

4. Penaklukan benteng Khaybar

Benteng Khaybar merupakan satu sistem pertahanan yang sangat kuat milik pasukan musuh. Bangunannya mempunyai lapan lapisan dinding, dengan dua bahagian dan di belakangnya terdapat benteng-benteng kecil.

Oleh sebab itu, perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum pengepungan dan penyerangan benteng Khaybar adalah pemetaan zon kawasan benteng. Khaybar dibahagikan kepada dua bahagian di mana satu bahagian daripadanya mempunyai lima buah benteng.

Sikap Sebenar Yahudi

Berdasarkan pertempuran yang berlaku antara tentera Islam dan Yahudi dalam peperangan Khaybar, ita dapat melihat sikap pengecut orang Yahudi yang bertindak meninggalkan anak-anak dan isteri mereka sebagai tawanan perang semata-mata untuk menyelamatkan diri.

1. Ketakutan di sebalik keegoan

Orang Yahudi sering mempamerkan sikap ego dan merasakan merekalah bangsa yang terbaik di atas muka bumi ini. Namun, al-Quran dan sirah telah menjelaskan sikap sebenar mereka yang takut terhadap umat Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

“Sesungguhnya kamu dalam hati mereka sangat ditakuti lebih daripada Allah. Yang demikian itu kerana mereka ialah kaum yang tidak mengerti (akan kekuasaan Allah dan kebesaran-Nya).” (surah al-Hashr 59:13)

Ayat ini memberkan gambaran terhadap sikap dan tabiat sebenar orang Yahudi yang amat takut kepada orang Islam sehinggakan ketakutan itu melampaui ketakutan mereka terhadap Allah SWT.


2. Takut berhadapan secara bersemuka

Orang Yahudi bukan sekadar berasa takut dalam hati, tetapi mereka juga takut untuk berhadapan dan menyerang orang Islam secara bersemuka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

"(Orang Yahudi dan orang munafik) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya) permusuhan antara mereka sesama sendiri amatlah keras. Engkau menyangka mereka bersatu padu, sedangkan hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu kerana mereka ialah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka)." (surah al-Hashr 59:14)

Bagi menjelaskan perkara ini, Ibn Kathir dalam tafsirnya berkata:-

“Ketakutan yang ada dalam diri kaum Yahudi menyebabkan mereka tidak berani untuk berlawan secara bersemuka, tetapi mereka berani kalau ada yang melindunginya.”

Perkara ini disokong oleh kenyataan Dr. Sayyid Tantawi yang memetik kata-kata sahib al-Kashshaf pula:-

“Kekuatan dan kesatuan mereka itu hanya dari segi luaran saja. Sekiranya kau memeranginya, maka kekuatan itu akan berubah menjadi kelemahan dan ketakutan, bahkan kesatuan mereka akan hancur.”

Wallahua'lam.