Persaingan Yang Islamik

Persaingan yang sihat dapat memberikan motivasi kepada seseorang untuk bertindak melebihi keupayaan sebenar agar dapat menyaingi pesaingnya. Persaingan berpunca daripada semangat ingin berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan melebihi orang lain.

Persaingan sesama individu biasanya membabitkan kerjaya, pangkat, gaji, harta, pelajaran, taraf hidup dan sebagainya. Persaingan sesama organisasi pula melibatkan aset, pulangan, keuntungan, produk dan lain-lain. 

Adakah persaingan seperti ini yang dituntut oleh Islam?

Islam memandang mulia persaingan dalam mengerjakan kebaikan demi mengharapkan keredhaan Allah SWT. Persaingan ini boleh menjadi pendorong kepada manusia untuk beribadah kepada Allah SWT dan melakukan kebaikan. Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam membuat) kebaikan.” (surah al-Baqarah 2:148)

Menjauhi Persaingan Yang ‘Sakit’

Golongan manusia yang malas dan dungu tidak berminat untuk menyaingi kebaikan yang dilakukan oleh orang lain, sebaliknya mereka lebih selesa menunggu sahaja limpahan anugerah Allah SWT tanpa sebarang usaha untuk mempertingkatkan produktiviti diri. Kadangkala mereka digerakkan oleh niat dan usaha jahat untuk melakukan tipu daya terhadap orang yang menerima nikmat dan rezeki yang lebih daripadanya.

Jika berlaku persaingan semsa jiran tetangga dalam mengumpul harta benda maka timbullah rasa iri hati, hasad dengki, benci-membenci dan sebagainya. Perkara lebih teruk yang mungkin berlaku daripada persaingan itu ialah kesanggupan untuk berhutang keliling pinggang untuk bersaing. Inilah antara persaingan yang ditegah dalam Islam sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:-

“Janganlah kamu suka mendengar (isu atau sepertinya), mencari-cari aib orang lain, saling bersaing (bukan dalam urusan kebaikan atau akhirat), saling mendengki, saling membenci, saling membelakangi dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (HR Muslim)

Persaingan Yang Mulia

Islam memang menggalakkan persaingan dalam melakukan amal kebaikan. Rasa cemburu kepada orang yang lebih alim, warak, kuat beribadah dan berdakwah serta suka berjihad berbanding kita. Disebabkan kelebihan itu, kita ingin menjadi seperti mereka.

Para ulama’ mengesyorkan, apabila kita melihat orang lain yang berharta, kita harus membandingkan diri kita dengan orang yang kurang berharta supaya lahir rasa syukur dalam hati. Sebaliknya, dalam persaingan melakukan amal soleh agar timbul keingingan untuk melakukan lebih baik daripada orang itu. Orang yang memiliki martabat yang lebih tinggi dalam amal kebajikan harus dijadikan mentor dan idola supaya kita bersemangat untuk menjadi sepertinya.

Persaingan yang mulia ini menjadi pendorong kepada kita untuk kuat mempertingkatkan kualiti dan kuantiti ibadah kepada Allah SWT, seterusnya memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia serta mahkluk Allah SWT yang lain.

Persaingan Menuju Akhirat Suatu Prioriti

Skop amal kebajikan ini merangkumi keseluruhan jalan hidup kita seperti ibadah yang melibatkan hubungan kita dengan manusia dan yang terpenting adalah dengan memelihara hubungan kita dengan Allah SWT. Kita harus menumpukan amal kebajikan untuk mengejar akhirat tanpa melupakan hal-hal kebajikan di dunia ini. Keutamaan ditumpukan kepada amal kebajikan akhirat kerana dibimbangi persaingan keduniaan secara berlebihan akan melalaikan kita seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:-

“Maka demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan terhadapmu, akan tetapi aku khuatir andai dibukakan dunia terhadapmu sebagaimana telah dibukakan terhadap umat sebelum kamu, alau kamu bersaing sebagaimana mereka bersaing dan melalaikan kamu sebagaimana telah melalaikan mereka.” (HR al-Bukhari)

Persaingan yang baik, sihat dan positif mampu melahirkan manusia yang lebih produktif dan cemerlang. Budaya istiqamah dapat diwujudkan dalam sanubari manusia yang inginkan peningkatan dalam amalan dan kehidupan harian mereka.

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment