9 Cara Meraih Sifat Tenang - Bahagian 2

Dalam artikel sebelum ini, kita telah membincangkan beberapa cara dan sikap untuk mengelakkan kemarahan iaitu sentiasa bersifat tenang dan pemaaf, berlapang dada dengan tidak tergopoh gapah dalam membuat tuduhan dan keputusan serta menjaga kemuliaan diri, mempunyai keazaman dan semangat yang tinggi.

Perbincangan kali ini akan menyambung beberapa perkara lagi.

#4 Mencari Keredhaan Allah SWT


Sesungguhnya melahirkan kemarahan itu perlu bertempat seperti ketika berjuang fi-sabilillah, semata-mata mencari keredhaan Allah SWT dari segi pahala dan ketinggian darjatnya.

Mu’az bin Anas al-Juhani meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang mampu menahan marah sedangkan dia berkuasa untuk melaksanakannya, Allah SWT akan memanggilnya pada hari kiamat kelak di hadapan khalayak ramai serta menyuruhnya memilih bidadari mana yang dikehendakinya.” 
Hadith Riwayat Ahmad
Mengucapkan kata-kata itu lebih mudah dan tidak memberatkan seseorang, ramai orang boleh bercakap, memberi ceramah dan motivasi, menulis dan mengulas, memberi nasihat dan sebagainya tentan kesabaran.

Apa yang lebih penting ialah apabila menghadapi sendiri suasana yang memerlukan kesabaran menuntut kesudian memberi kemaafan, bertenang, berlapang dada dan bersikap lemah lembut.

Kesimpulan yang paling mudah difahami antara kita yang ‘cakap tak serupa bikin’.

Seharusnya marah itu adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT seperti marah apabila hukum Islam dipermain-mainkan.

#5 Tidak Berdendam Malah Mendoakan



Kata hukama:-
“Menanggung kerenah orang yang tidak cerdik itu lebih baik daripada turut bersifat dengan sifatnya dan memejamkan mata (jangan melayan) kerenah si jahil itu lebih baik daripada turut sama bergelumang bersama mereka.”
Nabi Muhammad SAW sangat kasih terhadap kaum Mukminin, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang Mukmin.” 
Surah at-Taubah 9:128
Sebagaimana peristiwa Rasulullah SAW disakiti dan dihina di Taif, iaitu ketika Rasulullah SAW menyeru kaum Taif tetapi mereka tidak menyahut seruan Baginda SAW.

Pada hari itu, Baginda SAW berasa sungguh sedih dan kecewa, lalu berjalan membawa diri sehingga tiba di Qarn al-Tha’alib (di Mina, sekarang tempatnya berdekatan dengan Jambatan al-Malik Abdul Aziz).

Baginda SAW mendongakkan wajahnya ke langit untuk melihat awan yang datang memayunginya secara tiba-tiba.

Di dalamnya, Baginda SAW melihat Jibril AS memanggilnya sambil berkata:-
“Allah SWT mendengar dan mengetahui apa yang telah kamu lalui. 


Dan Allah telah menghantar malaikat penjaga gunung untuk kamu pinta apa-apa sahaja yang kamu kehendaki terhadap kaummu.”
Lalu malaikat penjaga gunung berseru kepada Rasulullah SAW lalu berkata:-
“Wahai Muhammad, perintahlah apa sahaja jika kamu mahu aku akan menjatuhkan al-Akhsyabain (dua buah bukit yang besar di Makkah iaitu Bukit Abi Qubais dan Bukit Qaiqa’an) ke atas mereka.”
Rasulullah SAW menjawab:-
“Jangan, tetapi aku memohon kepada Allah SWT agar akan ada daripada kalangan anak cucu mereka nanti yang beriman dan hanya menyembah Allah SWT sahaja.” 
(Rujukan: Hadith Riwayat al-Bukhari)

#6 Memaafkan Orang Lain, Antara Cara ‘Membasuh Hati’


Sesungguhnya hati yang berada dalam dada kita boleh dilatih supaya menjadi kuat dan gagah.

Maka latihlah hati kita agar banyak memaafkan, bertolak ansur dalam beberapa hak, tidak terlalu mengikut keinginan hawa nafsu dan cuba memenuhi hati dengan kasih sayang.

Sekiranya kita mampu untuk menyayangi seluruh makhluk Allah SWT, maka jangan biarkan hati kita berasa sempit kerananya.

Bahkan kita akan berasa luas dan lapang dengan kehadiran setiap tetamu baru dalam hati kita.

Sesungguhnya hati itu luas dan mencukupi untuk setiap orang yang berhak mendapat tempat di dalamnya.

Pada setiap malam sebelum tenggelam dalam tidur, latihlah nadi hati kita supaya memberi kemaafan, kemudian biarkan mata tertutup lena dalam tidur yang tenang dan mengasyikkan.

Maafkan setiap orang yang bersalah terhadap kita, menzalimi kita, memusuhi kita, melanggar hak kita, melupai kebaikan kita, bahkan lebih daripada semua ini.

Teruskan berdoa dengan ikhlas kepada Allah SWT agar dosa-dosa mereka diampunkan, dibaiki keadaan mereka dan diberi petunjuk kepada mereka. Kita akan dapati kitalah orang yang paling beruntung dan bahagia.

Sebagaimana kita membasuh muka dan tangan kita dengan air beberapa kali sehari atau lebih daripada 10 kali sehari kerana  kita menghadapkan kedua-duanya kepada orang ramai, begitu juga kita mesti membasuh hati kita yang menjadi tempat pandangan Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang kepada rupa dan harta kamu, tetapi memandang kepada hati dan amalan kamu.” 
Hadith Riwayat Muslim no. 2564
Maka basuhlah hati kita dan jagalah ia setiap hari, supaya tidak bertimbun segala anasir yang tidak elok dan negatif seperti dendam kesumat, kenangan pahit, kebencian, kemarahan dan lain-lain yang boleh menjadi belenggu dan penghalang kepada ketenangan hati daripada beramal dan bekerja untuk mendapat kehidupan yang baik dan sentosa.

#7 Menamatkan Sebab-Sebab Yang Boleh Membawa Kepada kemarahan


Diceritakan bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Ahnaf bin Qais, seorang ilmuwan Arab:-
“Jika kamu berkata satu (nasihat atau perkataan), kamu akan mendengar sepuluh (jawapan).”
Ahnaf menjawab:-
“Tetapi jika kamu berkata sepuluh, kamu tidak akan mendengar walaupun satu (nasihat atau perkataan orang lain)!”
Tenaga yang kita gunakan untuk menjawab orang yang mencerca kita tidak pernah memberi natijah yang baik jika dibandingkan dengan orang yang bersifat diam.

Sesungguhnya dengan bersifat diam, kita telah menjaga lidah, waktu dan hati kita. Kerana itulah Allah SWT telah berfirman kepada Maryam, ibu Nabi Isa AS sewaktu dicerca oleh kaumnya agar berdiam diri dan tidak menjawab cercaan mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Jika kamu melihat seorang manusia, maka katakanlah: 


‘Sesungguhnya aku telah bernazar untuk berpuasa kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusia pun pada hari ini.” 

Surah Maryam 19:26
Sibuk mengeluarkan kenyataan, membalas, menjawab dan membantah perkataan orang lain cuma akan merosakkan hati. Keburukannya lebih banyak daripada manfaat.

#8 Menjaga Maslahah Umum


Rasulullah SAW telah memuji cucunya al-Hasan bin Ali RA dengan sabdanya yang bermaksud:-
“Anakku ini adalah sayyid (pemimpin). 


Mudah-mudahan Allah SWT akan menjadikannya sebab perdamaian antara dua kumpulan Muslimin (yang bertelagah).” 

Hadith Riwayat al-Bukhari no. 3629
Sikap ini terbukti kepada al-Hasan apabila beliau telah menarik diri daripada jawatan khalifah mengganti ayahandanya Saidina Ali bin Abi Talib RA dan menyerahkannya kepada Mu’awiyah

Semua ini semata-mata untuk menjaga maslahah umum iaitu perdamaian.

Ini membuktikan bahawa menjaga maslahah umum itu telah membawa manusia kepada penyatuan dalam masyarakat dan menjauhkan daripada perpecahan. Itulah pimpinan (sayyid) yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam hadith di atas.

#9 Mengingati Kebaikan Orang Lain Walaupun Sedikit



Imam as-Syafi’e telah berkata:-
“Orang yang merdeka itu ialah mereka yang menjaga kemesraan dan kasih sayang yang diperolehi daripada orang lain walaupun tidak lama dan menganggap dirinya murid kepada orang yang memberi faedah dan ilmu kepadanya walaupun dengan sepatah kalimah.”
Rasulullah SAW juga telah bersabda yang bermaksud:-
“Orang yang menjaga perjanjian itu ialah tanda orang yang beriman.” 
Hadith Riwayat at-Tabrani
Tidak dapat dinafikan betapa kita mudah lupa kebaikan dan jasa seseorang terhadap kita. Hanya dengan sedikit kesilapan dan keburukan yang terjadi, segala kebaikan lain yang sebenarnya lebih banyak dan besar berbanding kesilapan itu akan terhapus dan dilupakan.

Manusia mudah lupa dan ingkar nikmat yang didapatinya.

Benar sekali kata pepatah:-

“Panas setahun akan hilang dek kerana hujan sehari.”

Semoga Allah SWT memberi hidayah dan inayat-Nya agar kita menjadi manusia yang sentiasa bersyukur atas nikmat dan rahmat Tuhannya serta tidak lupa terhadap jasa dan kebaikan sesama hamba yang lain.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment